Pelantikan Ahli Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia

30 Okt 2026 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelantikan Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai ahli baharu Majlis Penasihat Shariah (MPS) BNM untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 November 2026. Pelantikan ini dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Dengan pelantikan baharu ini, MPS akan dibarisi oleh sembilan ahli yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang Syariah, kewangan Islam, perakaunan dan undang-undang. Ahli-ahli MPS ialah:

  1. Dato’ Dr. Ashraf Md Hashim (Pengerusi)
    Perunding Syariah

  2. Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali (Timbalan Pengerusi)
    Profesor Kehormat, Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

  3. Encik Burhanuddin Lukman (Ahli)
    Perunding Syariah

  4. Dr. Marjan Muhammad (Ahli)
    Timbalan Presiden Penyelidikan, Institut ISRA, Universiti INCEIF

  5. Dr. Ahmad Basri Ibrahim (Ahli)
    Ketua, Pengurusan Syariah, Permodalan Nasional Berhad

  6. Prof. Dr. Amir Shaharuddin (Ahli)
    Pengarah, Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, Universiti INCEIF

  7. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman (Ahli)
    Mantan Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia

  8. Dato’ Zabariah Mohd Yusof (Ahli)
    Mantan Hakim, Mahkamah Persekutuan

  9. Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil (Ahli Baharu)
    Mufti Wilayah Persekutuan

MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum Syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia. MPS memainkan peranan utama untuk menggalakkan kepastian pada Syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam. MPS juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu Syariah yang berkaitan dengan aktiviti atau transaksi kewangan Islam yang dijalankan oleh BNM. Keputusan Syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip Syariah. Selain itu, keputusan MPS juga digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara.

BNM juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr. Anhar Opir yang menamatkan perkhidmatan beliau sebagai ahli MPS pada 31 Oktober 2026. Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr. Anhar Opir dilantik sebagai ahli MPS pada 1 November 2019.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “MPS memberikan sumbangan penting dalam menyokong aspirasi Malaysia untuk terus memperkukuhkan kewangan Islam. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr. Anhar Opir telah memberikan sumbangan yang amat bermakna kepada MPS dengan memperkaya pertimbangan Syariah melalui penguasaan beliau dalam khazanah warisan keilmuan Islam serta penghujahan Syariah yang berwibawa. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen dan dedikasi beliau yang tidak berbelah bahagi. Saya turut mengalu-alukan pelantikan Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai ahli baharu MPS. Saya yakin kepakaran serta pengalaman beliau akan terus memperkukuh peranan MPS dalam menyokong kemajuan kewangan Islam di Malaysia.”

SAC_Mufti_Hita.png

Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil


Bank Negara Malaysia
30 Oktober 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?