Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap Ruhanmas Forex Sdn. Bhd. atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Sekatan Kewangan Bersasar

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 30 September 2026
30 Sep 2026 Notis Umum

Pada 27 Ogos 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (administrative monetary penalty, AMP)[1] sebanyak RM11,500 terhadap Ruhanmas Forex Sdn. Bhd.  (Ruhanmas) berikutan kegagalan mematuhi keperluan sekatan kewangan bersasar (targeted financial sanctions, TFS).[2]

Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), Ruhanmas dikehendaki untuk menyenggara pangkalan data sekatan berdasarkan Senarai Domestik dan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council Resolutions, UNSCR), serta melaksanakan saringan sekatan terhadap pelanggan berdasarkan kedua-dua senarai tersebut. Proses ini penting bagi melindungi RI dan keseluruhan sistem kewangan daripada digunakan untuk tujuan pembiayaan aktiviti keganasan serta aktiviti lain yang tertakluk pada sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

BNM telah mengesan ketidakpatuhan ini susulan pemeriksaan penyeliaan di premis Ruhanmas. Semasa pemeriksaan dijalankan, Ruhanmas didapati gagal menyenggara mekanisme saringan sekatan dan tidak melaksanakan saringan sekatan terhadap pelanggannya. Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kurangnya pemahaman Ruhanmas terhadap keperluan pengawalseliaan yang berkaitan.

Ruhanmas telah mengambil langkah-langkah pemulihan dengan melanggan perkhidmatan pangkalan data sekatan komersial yang telah diintegrasikan dalam sistem pertukaran mata wang syarikat tersebut.

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:

  1. langkah atau kawalan yang tidak mencukupi oleh Ruhanmas dalam memastikan pematuhan terhadap obligasi berkaitan TFS;
  2. rekod pematuhan Ruhanmas pada masa lalu; dan
  3. penilaian terhadap tingkah laku Ruhanmas selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.

Pada 17 September 2026, Ruhanmas telah membayar RM11,500 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.

BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan pencegahan pembiayaan percambahan (anti-money laundering, countering financing of terrorism and countering proliferation financing, AML/CFT/CPF). BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya jika terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap Ruhanmas adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.


[1] BNM telah mengenakan AMP menurut seksyen 75(2)(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA).

[2] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 74(3) MSBA dibaca bersama dengan perenggan 27.3.1, 27.3.6, 27.4.1, 28.2.2, 28.3.1, 29.2.2 dan 29.3.1 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD).

Butiran lanjut mengenai semua keperluan tersebut boleh didapati dalam AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD.


Bank Negara Malaysia
30 September 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?