Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap Setel Ventures Sdn. Bhd. atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Sekatan Kewangan Bersasar
Pada 15 April 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (administrative monetary penalty, AMP)[1] sebanyak RM637,500 terhadap Setel Ventures Sdn. Bhd. (Setel) berikutan kegagalan mematuhi keperluan berkaitan sekatan kewangan bersasar (targeted financial sanctions, TFS).[2]
Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), Setel dikehendaki mengemas kini pangkalan data sekatan sebaik sahaja Senarai Domestik[3] diterbitkan dan melakukan saringan sekatan ke atas seluruh pangkalan data pelanggan mengikut Senarai Domestik. Setel juga dikehendaki mengenal pasti sama ada padanan yang berpotensi merupakan padanan tepat. Proses ini sangat penting bagi melindungi RI dan keseluruhan sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk tujuan pembiayaan aktiviti keganasan.
Beberapa ketidakpatuhan ini telah dikesan berikutan laporan Setel mengenai beberapa entiti yang ditentukan[4]. Berdasarkan penilaian lanjut, BNM mendapati bahawa Setel telah gagal mengemas kini pangkalan data sekatan sebaik sahaja Senarai Domestik diterbitkan. Setel juga gagal untuk melakukan saringan sekatan ke atas senarai pelanggan dalam pangkalan data dan seterusnya gagal untuk menentukan sama ada padanan berpotensi merupakan padanan tepat.
Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan dalam prosedur operasi standard (standard operating procedure, SOP) dan sistem saringan sekatan. Setel telah menjalankan langkah-langkah pemulihan dengan mengemas kini dan membaiki kelemahan dalam SOP serta menambah baik sistem dalaman bagi memastikan kepatuhan terhadap keperluan TFS.
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:
- kekurangan usaha yang wajar oleh Setel dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan TFS;
- rekod pematuhan Setel pada masa lalu; dan
- penilaian terhadap tingkah laku Setel selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.
Pada 6 Mei 2026, Setel telah membayar RM637,500 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.
BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan TFS. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya jika terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap Setel adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 234(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA).
[2] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 48(1)(a) FSA, dibaca bersama dengan perenggan 27.3.5, 27.3.7, 27.4.2, dan 27.4.5 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT and TFS for FIs PD).
Nota: AML/CFT and TFS for FIs PD berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD), yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Kesemua keperluan ini dikekalkan di bawah perenggan 27.3.5, 27.3.7, 27.4.4 dan 27.4.8 AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD.
[3] Senarai Domestik merujuk nama dan butiran entiti yang ditentukan seperti yang diisytiharkan oleh Menteri Dalam Negeri di bawah perundangan subsidiari yang berkaitan yang dibuat di bawah seksyen 66(B)(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA)
[4] Individu atau entiti yang tersenarai dalam Senarai Domestik.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.