Langkah-langkah untuk Menggalakkan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1000 pada Jumaat, 18 November 2011
18 Nov 2011 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia hari ini mengeluarkan garis panduan kepada institusi kewangan yang bertujuan untuk menggalakkan amalan pembiayaan runcit yang berhemat, bertanggungjawab dan telus. Garis panduan ini yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2012 akan melengkapi langkah-langkah lain yang menggalakkan perlindungan yang lebih baik kepada pengguna kewangan dan pasaran kredit yang mampan bagi memelihara kestabilan kewangan dan makroekonomi.

Garis panduan ini menghendaki institusi kewangan membuat penilaian mengenai kemampuan seseorang peminjam terhadap kemudahan pembiayaan yang diambil, berdasarkan nisbah khidmat hutang berhemat sebagai input kepada keputusan pemberian kredit mereka. Institusi kewangan perlu membuat semakan sewajarnya terhadap pendapatan bakal peminjam selepas potongan berkanun seperti cukai dan KWSP dibuat, serta mengambil kira semua tanggungan hutang semasa menilai kemampuan peminjam.  Meskipun kesemua ini adalah sejajar dengan amalan semasa kebanyakan institusi kewangan, garis panduan ini akan menggalakkan lagi pendekatan yang lebih teliti dan konsisten merentas industri apabila menilai kemampuan seseorang individu. Oleh itu, garis panduan ini memastikan supaya keadaan yang semakin kompetitif tidak akan mendorong institusi kewangan untuk melonggarkan prinsip amalan pembiayaan yang berhemat dan bertanggungjawab. Garis panduan ini juga menetapkan bahawa tempoh maksimum bagi permohonan pembiayaan kenderaan yang diterima mulai 18 November 2011 tidak boleh melebihi sembilan tahun.

Selain itu, garis panduan ini juga bertujuan untuk menggalakkan para pelanggan untuk membuat keputusan peminjaman yang wajar dengan bertemu dan berinteraksi dengan institusi kewangan lantas membantu mereka untuk mempertimbangkan dengan teliti keupayaan membayar balik semua tanggungan hutang tanpa perlu menanggung beban atau masalah hutang yang besar. Pada masa yang sama, institusi kewangan juga dikehendaki untuk memastikan pelanggan mereka diberi layanan yang sama rata dalam penjualan, pemasaran dan pengurusan kemudahan pembiayaan. Institusi kewangan juga dikehendaki untuk memaklumkan kepada pelanggan mereka maklumat khusus mengenai jumlah bayaran balik dan kos faedah serta kesan kenaikan kadar pembiayaan. Ini bagi memastikan pelanggan memahami sepenuhnya implikasi daripada keputusan untuk meminjam. Bank Negara Malaysia akan meneruskan langkah pemantauan dan penyeliaan bagi memastikan keperluan-keperluan yang ditetapkan ini dilaksanakan dengan sewajarnya.

Selain institusi kewangan di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Koperasi akan melaksanakan langkah-langkah berkaitan dengan amalan pembiayaan yang bertanggungjawab ke atas koperasi pinjaman. Ini akan memastikan penyedia-penyedia utama pembiayaan kepada sektor isi rumah turut sama melaksanakan amalan pembiayaan yang bertanggungjawab.


Bank Negara Malaysia
18 November 2011

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?