Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap Wawasan Ilham (M) Sdn. Bhd. atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan
Pada 27 Ogos 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (administrative monetary penalty, AMP)[1] sebanyak RM22,000 terhadap Wawasan Ilham (M) Sdn. Bhd. (WISB) berikutan kegagalan mematuhi keperluan berkaitan usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD).[2]
Sebagai institusi pelapor (reporting institution, RI), WISB dikehendaki untuk melaksanakan CDD terhadap pelanggannya.[3] Keperluan untuk melaksanakan CDD ini bertujuan untuk membolehkan RI menilai tahap dedahan terhadap risiko pengubahan wang haram (money laundering, ML) dan pembiayaan keganasan (terrorism financing, TF) serta mengurangkan risiko RI digunakan sebagai saluran untuk aktiviti ML/TF dan aktiviti jenayah lain.
BNM telah mengesan ketidakpatuhan ini susulan pemeriksaan penyeliaan di premis WISB. Semasa pemeriksaan dijalankan, BNM mendapati bahawa WISB gagal melaksanakan CDD terhadap seorang pelanggan bagi transaksi pertukaran wang berikutan pengawasan yang tidak mencukupi dan budaya pematuhan yang lemah.
WISB telah melaksanakan langkah-langkah pemulihan dengan memperkukuh pengawasan pihak pengurusan dan meningkatkan kesedaran kakitangan melalui latihan.
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:
- kawalan semasa yang dilaksanakan oleh WISB bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan CDD;
- rekod pematuhan WISB pada masa lalu, termasuk salah laku berulang yang melibatkan ketidakpatuhan yang sama; dan
- tingkah laku WISB selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan tersebut daripada berulang.
Pada 14 September 2026, WISB telah membayar RM22,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.
BNM menghendaki semua RI untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan pencegahan pembiayaan percambahan (anti-money laundering, countering financing of terrorism and countering proliferation financing, AML/CFT/CPF). BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau penguatkuasaan yang sewajarnya jika terdapat mana-mana RI yang gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap WISB adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 75(2)(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA).
[2] Keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 74(3) MSBA, dibaca bersama dengan perenggan 14C.1(b), 14C.2, 14C.4(a) dan 14C.12.1 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD).
[3] RI dikehendaki melaksanakan CDD ke atas pelanggan dan individu yang menjalankan transaksi apabila menyediakan perkhidmatan penukaran wang serta perniagaan mata wang secara borong. Apabila melaksanakan CDD, RI dikehendaki mengenal pasti pelanggan dan mengesahkan identiti pelanggan menggunakan dokumen, data atau maklumat yang diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai dan bebas.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.