Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap AmBank (M) Berhad dan AmBank Islamic Berhad atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan
Pada 10 September 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (administrative monetary penalties, AMP)[1] sebanyak RM276,000 masing-masing terhadap AmBank (M) Berhad (AmBank) dan AmBank Islamic Berhad (AmBank Islamic) (secara kolektif dirujuk sebagai Kumpulan AmBank) berikutan kegagalan mengemukakan laporan nilai ambang tunai (cash threshold reports, CTR) kepada BNM dengan kadar segera.[2]
Sebagai institusi pelapor (reporting institutions, RI), Kumpulan AmBank dikehendaki untuk mengemukakan CTR kepada BNM dengan kadar segera.[3] Pengemukaan CTR ini memberikan maklumat bernilai kepada BNM dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain bagi membantu siasatan jenayah kewangan. Pengemukaan CTR dengan kadar segera juga mengurangkan risiko RI digunakan sebagai saluran aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (money laundering and terrorism financing, ML/TF) serta aktiviti jenayah lain.
Ketidakpatuhan tersebut dikenal pasti melalui semakan Kumpulan AmBank terhadap rekod transaksi dan pelaporan kawal selianya. Melalui semakan tersebut, Kumpulan AmBank mendapati bahawa mereka gagal mengemukakan CTR kepada BNM bagi berbilang transaksi. Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan dalam pelaksanaan teknologi berikutan pengawasan yang tidak mencukupi terhadap perubahan sistem.
Kumpulan AmBank telah mengambil langkah-langkah pemulihan, termasuk pengemukaan CTR yang tidak dilaporkan kepada BNM, penambahbaikan terhadap prosedur operasi standard dan sistemnya serta pengukuhan rangka kerja kawalan dan pengawasan.
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:
kekurangan usaha wajar oleh Kumpulan AmBank bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan pencegahan pembiayaan percambahan (anti-money laundering, countering financing of terrorism and countering of proliferation financing, AML/CFT/CPF);
rekod pematuhan Kumpulan AmBank pada masa lalu; dan
tingkah laku Kumpulan AmBank selepas salah laku tersebut, termasuk pelaporan sendiri ketidakpatuhan tersebut oleh Kumpulan AmBank serta keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.
Pada 22 September 2026, AmBank dan AmBank Islamic masing-masing telah membayar AMP berjumlah RM276,000 yang dikenakan oleh BNM.
BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan AML/CFT/CPF. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya jika terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi mana-mana keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap Kumpulan AmBank adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP tersebut menurut seksyen 234(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA) dan seksyen 245(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act 2013, IFSA).
[2] Bagi AmBank, keperluan tersebut diperuntukkan di bawah seksyen 48(1)(a) FSA yang dibaca bersama perenggan 30.1.1 Anti-Money Laundering and Counter Financing of Terrorism – Banking and Deposit-Taking Institutions (Sector 1) Policy Document, AML/CFT Sector 1 PD), perenggan 21.4.3 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT and TFS for FIs PD), serta perenggan 21.4.3 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD).
Bagi AmBank Islamic, keperluan tersebut diperuntukkan di bawah seksyen 58(1)(a) IFSA yang dibaca bersama perenggan 30.1.1 AML/CFT Sector 1 PD, perenggan 21.4.3 AML/CFT and TFS for FIs PD dan perenggan 21.4.3 AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD.
Nota: AML/CFT Sector 1 PD berkuat kuasa dari 16 September 2013 hingga 31 Disember 2019 dan telah digantikan oleh AML/CFT and TFS for FIs PD yang berkuat kuasa dari 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024. AML/CFT and TFS for FIs PD seterusnya telah digantikan oleh AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD yang mula berkuat kuasa pada 6 Februari 2024.
[3] RI dikehendaki untuk mengemukakan CTR kepada BNM dalam tempoh 5 hari bekerja dari tarikh transaksi tersebut.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.