Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap Smile Honesty Forex Sdn. Bhd. atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan
Pada 24 September 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (administrative monetary penalty, AMP)[1] sebanyak RM8,400 terhadap Smile Honesty Forex Sdn. Bhd. (SHFSB) berikutan kegagalan mematuhi keperluan berkaitan usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD).[2]
Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), SHFSB dikehendaki untuk melaksanakan CDD terhadap pelanggannya.[3] Keperluan untuk melaksanakan CDD ini bertujuan untuk membolehkan RI menilai tahap dedahan terhadap risiko pengubahan wang haram (money laundering, ML) dan pembiayaan keganasan (terrorism financing, TF) serta mengurangkan risiko RI digunakan sebagai saluran aktiviti ML/TF dan aktiviti jenayah lain.
BNM telah mengesan ketidakpatuhan ini susulan pemeriksaan penyeliaan di premis SHFSB. Semasa pemeriksaan dijalankan, BNM mendapati bahawa SHFSB gagal melaksanakan CDD terhadap seorang pelanggan berhubung dengan transaksi pertukaran mata wang. Dalam hal ini, CDD gagal dilaksanakan disebabkan oleh kelalaian kakitangan.
SHFSB telah melaksanakan langkah-langkah pemulihan dengan memperkukuh kawalan dalamannya bagi menangani kelemahan yang dikenal pasti.
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk faktor-faktor yang berikut:
kawalan semasa yang dilaksanakan oleh SHFSB bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan CDD;
rekod pematuhan SHFSB pada masa lalu; dan
tingkah laku SHFSB selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan tersebut daripada berulang.
Pada 7 Oktober 2026, SHFSB telah membayar AMP sebanyak RM8,400 yang dikenakan oleh BNM.
BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan pencegahan pembiayaan percambahan (anti-money laundering, countering financing of terrorism and countering proliferation financing, AML/CFT/CPF). BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya jika terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi mana-mana keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap SHFSB adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 75(2)(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA).
[2]Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 74(3) MSBA, dibaca bersama dengan perenggan 14C.4(a) Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD).
[3]Apabila melaksanakan CDD, RI dikehendaki mengenal pasti pelanggan dan mengesahkan identiti pelanggan tersebut menggunakan dokumen, data atau maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai dan bebas.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.