Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan atas Ketidakpatuhan Terhadap Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011
Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (administrative monetary penalty, AMP)[1] sebanyak RM16,000 terhadap Wang S. Enterprise Sdn. Bhd., pemegang lesen perniagaan perkhidmatan wang (money services business, MSB) berikutan kegagalan mengemukakan maklumat statistik kepada BNM dalam tempoh masa yang ditetapkan.[2]
Pengemukaan maklumat statistik yang tepat pada masanya adalah penting untuk pemantauan risiko, penerbitan statistik dan perumusan dasar oleh BNM.
Dalam menentukan jumlah AMP, bilangan ketidakpatuhan dan rekod pematuhan terdahulu oleh pemegang lesen MSB telah diambil kira.
Pemegang lesen MSB tersebut membayar AMP yang dikenakan oleh BNM dan telah mengambil langkah pemulihan untuk membetulkan kekurangan yang dikenal pasti, termasuk mengemukakan laporan yang tertunggak.
BNM menghendaki semua pemegang lesen MSB untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sesuai sekiranya terdapat mana-mana pemegang lesen yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 75(2)(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA).
[2] Keperluan ini ditetapkan di bawah seksyen 34(1) MSBA, dibaca bersama dengan Guidelines on Statistical Reporting for Money Services Business yang dikeluarkan pada 5 Februari 2018.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.