Kompaun Dikenakan terhadap KAF Investment Bank Berhad
Pada 6 Januari 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan kompaun[1] sebanyak RM1,025,000 terhadap KAF Investment Bank Berhad (KAF IB).
Kompaun ini dikenakan berikutan kegagalan KAF IB mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh BNM di bawah seksyen 214(6) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK 2013). Arahan ini menghendaki institusi kewangan untuk menetapkan dan melaksanakan kawalan serta prosedur dalaman bagi memastikan pematuhan pada Notis Dasar Pertukaran Asing (Foreign Exchange Policy Notices, FEP Notices) BNM.
Kompaun ini dikenakan disebabkan kegagalan KAF IB meneliti kelulusan BNM sebelum melaksanakan transaksi yang melibatkan aset mata wang asing oleh individu pemastautin yang mempunyai Pinjaman Domestik dalam Ringgit (Domestic Ringgit Borrowing, DRB) melebihi had yang dibenarkan.[2] Kegagalan KAF IB mematuhi keperluan ini merupakan pelanggaran undang-undang menurut seksyen 214(9) APK 2013.
Semasa membuat keputusan mengenai kompaun yang akan dikenakan, faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan telah diambil kira. Faktor-faktor ini termasuk:
- ketiadaan kawalan dan prosedur oleh KAF IB untuk memastikan pematuhan pada Notis Dasar Pertukaran Asing;
- rekod pematuhan KAF IB terdahulu; dan
- tingkah laku KAF IB selepas kesalahan serta keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil oleh KAF IB untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.
Setelah kesalahan dikesan, KAF IB telah mengambil langkah pemulihan dengan mewujudkan dan melaksanakan dasar serta prosedur dalaman untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan Dasar Pertukaran Asing (Foreign Exchange Policy, FEP).
Pada 29 Januari 2026, KAF IB telah membayar kompaun yang dikenakan sebanyak RM1,025,000.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan.
BNM ingin menegaskan bahawa institusi kewangan serta orang ramai dikehendaki memastikan pematuhan sepenuhnya pada keperluan FEP yang berkaitan apabila menjalankan transaksi pertukaran asing. Hal ini termasuk mendapatkan kelulusan bertulis daripada BNM, jika berkenaan. Institusi kewangan juga diingatkan untuk memberikan panduan dan nasihat yang sesuai kepada pelanggan berkenaan keperluan ini. Maklumat lanjut mengenai keperluan FEP boleh didapati melalui laman sesawang Dasar Pertukaran Asing.
[1] Kompaun ini dikenakan mengikut seksyen 253 APK 2013 dengan keizinan bertulis daripada Pendakwa Raya.
[2] Berhubung dengan pelaburan dalam aset mata wang asing, BNM telah meluluskan individu pemastautin yang mempunyai DRB untuk melabur dalam aset mata wang asing (yang diperoleh daripada penukaran ringgit kepada mata wang asing) hingga RM1 juta setiap tahun. Sehubungan dengan itu, sebarang pelaburan oleh individu pemastautin yang mempunyai DRB yang melebihi had tersebut memerlukan institusi kewangan untuk meneliti kelulusan daripada BNM terlebih dahulu sebelum melaksanakan transaksi tersebut.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.