Penalti Monetari Pentadbiran Dikenakan Terhadap Zurich General Insurance Malaysia Berhad dan Zurich General Takaful Malaysia Berhad atas Ketidakpatuhan Berhubung dengan Sekatan Kewangan Bersasar
Pada 19 Januari 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (Administrative Monetary Penalties, AMP)[1] sebanyak RM1,040,000 terhadap Zurich General Insurance Malaysia Berhad (ZGIMB) dan RM520,000 terhadap Zurich General Takaful Malaysia Berhad (ZGTMB) (secara kolektif dirujuk sebagai Zurich) berikutan kegagalan mematuhi keperluan berkaitan sekatan kewangan bersasar (targeted financial sanctions, TFS).[2]
Sebagai institusi pelapor (reporting institutions, RI), Zurich dikehendaki untuk mengemas kini pangkalan data sekatan sebaik sahaja Senarai Domestik[3] diterbitkan dan melaksanakan saringan sekatan ke atas pelanggan sedia ada, pelanggan berpotensi atau pelanggan baharu mengikut Senarai Domestik dan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council Resolutions, UNSCR)[4] sebagai sebahagian daripada proses usaha wajar pelanggan (customer due diligence, CDD). RI hendaklah turut mengenal pasti dan membuat semakan lanjut untuk menentukan sama ada padanan berpotensi merupakan padanan tepat. Sekiranya dikenal pasti sebagai padanan tepat, RI dikehendaki membekukan dana pelanggan dan membuat laporan kepada BNM dan Polis Diraja Malaysia dengan segera. Proses ini sangat penting bagi melindungi RI dan keseluruhan sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk tujuan pembiayaan aktiviti keganasan.
BNM telah mengesan ketidakpatuhan ini berdasarkan laporan Zurich mengenai pendaftaran beberapa entiti yang ditentukan yang tersenarai dalam Senarai Domestik sebagai pelanggannya. Perkara ini berpunca daripada kegagalan Zurich mengemas kini pangkalan data sekatan tepat pada masanya, lantas mengakibatkan saringan sekatan dilaksanakan berdasarkan pangkalan data yang tidak dikemas kini. Zurich juga gagal mengenal pasti dan membuat semakan lanjut untuk menentukan sama ada padanan berpotensi merupakan padanan tepat. Tambahan pula, ZGIMB gagal membekukan dana pelanggan terbabit dan melaporkan dengan segera kepada BNM setelah penentuan dibuat bahawa ZGIMB mempunyai milikan atau kawalan ke atas dana berhubung dengan satu entiti yang ditentukan.
Ketidakpatuhan ini berlaku disebabkan oleh kelemahan dalam sistem saringan sekatan dan prosedur operasi standard (standard operating procedures, SOP) Zurich, serta tahap pengawasan dan tahap kesedaran kakitangannya yang rendah. Zurich telah pun menjalankan langkah-langkah pemulihan dengan menambah baik SOP dan memberikan latihan kepada kakitangan yang berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan TFS.
Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan. Pertimbangan ini termasuk tahap keseriusan ketidakpatuhan dan faktor-faktor yang berikut:
- kekurangan usaha yang wajar oleh Zurich dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan berkaitan TFS;
- rekod pematuhan Zurich pada masa lalu; dan
- penilaian terhadap tingkah laku Zurich selepas salah laku tersebut, termasuk keberkesanan tindakan pemulihan yang diambil untuk mencegah ketidakpatuhan daripada berulang.
Pada 26 Januari 2026, ZGIMB telah membayar RM1,040,000 dan ZGTMB telah membayar RM520,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.
BNM menghendaki semua RI untuk mematuhi keperluan berkaitan TFS. BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan/atau tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya mana-mana RI gagal memenuhi keperluan undang-undang dan/atau peraturan tersebut.
Tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap Zurich adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.
[1] BNM mengenakan AMP menurut seksyen 234(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA) dan seksyen 245(3)(b)(i) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act 2013, IFSA).
[2] Untuk ZGIMB, keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 48(1)(a) FSA, dibaca bersama dengan perenggan 27.3.5, 27.3.7, 27.4.1 (dibaca bersama dengan perenggan 27.4.3), 27.4.5, 27.4.6, 27.6.1 dan 27.7.1 Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT and TFS for FIs PD).
Untuk ZGTMB, keperluan ini diperuntukkan di bawah seksyen 58(1)(a) IFSA, dibaca bersama dengan perenggan 27.3.5, 27.3.7, 27.4.1 (dibaca bersama dengan perenggan 27.4.3), 27.4.5 dan 27.4.6 AML/CFT and TFS for FIs PD.
Nota: AML/CFT and TFS for FIs PD berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 hingga 5 Februari 2024 dan telah digantikan oleh Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism, Countering Proliferation Financing and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions Policy Document, AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD), yang berkuat kuasa pada 6 Februari 2024. Kesemua keperluan ini dikekalkan di bawah perenggan 27.3.5, 27.3.7, 27.4.1 (dibaca bersama dengan perenggan 27.4.5), 27.4.8, 27.4.9, 27.6.1 dan 27.7.1 AML/CFT/CPF and TFS for FIs PD.
[3] Senarai Domestik merujuk nama dan butiran entiti yang ditentukan seperti yang diisytiharkan oleh Menteri Dalam Negeri di bawah perundangan subsidiari yang berkaitan yang dibuat di bawah seksyen 66B(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).
[4] Senarai UNSCR merujuk nama dan butiran individu yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council, UNSC) atau Jawatankuasa Sekatan yang berkaitan menurut UNSCR dan dianggap sebagai entiti yang ditentukan di bawah seksyen 66C(2) AMLA.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.