Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) Diturunkan

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1600 pada Khamis, 8 Mei 2025
08 Mei 2025 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement, SRR) akan diturunkan sebanyak 100 mata asas daripada 2% kepada 1% berkuat kuasa 16 Mei 2025.

Keputusan untuk mengurangkan SRR merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia bagi memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik. Langkah ini akan membantu bank-bank menguruskan mudah tunai dengan lebih baik dalam persekitaran volatiliti pasaran kewangan yang lebih tinggi serta menyediakan sokongan yang berterusan terhadap aktiviti pengantaraan kewangan. Penurunan SRR akan menambah mudah tunai bernilai kira-kira RM19 bilion ke dalam sistem perbankan.

SRR merupakan instrumen untuk menguruskan mudah tunai dan tidak memberikan isyarat tentang pendirian dasar monetari. Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) ialah satu-satunya penunjuk yang digunakan untuk memberikan isyarat tentang pendirian dasar monetari dan diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari.

 

Lihat juga: Keperluan Rizab Berkanun


Bank Negara Malaysia
08 Mei 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?