Memperkenalkan Laman Sesawang BNM dan Laman Data Terbuka BNM yang Baharu

27 Nov 2026 Notis Umum

Bank Negara Malaysia (BNM) dengan sukacitanya memperkenalkan platform digital yang telah dikemas kini.

Laman sesawang korporat BNM yang direka bentuk semula (www.bnm.gov.my) menampilkan navigasi yang lebih baik, keupayaan carian yang dipertingkatkan, serta kandungan yang diperkaya bagi memberikan pengalaman yang lebih baik dan mesra pengguna.

Sebagai sebahagian daripada transformasi ini, data dan statistik yang sebelum ini tersedia di bawah bahagian Kadar dan Statistik dalam laman sesawang BNM telah dipindahkan ke laman sesawang baharu, iaitu Laman sesawang BNM Data (data.bnm.gov.my). Laman sesawang BNM Data ialah sebuah platform data terbuka khusus untuk statistik monetari, kewangan dan ekonomi Malaysia.

Penambahbaikan ini memudahkan orang ramai mengakses maklumat, serta mencerminkan komitmen berterusan BNM untuk meningkatkan ketelusan, kebolehcapaian dan pengalaman pengguna melalui inovasi digital.

Kami menjemput anda untuk meneroka platform-platform baharu ini.

  

Laman sesawang BNM Data

Platform ini menawarkan lebih daripada 200 set data berserta pelbagai ciri penemuan dan analisis data yang dipertingkatkan, termasuk:

  • Halaman Ringkasan Data Kebangsaan (National Summary Data Page) yang menyediakan penunjuk ekonomi dan kewangan utama Malaysia di bawah Special Data Dissemination Standard (SDDS) IMF

  • Papan Pemuka Interaktif untuk penerokaan dan visualisasi data

  • Katalog Data yang merangkumi pratonton set data, metadata, pilihan muat turun dan contoh kod yang sedia untuk digunakan

  • Pembina Rajah (Chart Builder) untuk menghasilkan rajah khusus menggunakan statistik BNM dan statistik rasmi Malaysia yang lain

  • Alat ekonometrik untuk analisis regresi, siri masa dan pelarasan bermusim yang boleh dilakukan terus melalui pelayar

  • API Terbuka (Versi 2) yang menyediakan akses secara programatik kepada katalog statistik lengkap melalui antara muka yang moden dan konsisten

Data dan statistik yang sebelum ini tersedia di bawah bahagian Kadar dan Statistik dalam laman sesawang BNM kini boleh diakses menerusi Laman sesawang BNM Data, termasuk:

Semua data dalam jadual statistik yang sebelum ini tersedia dalam laman sesawang BNM masih boleh diakses melalui laman sesawang BNM Data, dengan setiap penerbitan kini dipautkan kepada set data dan papan pemuka yang berkaitan. Dalam tempoh peralihan, produk data tertentu akan terus disediakan dalam format Excel sedia ada sementara pengguna beralih kepada perkhidmatan berasaskan CSV, Parquet dan API pada platform tersebut. Penerbitan dalam format jadual statistik MHS sedia ada akan dihentikan mulai bulan Februari 2027.

Bagi pembangun dan pengguna data, API Terbuka (Versi 2) yang telah dinaik taraf menerusi https://apikijangportal.bnm.gov.my/ menawarkan liputan set data yang lebih luas serta keupayaan pertanyaan (query) yang dipertingkatkan. Versi 1 akan terus disokong sepanjang tempoh peralihan bagi memudahkan proses migrasi.

BNM mengalu-alukan semua pengguna untuk meneroka laman sesawang baharu ini dan memberikan maklum balas seiring dengan usaha BNM untuk terus menambah baik perkhidmatan digitalnya.


Bank Negara Malaysia
27 November 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?