Kompaun Dikenakan Terhadap Rashidiya Trading Sdn. Bhd. atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Perniagaan Perkhidmatan Wang
Pada 13 April 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan kompaun[1] sebanyak RM17,400 terhadap Rashidiya Trading Sdn. Bhd. (RTSB) berikutan kegagalan memenuhi keperluan berkaitan pengeluaran resit kepada pelanggan untuk transaksi pertukaran wang.[2]
Sebagai pemegang lesen di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA), RTSB dikehendaki mengeluarkan resit kepada pelanggan untuk transaksi pertukaran wang dalam bentuk dan cara yang ditetapkan oleh BNM. Keperluan ini bertujuan memastikan penyimpanan rekod transaksi yang teratur serta melindungi pelanggan sekiranya berlaku pertikaian.
BNM telah mengesan ketidakpatuhan tersebut semasa pemeriksaan penyeliaan di premis RTSB. Semasa pemeriksaan tersebut, BNM mendapati bahawa RTSB gagal mengeluarkan resit bagi dua transaksi pertukaran wang akibat kekurangan pengawasan oleh pihak pengurusan. Sebagai tindak balas, RTSB telah melaksanakan langkah-langkah pemulihan termasuk memperkukuh pengawasan oleh pihak pengurusan dan meningkatkan kesedaran kakitangan melalui latihan bersasar.
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan kompaun, BNM telah mengambil kira faktor- faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:
- kawalan terkini yang dilaksanakan oleh RTSB untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan;
- rekod pematuhan RTSB pada masa lalu; dan
- penilaian terhadap tingkah laku RTSB selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.
Pada 5 Mei 2026, RTSB telah membayar RM17,400 untuk kompaun yang dikenakan oleh BNM.
BNM menghendaki semua pemegang lesen MSBA memastikan kepatuhan pada keperluan perniagaan perkhidmatan wang. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya mana-mana pemegang lesen MSBA gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau peraturan tersebut.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap RTSB adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] Kompaun dikenakan menurut seksyen 88(1) MSBA, dengan persetujuan bertulis Pendakwa Raya.
[2] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 27(1) MSBA.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.