Penalti Monetari Pentadbiran dan Kompaun Dikenakan terhadap JAGS Money Sdn. Bhd.

29 Okt 2025 Notis Umum

Pada 19 September 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM17,400 terhadap JAGS Money Sdn. Bhd. (JAGS) berikutan ketidakpatuhan terhadap keperluan usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD) di bawah seksyen 74(3) Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA). Peruntukan Akta ini dibaca bersama dengan perenggan 14C.1(b), 14C.4(a) dan 14C.12.1 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions, AML/CFT and TFS for FIs)[2] yang melibatkan transaksi pertukaran wang melebihi RM3,000.

Selain itu, pada 31 Julai 2025, BNM dengan persetujuan Timbalan Pendakwa Raya, juga telah mengenakan kompaun[3] sebanyak RM69,600 terhadap JAGS atas kegagalannya mematuhi keperluan di bawah seksyen 27(1) MSBA berhubung dengan pengeluaran resit kepada pelanggan untuk transaksi pertukaran wang.

Kesemua peruntukan ini menghendaki JAGS, sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), untuk mengekalkan rekod transaksi yang lengkap serta disokong dengan resit dan menjalankan CDD pada pelanggannya. Keperluan untuk mengeluarkan resit bertujuan melindungi pelanggan sekiranya berlaku pertikaian, manakala keperluan menjalankan CDD adalah untuk membolehkan RI menilai dedahan mereka kepada risiko pengubahan wang haram (money laundering, ML) dan pembiayaan keganasan (terrorism financing, TF). Perkara ini termasuk mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mencegah RI daripada melakukan ML/TF serta aktiviti jenayah serius yang lain.

BNM mengesan kedua-dua ketidakpatuhan tersebut semasa pemeriksaan di premis JAGS. Ketidakpatuhan terhadap keperluan CDD dan kegagalan mengeluarkan resit berlaku disebabkan oleh tindakan seorang bekas pekerja JAGS.

Sebagai tindak balas, JAGS telah mengambil langkah-langkah pemulihan dengan menambah baik garis panduan kepada para pekerja dan mengukuhkan lagi mekanisme pemantauannya untuk memastikan pematuhan terhadap proses dan prosedur dalaman serta keperluan BNM.

Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP dan kompaun, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk:

(a) tahap keseriusan ketidakpatuhan;

(b) kawalan terkini yang dilaksanakan oleh JAGS untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan, yang dinilai secara umumnya memadai;

(c) rekod pematuhan JAGS pada masa lalu; dan

(d) tingkah laku JAGS selepas kesalahan serta tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.

JAGS telah membayar RM17,400 bagi AMP yang dikenakan oleh BNM pada 30 September 2025 dan RM69,600 bagi kompaun yang dikenakan oleh BNM pada 7 Ogos 2025.

BNM menghendaki semua RI untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan AML/CFT dan perkhidmatan perniagaan wang. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sesuai sekiranya terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang atau pengawalseliaan.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.

 


[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 75(2)(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.

[2] Dokumen Dasar AML/CFT and TFS for FIs berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions, AML/CFT/CPF and TFS for FIs), yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Keperluan ini dikekalkan bawah perenggan 14C.10.1, 14C.12.1, 14C.10.5 dan 14C.14.1 dalam Dokumen Dasar AML/CFT/CPF and TFS for FIs.

[3] BNM mengenakan kompaun menurut seksyen 88(1) MSBA.


Bank Negara Malaysia
29 Oktober 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?