Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan terhadap Moneywave Sdn. Bhd.

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 26 November 2025
26 Nov 2025 Notis Umum

Pada 31 Oktober 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM14,000 ke atas Moneywave Sdn. Bhd. (Moneywave) berikutan ketidakpatuhan kepada keperluan saringan sekatan di bawah seksyen 74(3) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA), dibaca bersama dengan:

  • perenggan 27.3.1, 27.3.6, 28.2.2 dan 29.2.2 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, 2019 AML/CFT and TFS for FIs PD); dan
  • perenggan 27.3.1, 27.3.6, 28.2.2 dan 29.2.2 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, 2024 AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD).[2]

Kesemua peruntukan ini menghendaki Moneywave selaku institusi pelapor (reporting institution, RI) untuk menyenggara pangkalan data sekatan berdasarkan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council Resolutions, UNSCR)[3] dan Senarai Domestik.[4] Langkah ini penting bagi melindungi RI dan keseluruhan sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk tujuan pembiayaan aktiviti keganasan dan/atau pembiayaan percambahan.

BNM telah mengenal pasti ketidakpatuhan tersebut semasa pemeriksaan di premis Moneywave. Pemeriksaan mendapati bahawa Moneywave tidak memiliki sebarang pangkalan data sekatan berdasarkan Senarai UNSCR dan Senarai Domestik. Sebagai tindak balas, Moneywave telah mengambil langkah-langkah pemulihan dengan melanggan perkhidmatan pangkalan data sekatan komersial yang telah diintegrasikan ke dalam sistem pertukaran mata wangnya.

Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan termasuk: 

  1. tahap keseriusan ketidakpatuhan;
  2. kawalan semasa Moneywave untuk memastikan pematuhan kepada keperluan, yang dinilai secara amnya memadai;
  3. rekod pematuhan Moneywave pada masa lalu; dan
  4. penilaian terhadap tingkah laku Moneywave selepas kesalahan serta keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.

Moneywave telah membayar RM14,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM pada
4 November 2025.

BNM menghendaki semua RI untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan sekatan kewangan bersasar. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya mana-mana RI gagal memenuhi keperluan undang-undang atau peraturan tersebut.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap Moneywave adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.

 


[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 75(2)(b) MSBA.

[2] Dokumen Dasar 2019 AML/CFT and TFS for FIs berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar 2024 AML/CFT/CPF and TFS for FIs, yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. 

[3] Senarai UNSCR mengandungi senarai nama dan butiran individu yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council, UNSC) atau Jawatankuasa Sekatan yang berkaitan mengikut UNSCR yang relevan dan dianggap sebagai:

  1. entiti tertentu berdasarkan seksyen 66C(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA) untuk Sekatan Kewangan Bersasar berkaitan Pembiayaan Keganasan;
  2. Orang yang ditetapkan di bawah peraturan turunan Akta Perdagangan Strategik 2010 (Strategic Trade Act, STA) yang berkaitan untuk Sekatan Kewangan Bersasar berkaitan Pembiayaan Penyaluran Senjata; dan
  3. Individu yang ditetapkan di bawah Peraturan yang berkaitan dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Central Bank Act, CBA) untuk Sekatan Kewangan Bersasar di bawah Rejim Sekatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu yang lain.

[4] Senarai Domestik ialah senarai nama dan butiran entiti ditentukan yang diisytiharkan oleh Kementerian Dalam Negeri di bawah perundangan subsidiari yang berkaitan yang dibuat di bawah seksyen 66B(1) AMLA.

 

 

 


Bank Negara Malaysia
26 November 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?