Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap AEON Credit Service (M) Berhad atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Sekatan Kewangan Bersasar
Pada 6 April 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM520,000 terhadap AEON Credit Service (M) Berhad (AEON Credit) berikutan kegagalan mematuhi keperluan berkaitan sekatan kewangan bersasar (targeted financial sanctions, TFS).[2]
Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), AEON Credit dikehendaki untuk menolak bakal pelanggan apabila terdapat padanan positif dengan individu atau entiti yang tersenarai dalam Senarai Domestik[3] dan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council Resolutions, UNSCR).[4] AEON Credit juga dikehendaki untuk membekukan dana pelanggan apabila identiti pelanggan dikenal pasti sebagai entiti yang ditentukan dalam senarai tersebut. Proses ini sangat penting bagi melindungi RI dan keseluruhan sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk tujuan pembiayaan aktiviti keganasan.
BNM mengesan ketidakpatuhan ini susulan pemeriksaan penyeliaan di premis, yang mendedahkan bahawa satu entiti yang ditentukan yang tersenarai dalam Senarai Domestik telah didaftarkan sebagai pelanggan. AEON Credit gagal menolak padanan berpotensi tersebut meskipun padanannya positif. Selain itu, terdapat juga kelewatan dalam membekukan akaun pelanggan selepas pengesahan bahawa pelanggan tersebut adalah satu entiti yang ditentukan. Ketidakpatuhan ini berlaku disebabkan oleh tahap pengawasan kakitangan yang rendah serta kelemahan dalam prosedur operasi standard (standard operating procedure, SOP) AEON Credit.
AEON Credit telah pun menjalankan langkah-langkah pemulihan dengan menambah baik SOP dan memberikan latihan kepada kakitangan yang berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan TFS.
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:
- kekurangan usaha yang wajar oleh AEON Credit dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan TFS;
- rekod pematuhan AEON Credit pada masa lalu; dan
- penilaian terhadap tingkah laku AEON Credit selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.
Pada 16 April 2026, AEON Credit telah membayar RM520,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.
BNM menghendaki semua RI untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan TFS. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sesuai sekiranya terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap AEON Credit adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 234(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA).
[2] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 48(1)(a) FSA, dibaca bersama dengan perenggan 27.6.1 dan 27.6.2 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT and TFS for FIs PD).
Nota: AML/CFT and TFS for FIs PD berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD), yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Kesemua keperluan ini dikekalkan di bawah perenggan 27.6.1 dan 27.6.2 AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD.
[3] Senarai Domestik merujuk nama dan butiran entiti yang ditentukan seperti yang diisytiharkan oleh Menteri Dalam Negeri di bawah perundangan subsidiari yang berkaitan yang dibuat di bawah seksyen 66(B)(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).
[4] Senarai UNSCR merujuk nama dan butiran individu yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council, UNSC) atau Jawatankuasa Sekatan yang berkaitan menurut UNSCR dan dianggap sebagai entiti yang ditentukan di bawah seksyen 66C(2) AMLA.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.