Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan terhadap Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad
Pada 20 November 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalty, AMP)[1] sebanyak RM460,000 terhadap Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) berikutan kegagalan untuk mengemukakan laporan transaksi yang mencurigakan (suspicous transaction report, STR) pada kadar segera.[2]
Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), SME Bank dikehendaki untuk melaporkan transaksi yang mencurigakan pada kadar segera kepada BNM.[3] Keperluan ini adalah untuk mengurangkan risiko RI daripada digunakan sebagai saluran untuk pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (money laundering and terrorism financing, ML/TF) serta aktiviti jenayah serius yang lain. Selain itu, STR yang dikemukakan dapat memberikan maklumat dan/atau risikan yang bernilai mengenai kemungkinan aktiviti jenayah kepada BNM dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain bagi menyokong siasatan jenayah kewangan.
BNM mendapati bahawa SME Bank telah gagal mengemukakan STR dengan segera berhubung dengan aktiviti mencurigakan yang dilakukan oleh beberapa pelanggannya. Ketidakpatuhan ini berlaku disebabkan oleh kurangnya tahap kesedaran kakitangan mengenai keperluan berkaitan STR.
SME Bank telah mengambil langkah-langkah pemulihan dengan mempertingkatkan dasar dalaman AML/CFT dan meningkatkan latihan untuk kakitangan yang berkaitan mengenai keperluan AML/CFT.
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:
- kekurangan usaha yang wajar oleh SME Bank dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan STR;
- kawalan semasa yang dilaksanakan oleh SME Bank untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan yang berkenaan; dan
- rekod pematuhan SME Bank pada masa lalu.
Pada 3 Disember 2025, SME Bank telah membayar RM460,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.
BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan AML/CFT. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sesuai sekiranya terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap SME Bank adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan yang telah diterbitkan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 106A(3)(b)(i) Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Development Financial Institutions Act 2002, DFIA).
[2] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 41(4)(a) DFIA, dibaca bersama dengan perenggan 22.1.1 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT and TFS for FIs PD).
Nota: AML/CFT and TFS for FIs PD berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD), yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Keperluan ini dikekalkan di bawah perenggan 22.1.1 AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD.
[3] Di bawah perenggan 22.1.1 AML/CFT and TFS for FIs PD, RI dikehendaki untuk mengemukakan STR dengan kadar segera kepada BNM setiap kali RI mengesyaki atau mempunyai alasan yang munasabah untuk mengesyaki bahawa transaksi, tanpa mengambil kira amaun:
- kelihatan lain daripada kebiasaan;
- tidak mempunyai tujuan ekonomi yang jelas;
- kelihatan tidak sah;
- melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan; atau
- menunjukkan bahawa pelanggan terlibat dalam ML/TF.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.