Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan terhadap MBSB Bank Berhad

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Khamis, 29 Januari 2026
29 Jan 2026 Notis Umum

Pada 20 November 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM560,000 terhadap MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) berikutan kegagalan mematuhi keperluan yang berkaitan pelaporan transaksi yang mencurigakan (suspicious transaction report, STR)[2] walaupun transaksi tersebut menepati kriteria dalaman (“tanda amaran” atau “red flags”) yang telah ditetapkan oleh MBSB Bank.

Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), MBSB Bank dikehendaki untuk mengemukakan STR kepada BNM apabila terdapat apa-apa transaksi atau cubaan transaksi oleh pelanggannya yang menepati “tanda amaran” yang ditetapkan untuk mengesan transaksi yang mencurigakan.[3] Keperluan ini adalah untuk mengurangkan risiko RI digunakan sebagai saluran untuk pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (money laundering and terrorism financing, ML/TF) serta aktiviti jenayah serius yang lain. Selain itu, STR yang dikemukakan dapat memberikan maklumat dan/atau risikan yang bernilai mengenai kemungkinan aktiviti jenayah kepada BNM dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain bagi menyokong siasatan jenayah kewangan.

Walaupun transaksi tersebut menunjukkan “tanda amaran” yang ditetapkan oleh
MBSB Bank, BNM mendapati bahawa MBSB Bank telah gagal mengemukakan STR berkaitan pengeluaran wang tunai dalam jumlah yang luar biasa. Ketidakpatuhan ini berlaku disebabkan oleh kurangnya tahap kesedaran kakitangan mengenai keperluan berkaitan STR.

MBSB Bank telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memperkukuh langkah pencegahan risiko AML/CFT secara keseluruhan.

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:

  1. kekurangan usaha yang wajar oleh MBSB Bank dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan STR;
  2. kawalan semasa yang dilaksanakan oleh MBSB Bank untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan yang berkenaan; dan
  3. rekod pematuhan MBSB Bank pada masa lalu.

Pada 3 Disember 2025, MBSB Bank telah membayar RM560,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.

BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan AML/CFT/CPF. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sesuai sekiranya terdapat
mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap MBSB Bank adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan yang telah diterbitkan.

 


[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 245(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act 2013, IFSA).

[2] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 58(1)(a) IFSA, dibaca bersama dengan perenggan 22.3.2 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD).

[3] Di bawah perenggan 22.3.2 AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD, RI hendaklah membuat pertimbangan untuk mengemukakan STR apabila terdapat apa-apa transaksi atau cubaan transaksi oleh pelanggannya yang menepati senarai “tanda amaran” dalaman RI.

 


Bank Negara Malaysia
29 Januari 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?