Pernyataan Dasar Monetari
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 2.75%.
Pertumbuhan global kekal berdaya tahan pada suku pertama tahun 2026, disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan teknologi global yang terus berkembang. Walau bagaimanapun, peningkatan harga tenaga dan komoditi yang mendadak serta gangguan rantaian bekalan daripada konflik Timur Tengah mula mempengaruhi momentum pertumbuhan global. Risiko pertumbuhan menjadi perlahan terus tinggi, berpunca daripada ketidakpastian berhubung dengan tempoh dan keseriusan konflik, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan. Potensi pertumbuhan menjadi pesat termasuk konflik yang mereda lantas menyebabkan keadaan rantaian bekalan bertambah baik, perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh dan langkah-langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju.
Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan momentum pertumbuhan yang berterusan pada suku pertama, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan pertumbuhan eksport yang kukuh. Pada masa hadapan, ketidakpastian berhubung dengan tempoh dan keseriusan konflik Timur Tengah akan mempengaruhi prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri. Walau bagaimanapun, asas-asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara. Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah. Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan. Sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh manakala perbelanjaan pelancong akan berterusan meskipun pada kadar yang lebih sederhana. Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan berikutan konflik yang berlarutan di Timur Tengah dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah. Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada konflik yang mereda, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.6% dan 2.1% pada suku pertama tahun 2026. Harga komoditi global yang lebih tinggi akibat konflik Timur Tengah dijangka meningkatkan tekanan kos dalam negeri, lantas menyebabkan inflasi meningkat sedikit. Walau bagaimanapun, kesan konflik terhadap inflasi keseluruhan dan inflasi teras pada tahun 2026 dijangka kekal terkawal. Hal ini mencerminkan langkah-langkah dasar dalam negeri dan keadaan permintaan yang stabil, yang akan mengurangkan pindahan tekanan kos luaran kepada harga dalam negeri.
MPC mengambil maklum ketidakpastian berikutan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah. Kesannya terhadap ekonomi global dan ekonomi Malaysia akan bergantung pada perkembangan hal ini. Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan. MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
Lihat juga:
Media Sosial: Facebook | X | Instagram | LinkedIn | Telegram | TikTok
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.