Nisbah Keperluan Rizab Berkanun Diturunkan
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan penurunan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement, SRR) daripada 4.00% kepada 3.50%, berkuat kuasa 1 Februari 2016.
Keputusan untuk mengurangkan SRR diambil sebagai sebahagian daripada usaha Bank Negara Malaysia yang menyeluruh untuk memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik, dan untuk menyokong pasaran kewangan domestik berfungsi dengan teratur. Sejak awal tahun 2015, Bank Negara Malaysia telah bergantung pada operasi monetarinya, termasuk kemudahan repo berbalik (reverse repo), untuk menyediakan mudah tunai kepada sistem perbankan memandangkan aliran keluar bersih telah mengurangkan jumlah mudah tunai dalam sistem. Pada 21 Januari 2016, mudah tunai yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia berjumlah RM40 bilion[1].
SRR merupakan instrumen untuk menguruskan mudah tunai dan bukan menandakan pendirian dasar monetari. Kadar Dasar Semalaman (OPR) merupakan satu-satunya penunjuk pendirian dasar monetari yang diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari.
________________________
[1]Merujuk kepada jumlah mudah tunai yang disediakan oleh BNM melalui operasi monetari sejak awal tahun 2015.Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.