Kompaun Dikenakan terhadap Ilham Secretarial Services

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Khamis, 29 Januari 2026
29 Jan 2026 Notis Umum

Pada 17 November 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan kompaun[1] sebanyak RM8,625 terhadap Ilham Secretarial Services (Ilham) berikutan kegagalan mengemukakan laporan transaksi yang mencurigakan (suspicous transaction report, STR) pada kadar segera.[2]

Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), Ilham dikehendaki untuk melaporkan transaksi yang mencurigakan[3] pada kadar segera kepada BNM.[4] Keperluan ini adalah untuk mengurangkan risiko RI daripada digunakan sebagai saluran untuk pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (money laundering and terrorism financing, ML/TF), serta aktiviti jenayah serius yang lain. Selain itu, STR yang dikemukakan dapat memberikan maklumat dan/atau risikan yang bernilai mengenai kemungkinan aktiviti jenayah kepada BNM dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain bagi menyokong siasatan jenayah kewangan.

Semasa pemeriksaan di premis, BNM mendapati bahawa Ilham telah gagal melaporkan STR dengan kadar segera berhubung dengan transaksi mencurigakan melibatkan seorang pelanggan. Ketidakpatuhan ini berlaku disebabkan kurangnya tahap kesedaran Ilham mengenai tanggungjawabnya sebagai sebuah RI.

Ilham telah mengambil langkah-langkah pemulihan untuk memperkukuh kawalan AML/CFT dengan membangunkan serta melaksanakan mekanisme pelaporan STR di peringkat institusi.

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan kompaun, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor berikut:

  1. kawalan semasa yang dilaksanakan oleh Ilham untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan yang berkenaan;
  2. rekod pematuhan Ilham pada masa lalu; dan
  3. tingkah laku Ilham selepas ketidakpatuhan dikesan serta keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil oleh Ilham untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.

Pada 15 Disember 2025, Ilham telah membayar RM8,625 untuk kompaun yang dikenakan oleh BNM.

BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan AML/CFT. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sesuai sekiranya terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap Ilham adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan yang telah diterbitkan.

 


[1] BNM mengenakan kompaun menurut seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA), dengan keizinan bertulis daripada Pendakwa Raya.

[2] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 14(1)(b) AMLA, dibaca bersama dengan seksyen 86(a) Akta yang sama.

[3] Di bawah seksyen 14(1)(b) AMLA, RI dikehendaki untuk melaporkan dengan segera apa-apa transaksi jika identiti orang yang terlibat, transaksi itu sendiri atau apa-apa hal keadaan lain berkenaan dengan transaksi itu memberi mana-mana pegawai atau pekerja institusi pelapor itu sebab untuk mengesyaki bahawa transaksi itu melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan.

[4] BNM ialah pihak berkuasa berwibawa sebagaimana yang dilantik di bawah seksyen 7(1) AMLA.

 


Bank Negara Malaysia
29 Januari 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?