Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap TML Remittance Center Sdn. Bhd. atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan
Pada 24 September 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (administrative monetary penalty, AMP)[1] sebanyak RM113,100 terhadap TML Remittance Center Sdn. Bhd. (TML) berikutan kegagalan mematuhi keperluan berkaitan usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD).[2]
Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), TML dikehendaki untuk melaksanakan CDD terhadap pelanggannya.[3] Keperluan untuk melaksanakan CDD ini bertujuan untuk membolehkan RI menilai tahap dedahan terhadap risiko pengubahan wang haram (money laundering, ML) dan pembiayaan keganasan (terrorism financing, TF) serta mengurangkan risiko RI digunakan sebagai saluran aktiviti ML/TF dan aktiviti jenayah lain.
BNM telah mengesan ketidakpatuhan ini susulan pemeriksaan penyeliaan di premis TML. Semasa pemeriksaan dijalankan, BNM mendapati bahawa TML gagal melaksanakan CDD terhadap para pelanggannya berhubung dengan transaksi kiriman wang. Kegagalan ini berpunca daripada ketidakpatuhan terhadap keperluan pengawalseliaan BNM dan prosedur operasi standard TML semasa proses pendaftaran pelanggan (customer onboarding), serta kelemahan dalam pengawasan operasi harian pada peringkat cawangan.
TML telah mengambil langkah-langkah pemulihan dengan mempertingkatkan sistem kiriman wangnya dan memperkukuh mekanisme pemantauan bagi memastikan pematuhan terhadap proses dan prosedur dalaman serta keperluan yang ditetapkan oleh BNM.
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:
kawalan semasa yang dilaksanakan oleh TML bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan CDD;
rekod pematuhan TML pada masa lalu; dan
tingkah laku TML selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan tersebut daripada berulang.
Pada 25 September 2026, TML telah membayar AMP sebanyak RM113,100 yang dikenakan oleh BNM.
BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan pencegahan pembiayaan percambahan (anti-money laundering, countering financing of terrorism and countering proliferation financing, AML/CFT/CPF). BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya jika terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi mana-mana keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap TML adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 75(2)(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA).
[2] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 74(3) MSBA, dibaca bersama dengan perenggan 14C.4(b), 14C.10.1, 14C.4(a) and 14C.12.3 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD).
[3] Apabila melaksanakan CDD, RI dikehendaki mengesahkan bahawa mana-mana individu yang bertindak bagi pihak pelanggan mempunyai kuasa yang sah untuk berbuat demikian, serta mengenal pasti dan mengesahkan identiti individu tersebut. RI juga dikehendaki mengenal pasti pelanggan individu dan pemilik benefisial dengan mendapatkan maklumat pelanggan yang diperlukan. Selain itu, RI dikehendaki mengenal pasti pelanggan dan mengesahkan identiti pelanggan tersebut menggunakan dokumen, data atau maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai dan bebas.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.