Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap Jin Cheng Gong Sdn. Bhd. atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 24 Jun 2026
24 Jun 2026 Notis Umum

Pada 14 Mei 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM16,800 terhadap Jin Cheng Gong Sdn. Bhd. (JCG) berikutan kegagalan mematuhi keperluan berkaitan usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD).[2]

Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), JCG dikehendaki untuk melaksanakan CDD ke atas pelanggan dan pemilik benefisial.[3] Keperluan CDD ini bertujuan untuk membolehkan RI menilai tahap dedahan terhadap risiko pengubahan wang haram (money laundering, ML) dan pembiayaan keganasan (terrorism financing, TF), serta mengurangkan risiko RI daripada digunakan sebagai saluran untuk ML/TF dan aktiviti jenayah serius yang lain.

BNM mengesan ketidakpatuhan ini semasa pemeriksaan penyeliaan terhadap JCG. Semasa pemeriksaan tersebut, BNM mendapati bahawa JCG gagal mengenal pasti dan/atau mengesahkan identiti pemilik benefisial berhubung dengan transaksi pertukaran wang, akibat kurangnya tahap kesedaran dan pengawasan dalam memastikan pelaksanaan CDD secara menyeluruh.

JCG telah pun melaksanakan langkah-langkah pemulihan dengan memberikan latihan kepada kakitangannya dan menggantikan pihak pengurusan JCG bagi mengukuhkan pematuhan terhadap keperluan CDD.

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:

  1. kawalan terkini yang dilaksanakan oleh JCG dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan CDD;
  2. rekod pematuhan JCG pada masa lalu; dan
  3. penilaian terhadap tingkah laku JCG selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.

Pada 26 Mei 2026, JCG telah membayar RM16,800 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.

BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan (anti-money laundering and countering financing of terrorism, AML/CFT). BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sesuai sekiranya terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap JCG adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.


[1] BNM mengenakan AMP menurut perenggan 75(2)(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA).

[2] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 74(3) MSBA, dibaca bersama dengan perenggan 14C.4(c), 14C.10.1 dan 14C.10.2 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT and TFS for FIs PD).

Nota: AML/CFT and TFS for FIs PD berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD), yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Kesemua keperluan ini dikekalkan di bawah perenggan 14C.4(c), 14C.10.1 dan 14C.10.2 AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD.

[3] Apabila melaksanakan CDD ke atas pelanggan, RI dikehendaki untuk mengenal pasti dan mengesahkan identiti pelanggan dengan mendapatkan maklumat utama yang diperlukan. RI juga dikehendaki untuk mengenal pasti pemilik benefisial serta mengambil langkah-langkah yang munasabah bagi mengesahkan identiti pemilik benefisial tersebut dengan menggunakan maklumat atau data yang relevan daripada sumber yang boleh dipercayai, supaya RI berpuas hati dengan ketepatan identiti pemilik benefisial tersebut.


Bank Negara Malaysia
24 Jun 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?