Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan terhadap 10 Perniagaan Perkhidmatan Wang Berlesen berikutan ketidakpatuhan kepada Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011
Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] antara RM1,500 hingga RM3,000 terhadap 10 pemegang lesen Perniagaan Perkhidmatan Wang (Money Services Business, MSB) (seperti yang disenaraikan dalam Jadual 1) berikutan ketidakpatuhan terhadap keperluan pengawalseliaan antara bulan Januari 2024 hingga Jun 2025, berkaitan dengan kegagalan untuk:
- mengemukakan maklumat statistik kepada BNM dalam tempoh masa yang ditetapkan;[2] atau
- memenuhi keperluan dana modal minimum (minimum capital fund, MCF).[3]
Perkongsian maklumat statistik yang tepat pada masanya adalah penting untuk pemantauan risiko, penerbitan statistik dan perumusan dasar oleh BNM, manakala pengekalan dana modal yang mencukupi adalah penting untuk kesinambungan dan kemampanan perniagaan bagi memenuhi permintaan awam terhadap perkhidmatan MSB.
Dalam menentukan jumlah AMP, bilangan ketidakpatuhan dan rekod pematuhan terdahulu oleh pemegang lesen MSB telah diambil kira.
Kesemua 10 pemegang lesen MSB telah membayar AMP masing-masing yang dikenakan oleh BNM dan mengambil langkah-langkah pemulihan untuk memperbaiki kelemahan pematuhan masing-masing, termasuk meningkatkan dana modal.
Jadual 1: Senarai pemegang lesen MSB
|
Bil. |
Institusi |
Ketidakpatuhan |
|
1. |
Team Smart Forex Sdn. Bhd. |
Kegagalan mengemukakan maklumat statistik kepada BNM dalam tempoh masa yang ditetapkan. |
|
2. |
Bumi Teraju Money Changers Sdn. Bhd. |
Kegagalan memenuhi keperluan dana modal minimum. |
|
3. |
DB Global Exchange Sdn. Bhd. |
|
|
4. |
Era Inspirasi Sdn. Bhd. |
|
|
5. |
Foo In Sdn. Bhd. |
|
|
6. |
Starling Peak International Sdn. Bhd. (dahulu dikenali sebagai Hijarath Traders Sdn. Bhd.) |
|
|
7. |
Maju MC Sdn. Bhd. |
|
|
8. |
Pacific Money Exchange Sdn. Bhd. |
|
|
9. |
Qurex Sdn. Bhd. |
|
|
10. |
R Trader Money Changer (M) Sdn. Bhd. |
Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.
BNM menghendaki semua pemegang lesen untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan undang-undang dan pengawalseliaan. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sesuai sekiranya terdapat mana-mana pemegang lesen yang gagal memenuhi keperluan undang-undang atau pengawalseliaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 75(2)(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA).
[2] Keperluan ini ditetapkan di bawah seksyen 34(1) MSBA, dibaca bersama dengan Guidelines on Statistical Reporting for Money Services Business yang dikeluarkan pada 5 Februari 2018.
[3] Keperluan ini ditetapkan di bawah seksyen 22(1) MSBA.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.