Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap Standard Chartered Bank Malaysia Berhad dan Standard Chartered Saadiq Berhad atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Sekatan Kewangan Bersasar

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 26 Ogos 2026
26 Ogo 2026 Notis Umum

Pada 10 Jun 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (administrative monetary penalty, AMP)[1] sebanyak RM132,000 terhadap Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (SCBMB) dan RM132,000 terhadap Standard Chartered Saadiq Berhad (SCSB) (secara kolektif dirujuk sebagai SCB) berikutan kegagalan mematuhi keperluan sekatan kewangan bersasar (targeted financial sanctions, TFS).[2]

Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), SCB dikehendaki untuk mengemas kini pangkalan data sekatan sebaik sahaja Senarai Domestik[3] diterbitkan dan melaksanakan saringan sekatan ke atas pelanggan sedia ada, bakal pelanggan atau pelanggan baharu berdasarkan Senarai Domestik dan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council Resolutions, UNSCR)[4] sebagai sebahagian daripada proses usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD). Proses ini penting bagi melindungi RI dan keseluruhan sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk tujuan pembiayaan aktiviti keganasan.

BNM telah mengesan ketidakpatuhan ini susulan pemeriksaan penyeliaan di premis SCB. Semasa pemeriksaan dijalankan, SCB didapati gagal mengemas kini pangkalan data sekatan dengan segera selepas Senarai Domestik diterbitkan, yang menyebabkan saringan sekatan dilakukan berdasarkan pangkalan data yang tidak dikemas kini. Walau bagaimanapun, tiada entiti yang tersenarai[5] telah didaftar sebagai pelanggan SCB yang baharu dan SCB tidak menjalankan apa-apa transaksi yang melibatkan entiti berkenaan. Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan dalam kawalan saringan sekatan SCB, serta kelemahan dalam memastikan proses saringan tersebut sejajar dengan keperluan kawal selia.

SCB telah mengambil langkah-langkah pemulihan untuk memperkukuh kawalannya dan meningkatkan keberkesanan pengurusan saringan sekatan, termasuk memantapkan fungsi pemantauan dan meningkatkan kawalan saringan sekatan yang tepat pada masanya bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan TFS.

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:

  1. kekurangan usaha yang wajar oleh SCB dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan TFS;
  2. rekod pematuhan SCB pada masa lalu; dan
  3. penilaian terhadap tingkah laku SCB selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.

Pada 15 Jun 2026, SCBMB dan SCSB masing-masing telah membayar RM132,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.

BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan TFS. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya jika terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap SCB adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.

 


[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 234(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA) dan seksyen 245(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act 2013, IFSA).

[2] Bagi SCBMB, keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 48(1)(a) FSA, dibaca bersama dengan perenggan 27.3.5, 27.3.7 dan 27.4.1 (dibaca bersama 27.4.4(a)) Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD).

Bagi SCSB, keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 58(1)(a) IFSA, dibaca bersama dengan perenggan 27.3.5, 27.3.7 dan 27.4.1 (dibaca bersama 27.4.4(a)) AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD.

[3] Senarai Domestik merujuk nama dan butiran entiti yang ditentukan seperti yang diisytiharkan oleh Menteri Dalam Negeri di bawah perundangan subsidiari yang berkaitan yang dibuat menurut seksyen 66B(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).

[4] Senarai UNSCR merujuk nama dan butiran individu yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council, UNSC) atau Jawatankuasa Sekatan yang berkaitan menurut UNSCR dan dianggap sebagai entiti yang ditentukan di bawah seksyen 66C(2) AMLA.

[5] Individu atau entiti yang disenaraikan dalam Senarai Domestik dan Senarai UNSCR.


Bank Negara Malaysia
26 Ogos 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?