Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan terhadap Syarikat S.M. Ziaudeen Sdn. Bhd.

24 Sep 2025 Notis Umum

Pada 28 Ogos 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP)[1] sebanyak RM193,500 terhadap Syarikat S.M. Ziaudeen Sdn. Bhd. (SSMZ) berikutan ketidakpatuhan terhadap keperluan usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD) dan usaha wajar berterusan (ongoing due diligence, ODD) bawah seksyen 74 dan 75(1)(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act, MSBA). Peruntukan Akta ini dibaca bersama dengan perenggan 14C.10.1, 14C.12.1, 14C.10.5, dan 14C.14.1 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT and TFS for FIs).[2]

Menurut Dokumen Dasar AML/CFT and TFS for FIs, institusi pelapor (reporting institution, RI) dikehendaki untuk melaksanakan CDD dan ODD ke atas pelanggan mereka. Keperluan ini bertujuan untuk melindungi pelanggan sekiranya berlaku pertikaian serta membolehkan RI menilai dedahan pelanggan terhadap risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Hal ini termasuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mencegah RI daripada menjalankan aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan atau aktiviti jenayah lain.

BNM telah mengenal pasti ketidakpatuhan ini semasa pemeriksaan di lokasi. SSMZ gagal melaksanakan CDD ke atas pelanggan individu dan syarikat korporat berhubung dengan 22 transaksi pertukaran wang yang setiap satunya melebihi RM3,000.[3] SSMZ juga gagal melaksanakan ODD ke atas transaksi seorang pelanggan walaupun telah dikenal pasti dalam sistem SSMZ sebagai pelanggan berisiko tinggi. Susulan daripada itu, SSMZ telah mengambil langkah-langkah pemulihan dengan memperkukuh prosedur operasi standardnya dan mempertingkatkan latihan bagi kakitangannya.

Semasa membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan termasuk:

  1. tahap kesalahan pekerja individu dalam syarikat yang mengakibatkan ketidakpatuhan;
  2. keberkesanan kawalan sedia ada untuk mengesan dan mencegah ketidakpatuhan;
  3. rekod pematuhan SSMZ pada masa lalu; dan
  4. tindakan pemulihan yang dilaksanakan oleh SSMZ untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.

SSMZ telah membayar RM193,500 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM pada 28 Ogos 2025.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam [Pendekatan Penguatkuasaan].

 


[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 75(2)(b) MSBA.

[2] Dokumen Dasar AML/CFT and TFS for FIs berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions, AML/CFT/CPF and TFS for FIs), yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Keperluan ini dikekalkan bawah perenggan 14C.10.1, 14C.12.1, 14C.10.5 dan 14C.14.1 dalam Dokumen Dasar AML/CFT/CPF and TFS for FIs.

[3] Bawah perenggan 14C.12.1 Dokumen Dasar AML/CFT and TFS FIs, RI perlu melaksanakan CDD dan mendapatkan maklumat yang relevan bagi transaksi berjumlah antara RM3,000 hingga RM10,000.


Bank Negara Malaysia
24 September 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?