Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap The Pacific Insurance Berhad atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 29 Julai 2026
29 Jul 2026 Notis Umum

Pada 28 Mei 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (administrative monetary penalty, AMP)[1] sebanyak RM336,000 terhadap The Pacific Insurance Berhad (TPIB) berikutan kegagalan mematuhi keperluan untuk mempunyai ketua pegawai eksekutif (chief executive officer, CEO) yang diluluskan pada setiap masa.

Menurut seksyen 54(1)[2] Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA), TPIB dikehendaki mempunyai CEO pada setiap masa. TPIB gagal mematuhi keperluan ini kerana jawatan CEO syarikat tersebut kosong antara 21 November 2024 hingga 23 Mac 2026. Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan perancangan penggantian (succession planning) TPIB yang menyebabkan syarikat tersebut gagal mengenal pasti dan mengemukakan permohonan calon CEO yang sesuai untuk kelulusan BNM dalam tempoh yang sewajarnya. Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh kekosongan jawatan tersebut, TPIB telah melaksanakan langkah kawalan bagi memastikan tiada gangguan yang ketara terhadap operasi hariannya. Langkah ini termasuk pelantikan Pegawai Yang Dilantik (Appointed Representative), serta pengawasan berterusan oleh Lembaga Pengarah.

TPIB telah melantik seorang CEO berkuat kuasa pada 24 Mac 2026, dengan kelulusan BNM.

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:

  1. kawalan terkini yang dilaksanakan oleh TPIB dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan di bawah FSA;
  2. rekod pematuhan TPIB pada masa lalu; dan
  3. penilaian terhadap tingkah laku TPIB selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.

Pada 9 Jun 2026, TPIB telah membayar RM336,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.

BNM menghendaki institusi kewangan mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap semua keperluan yang diperuntukkan di bawah FSA. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sesuai sekiranya terdapat mana-mana institusi kewangan yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau peraturan tersebut.

Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap TPIB adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.


[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 234(3)(b)(i) FSA.

[2] Keperluan ini dibaca bersama dengan seksyen 54(2)(a) FSA.


Bank Negara Malaysia
29 Julai 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?