Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Keselamatan Siber dan Perlindungan Maklumat Pelanggan

01 Apr 2026 Notis Umum

Pada 20 Januari 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM1,000,000 terhadap
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (BKRM) berikutan kegagalan untuk:

  1. melaksanakan standard keselamatan siber yang teguh seperti yang dikehendaki di bawah Dokumen Dasar Pengurusan Risiko Teknologi (Risk Management in Technology Policy Document, RMiT PD);[2] dan
  2. melindungi maklumat pelanggan melalui kawalan yang mencukupi seperti yang dikehendaki di bawah Dokumen Dasar Pengurusan Maklumat Pelanggan dan Pendedahan yang Dibenarkan (Management of Customer Information and Permitted Disclosures Policy Document, MCIPD PD).[3]

BNM mendapati bahawa BKRM tidak mematuhi beberapa keperluan di bawah RMiT PD dan MCIPD PD susulan satu insiden keselamatan siber melibatkan pelaku ancaman luar yang telah mendapat akses tanpa kebenaran kepada infrastruktur IT BKRM. Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kawalan keselamatan siber serta respons insiden yang tidak memadai.

BKRM telah mengambil langkah-langkah pemulihan dengan memperkukuh keselamatan siber serta kawalan, sumber dan tadbir urus untuk teknologi maklumat dan komunikasi (information and communication technology, ICT).

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:

  1. kekurangan usaha yang wajar oleh BKRM dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan RMiT PD dan MCIPD PD;
  2. kawalan semasa yang dilaksanakan oleh BKRM untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan yang berkenaan;
  3. rekod pematuhan BKRM pada masa lalu; dan
  4. tingkah laku BKRM selepas ketidakpatuhan dikesan serta keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil oleh BKRM untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.

Pada 26 Januari 2026, BKRM telah membayar RM1,000,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.

BNM menghendaki semua institusi kewangan untuk mematuhi RMiT PD dan MCIPD PD. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya terdapat mana-mana institusi kewangan yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap BKRM adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan yang telah diterbitkan.

 

Keperluan RMiT PD

Memandangkan penggunaan teknologi dalam perkhidmatan kewangan semakin berkembang, penting bagi institusi kewangan untuk memperkukuh daya tahan teknologi mereka bagi menghadapi ancaman siber dan gangguan operasi lain, sekali gus mengekalkan keyakinan pelanggan. Sehubungan dengan itu, RMiT PD menghendaki institusi kewangan untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan siber yang kukuh untuk mengesan, mengenal pasti, melindungi daripada dan bertindak balas terhadap pelbagai ancaman siber. Selain itu, institusi kewangan juga perlu menyepadukan pengurusan insiden siber yang menyeluruh dalam pelan kesinambungan perniagaan dan pelan pemulihan institusi, termasuk protokol komunikasi yang berkesan untuk semua pihak berkepentingan semasa berlakunya insiden.

 

Keperluan MCIPD PD

Memandangkan penyedia perkhidmatan kewangan (PPK)[4] mengendalikan maklumat pelanggan yang banyak, penting bagi PPK untuk mewujudkan proses dan kawalan yang mantap bagi melindungi maklumat tersebut daripada kecurian, kehilangan, penyalahgunaan ataupun akses, pengubahsuaian atau pendedahan tanpa kebenaran. Langkah ini bertujuan untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan. Sehubungan dengan itu, MCIPD PD antara lain menghendaki PPK untuk melaksanakan kawalan ICT berbentuk pencegahan dan pengesanan bagi melindungi maklumat pelanggan serta mengesan ralat dan ketidaklaziman (irregularities) dengan segera. PPK juga perlu memantau semua kawalan ini secara berkala dan melaksanakan mekanisme untuk mengesan akses tanpa kebenaran, aktiviti pembacaan (viewing) atau muat turun yang mencurigakan, serta sebarang pendedahan maklumat pelanggan yang tidak dibenarkan.

 


[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 106A(3)(b(i) Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Development Financial Institutions Act 2002, DFIA).

[2] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 41(4)(a) DFIA, dibaca bersama dengan perenggan 10.63(a), 11.4(a), 11.15(c), 11.18(f) dan 11.22 RMiT PD. RMIT PD berkuat kuasa pada 1 Jun 2023, dengan pengeluaran semula terkini berkuat kuasa pada 28 November 2025. Kesemua keperluan ini dikekalkan di bawah perenggan 10.18(a), 11.3(h), Lampiran 5 (Part B, 2(c)),
Lampiran 5 (Part C, 2(f)) dan perenggan 11.12 RMiT PD 2025.

[3] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 41(4)(a) DFIA, dibaca bersama dengan perenggan 10.12, 10.13 dan 10.23 MCIPD PD. MCIPD PD berkuat kuasa pada 3 April 2023, dengan pengeluaran semula terkini berkuat kuasa pada
31 Oktober 2025. Keperluan ini dikekalkan di bawah perenggan 10.12, 10.13 dan 10.23 MCIPD PD 2025.

[4] Istilah “institusi kewangan” digunakan dalam RMiT PD, manakala istilah “penyedia perkhidmatan kewangan” digunakan dalam MCIPD PD. Bagi tujuan notis ini, BKRM dirujuk sebagai “institusi kewangan”.

 


Bank Negara Malaysia
01 April 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?