Pernyataan Dasar Monetari

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 9 Julai 2025
09 Jul 2025 Siaran Akhbar

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75%. Berikutan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor OPR masing-masing dikurangkan kepada 3% dan 2.5%.

Penunjuk terkini menandakan pertumbuhan global yang berterusan, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan dan sedikit sebanyak menerusi aktiviti yang dilakukan lebih awal (front-loading). Prospek pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal. Prospek ini dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan tarif serta ketegangan geopolitik. Ketidakpastian ini juga boleh menyebabkan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi.

Bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan berterusan dalam kegiatan ekonomi pada suku kedua, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan serta pertumbuhan eksport. Pada masa hadapan, pertumbuhan dijangka disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Pertumbuhan guna tenaga dan upah, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri, berserta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan, akan menyokong perbelanjaan isi rumah. Pengembangan aktiviti pelaburan akan diteruskan oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional. Hasil rundingan perdagangan yang menggalakkan, dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju, permintaan untuk barangan elektrik dan elektronik yang berterusan serta aktiviti pelancongan yang lebih giat boleh meningkatkan prospek eksport Malaysia. Walau bagaimanapun, imbangan risiko kepada prospek pertumbuhan cenderung untuk menjadi perlahan, berpunca terutamanya daripada perdagangan global yang lebih perlahan, sentimen yang lebih lemah serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata sebanyak 1.4% dan 1.9% pada lima bulan pertama tahun ini. Secara keseluruhan, inflasi pada tahun 2025 dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang terkawal dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan. Tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad, lantas menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang sederhana. Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang telah dan akan diumumkan terhadap inflasi dijangka terkawal.

Prestasi ringgit akan terus didorong terutamanya oleh faktor luaran. Prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, berserta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit.

Walaupun ekonomi dalam negeri berada pada landasan yang kukuh, ketidakpastian berhubung dengan perkembangan luaran akan mempengaruhi prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia. Oleh itu, pengurangan OPR merupakan langkah awalan yang bertujuan mengekalkan persekitaran pertumbuhan Malaysia yang stabil dalam keadaan prospek inflasi yang sederhana. MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri.

Lihat Juga:

  1. Ringkasan Pernyataan Dasar Monetari (MPS): Julai 2025
  2. Soalan Lazim

Bank Negara Malaysia
09 Julai 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?