Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap SMJ Teratai Sdn. Bhd. atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 30 September 2026
30 Sep 2026 Notis Umum

Pada 23 Julai 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (administrative monetary penalty, AMP)[1] sebanyak RM6,900 terhadap SMJ Teratai Sdn. Bhd. (SMJ Teratai) berikutan kegagalan mematuhi keperluan berkaitan usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD).[2]

Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), SMJ Teratai dikehendaki untuk melaksanakan CDD terhadap pelanggannya.[3] Keperluan untuk melaksanakan CDD ini bertujuan untuk membolehkan RI menilai tahap dedahan terhadap risiko pengubahan wang haram (money laundering, ML) dan pembiayaan keganasan (terrorism financing, TF) serta mengurangkan risiko RI digunakan sebagai saluran untuk aktiviti ML/TF dan aktiviti jenayah yang lain.

BNM telah mengesan ketidakpatuhan ini susulan pemeriksaan penyeliaan yang dijalankan terhadap SMJ Teratai. Semasa pemeriksaan dijalankan, BNM mendapati bahawa SMJ Teratai gagal melaksanakan CDD terhadap seorang pelanggan berhubung dengan beberapa transaksi pertukaran wang berikutan kurang mengambil langkah berhati-hati secara munasabah dalam pelaksanaan keperluan CDD oleh kakitangannya.

SMJ Teratai telah mengambil langkah-langkah pemulihan termasuk memberikan latihan semula kepada kakitangannya, menambah baik prosedur operasi standard serta memperkukuh rangka kerja tadbir urus dan kawalan dalaman.

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:

  1. kawalan semasa yang dilaksanakan oleh SMJ Teratai bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan CDD;
  2. rekod pematuhan SMJ Teratai pada masa lalu; dan
  3. tingkah laku SMJ Teratai selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.

Pada 5 Ogos 2026, SMJ Teratai telah membayar RM6,900 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.

BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan pencegahan pembiayaan percambahan (anti-money laundering, countering financing of terrorism and countering proliferation financing, AML/CFT/CPF). BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya jika terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap SMJ Teratai adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.


[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 75(2)(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA).

[2] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 74(3) MSBA, dibaca bersama dengan perenggan 14C.10.6 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT and TFS for FIs PD).

Nota: AML/CFT and TFS for FIs PD berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD), yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Kesemua keperluan ini dikekalkan dalam perenggan 14C.10.6 AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD.

[3] Apabila melaksanakan CDD, RI dikehendaki untuk mengenal pasti dan mengesahkan identiti individu yang diberi kuasa untuk mewakili sesebuah syarikat, sama ada melalui surat kuasa atau resolusi pengarah apabila berurusan dengan individu tersebut.


Bank Negara Malaysia
30 September 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?