Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan terhadap Mayfair Forex Sdn. Bhd.

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 31 Disember 2025
31 Dis 2025 Notis Umum

Pada 5 Disember 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM10,200 ke atas Mayfair Forex Sdn. Bhd. (Mayfair). AMP ini berikutan ketidakpatuhan kepada keperluan usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD) di bawah seksyen 74(3) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA), dibaca bersama dengan perenggan 14C.4(a) dan 14C.12.1 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD).[2]

Kesemua peruntukan ini menghendaki Mayfair sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI) untuk melaksanakan CDD ke atas pelanggannya. Keperluan CDD bertujuan untuk membolehkan RI menilai tahap dedahan terhadap risiko pengubahan wang haram (money laundering, ML) dan pembiayaan keganasan (terrorism financing, TF), serta mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mencegah RI daripada melakukan ML/TF dan aktiviti jenayah serius yang lain.

BNM mengesan ketidakpatuhan tersebut semasa pemeriksaan di premis Mayfair. Pemeriksaan mendapati Mayfair telah gagal menjalankan CDD ke atas seorang pelanggan berkaitan transaksi penukaran wang melebihi RM3,000. Sebagai tindak balas, Mayfair telah mengambil langkah-langkah pemulihan dengan mempertingkatkan latihan bagi kakitangannya serta menambah baik sistem untuk mengukuhkan pematuhannya kepada CDD.

Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira
faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan termasuk: 

  1. tahap ketidakpatuhan;
  2. kawalan terkini yang dilaksanakan oleh Mayfair untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan, yang dinilai secara umumnya memadai;
  3. rekod pematuhan Mayfair pada masa lalu; dan
  4. penilaian terhadap tingkah laku Mayfair selepas kesalahan dikesan serta keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil oleh Mayfair untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.

Mayfair telah membayar RM10,200 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM pada 11 Disember 2025.

BNM menghendaki semua RI untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan AML/CFT dan perkhidmatan perniagaan wang. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sesuai sekiranya terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang atau pengawalseliaan.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap Mayfair adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.


[1] BNM mengenakan AMP menurut perenggan 75(2)(b) MSBA.
[2] Dokumen Dasar ini berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. 


Bank Negara Malaysia
31 Disember 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?