Persidangan Iklim SFG JC3 untuk PKS: Membina Daya Tahan Iklim: Tindakan Praktikal untuk PKS

19 Nov 2025 Siaran Akhbar
  • Persidangan ini bertujuan untuk memperkukuh daya tahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui perkongsian pandangan mengenai risiko berkaitan iklim, pendekatan praktikal yang berkesan serta kisah kejayaan PKS yang telah berjaya beralih dan membina daya tahan iklim.
  • Menghubungkan PKS dengan penyedia penyelesaian (solution providers), pembiaya, badan pensijilan dan pemacu digital (digital enablers).


Kumpulan Fokus PKS (SME Focus Group, SFG) di bawah Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) telah menganjurkan Persidangan Iklim SFG untuk PKS 2025 yang julung kali diadakan pada 17 November 2025 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Acara ini dianjurkan oleh pengerusi bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan United Overseas Bank (UOB) Malaysia Berhad.

Dengan tema “Building Climate Resilience: Practical Actions for SMEs”, persidangan ini menyokong usaha PKS untuk memperkukuh perniagaan mereka untuk masa hadapan melalui pemahaman yang lebih mendalam tentang risiko berkaitan iklim dan akses kepada kaedah praktikal untuk tindakan yang berkesan.

Lebih 400 peserta daripada seluruh ekosistem PKS telah menghadiri persidangan ini, termasuk usahawan, institusi kewangan, agensi kerajaan dan penyedia penyelesaian.

Penolong Gabenor BNM dan Pengerusi Bersama JC3, Madelena Mohamed berkata, “Tidak dapat disangsikan lagi bahawa tindakan iklim memerlukan kos yang tinggi. Namun, tidak bertindak hari ini adalah jauh lebih mahal – dan yang akhirnya akan ditanggung oleh generasi akan datang. Dengan PKS semakin bersepadu dalam rantaian bekalan global, pematuhan terhadap standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (environmental, social and governance, ESG) bukan lagi suatu pilihan tetapi merupakan keperluan untuk berdaya saing. Platform kerjasama seperti JC3 memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha membantu perniagaan, khususnya PKS, menukar keperluan ini kepada peluang.”

Beliau turut menggesa institusi kewangan untuk menunjukkan kepimpinan dan komitmen dengan menyediakan khidmat nasihat pembangunan keupayaan serta akses kepada pembiayaan untuk PKS.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, “Sebagai pengerusi bersama Kumpulan Fokus PKS JC3, kami berbangga kerana dapat menyokong peralihan lestari Malaysia dengan menjadikan platform ini sebagai pemangkin kerjasama awam-swasta. Bersama ahli-ahli institusi kewangan, badan pengawalseliaan dan rakan industri, matlamat kami adalah untuk menggandakan usaha kolektif dalam usaha menukar aspirasi iklim kepada kesan yang nyata di lapangan. Usaha ini bukan sekadar memastikan sumber disediakan tetapi memastikan PKS boleh mengakses dan memanfaatkannya dengan cara yang membolehkan perubahan bermakna dicapai.”

Persidangan ini menampilkan alat praktikal yang memperkasakan PKS untuk mengambil langkah bermakna ke arah kelestarian, termasuk:

  1. Portal Pemula ESG
  2. Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (Relief and Adaptation Facility, RAFt)
  3. Katalog Data Iklim JC3
  4. Panduan Penzahiran ESG Ringkas (SEDG) dan Kalkulator Pelepasan GHG
  5. Rangka Kerja Pencegahan Kerugian SME

Persidangan ini turut menampilkan sesi panel mengenai risiko iklim, cabaran sektoral dan kisah kejayaan PKS. Sesi terperinci (deep dive sessions) turut diadakan berkenaan kecekapan tenaga dan pensijilan hijau.

Pameran yang mengetengahkan penyelesaian hijau oleh institusi kewangan, agensi kerajaan dan rakan ekosistem turut memberikan akses langsung kepada sumber dan sokongan teknikal untuk tindakan iklim.

Persidangan Iklim SFG untuk PKS 2025 adalah berlandaskan pada usaha-usaha ini dan merupakan satu pencapaian penting dalam usaha JC3 yang lebih luas untuk menjana sektor PKS yang lebih inklusif dan berdaya tahan iklim.

 

Bank Negara Malaysia
United Overseas Bank (Malaysia) Berhad
19 November 2025

 


Mengenai Kumpulan Fokus PKS (SME Focus Group, SFG)

SFG ditubuhkan pada bulan Mei 2023 di bawah JC3 untuk mempercepat penerimaan amalan lestari dalam kalangan PKS. Dipengerusikan secara bersama oleh Bank Negara Malaysia dan United Overseas Bank (Malaysia) Berhad, SFG terdiri daripada 14 ahli daripada sektor kewangan dan rakan ekosistem. Usaha SFG tertumpu pada usaha meningkatkan kesedaran, mempromosikan pensijilan dan penzahiran, serta meningkatkan akses kepada pembiayaan mampan untuk PKS.

Ahli: Securities Commission Malaysia, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, Alliance Bank Malaysia Berhad, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Bank Berhad, Generali Insurance Malaysia Berhad, Hong Leong Bank Berhad, MBSB Bank Berhad, Public Bank Berhad, RHB Bank Berhad, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad, Tokio Marine Insurans (Malaysia) Berhad, dan Zurich General Insurance Malaysia Berhad.

 

Mengenai JC3

JC3 merupakan platform yang ditubuhkan pada bulan September 2019 untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia. JC3 dipengerusikan bersama oleh Madelena Mohamed, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia dan Salmah Bee Mohd Mydin, Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan ahli-ahli yang terdiri daripada pegawai kanan Bursa Malaysia dan 25 peserta industri kewangan. Inisiatif dan keutamaan JC3 di bawah tanggungjawab lima jawatankuasa kecilnya, iaitu Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Penzahiran; Produk dan Inovasi; Penglibatan dan Pembinaan Keupayaan serta Menangani Jurang Data. Kumpulan Fokus PKS telah ditubuhkan baru-baru ini untuk membangunkan strategi dan penyelesaian yang menyokong peralihan oleh PKS.

Ahli: AHAM Asset Management Berhad, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad,
Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), BNP Paribas Asset Management Sdn. Bhd., Bursa Malaysia Berhad, CIMB Bank, Etiqa General Insurance Berhad, Franklin Templeton GSC Asset Management Sdn Bhd, HSBC Amanah Malaysia Berhad, Kenanga Investors Berhad, Maybank Berhad, Mizuho Bank (Malaysia) Berhad, MSIG Insurance (Malaysia) Berhad, OCBC Bank (Malaysia) Berhad, Principal Asset Management Berhad, Prudential Assurance Malaysia Berhad, RHB Bank Berhad, Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, Swiss Re Asia Pte. Ltd. (Swiss Retakaful), Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad, United Overseas Bank (Malaysia) Berhad, UOB Asset Management (Malaysia) Berhad dan Zurich General Insurance Malaysia Berhad.

Untuk maklumat lanjut mengenai JC3, sila layari www.jc3malaysia.com


Bank Negara Malaysia
19 November 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?