Penerbitan Laporan 'Building Supply Chain Resilience: Insights into Greening Value Chains for ASEAN'

10 Apr 2025 Notis Umum

United Nations Development Programme (UNDP), dengan kerjasama Asian Development Bank (ADB) dan Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini menerbitkan sebuah laporan yang berjudul "Building Supply Chain Resilience: Insights into Greening Value Chains for ASEAN".

Laporan ini ialah salah satu dokumen utama yang dikeluarkan sebagai sebahagian daripada Hasil Keutamaan Ekonomi dalam Trek Kewangan ASEAN 2025. Laporan ini berfungsi sebagai panduan praktikal untuk perniagaan, peserta industri, institusi pembangunan pelbagai hala, dan pembuat dasar dalam mereka bentuk program yang menyokong perniagaan untuk mempercepat proses penyahkarbonan dan mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan.

Laporan ini mengambil pemahaman daripada program perintis penghijauan rantaian nilai (Greening Value Chain, GVC) Malaysia oleh Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) yang bertujuan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia untuk menerapkan amalan rendah karbon dan melaksanakan amalan mampan jangka panjang.

Program GVC yang dilancarkan pada tahun 2023 menawarkan PKS akses kepada latihan teknikal, alat praktikal untuk mengukur dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gases, GHG), dan kemudahan pembiayaan pada kadar yang kompetitif melalui Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (Low Carbon Transition Facility, LCTF).

Muat turun laporan penuh di sini.


Bank Negara Malaysia
10 April 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?