Persidangan JC3 Journey to Zero 2026 berakhir dengan komitmen bersama untuk menterjemahkan aspirasi iklim dan alam semula jadi kepada impak yang lebih besar
Persidangan dua hari ini menekankan kepentingan menggerakkan modal, mengukuhkan keupayaan projek untuk mendapatkan pembiayaan serta membina daya tahan di seluruh ekonomi benar
KUALA LUMPUR, 30 SEPTEMBER – Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) melabuhkan tirai Persidangan JC3 Journey to Zero 2026 pada 29 September, yang menghimpunkan lebih 800 peserta daripada sektor kewangan, kerajaan, perniagaan, pelabur dan ahli akademik. Persidangan ini menegaskan peranan penting industri kewangan dalam memajukan agenda pertumbuhan Malaysia yang mampan dan berdaya tahan.
Persidangan selama dua hari yang bertemakan “Building Climate and Nature Resilience for People and Business” ini memberikan tumpuan pada usaha memperkukuh daya tahan iklim dan alam semula jadi menerusi projek yang berpotensi untuk dibiayai serta penyelesaian pembiayaan inovatif yang menghasilkan impak yang boleh diukur bagi perniagaan dan masyarakat.
Perbincangan tertumpu kepada pertumbuhan mampan, pembiayaan peralihan tenaga, penyesuaian iklim, risiko dan peluang berkaitan alam semula jadi, pasaran karbon serta keupayaan projek untuk mendapatkan pembiayaan. Menerusi semua tema ini, para peserta meneroka pendekatan praktikal untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan projek, menggerakkan pembiayaan dan memperluas pelaksanaan inisiatif. Persidangan ini turut menghimpunkan beberapa sesi kelas pakar yang dikendalikan oleh pakar bidang berkaitan keperluan penzahiran, pembiayaan alam semula jadi dan pembiayaan penyesuaian iklim bagi membantu menterjemahkan teori kepada amalan.
Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia berkata, “Perubahan iklim merupakan realiti masa kini dan bukan risiko masa hadapan. Kita perlu komited untuk menggerakkan modal dengan berani, menyokong inovasi dengan aktif serta bekerjasama dan membangunkan penyelesaian secara bersama bagi mempercepat usaha peralihan. Kita perlu membiayai usaha untuk membina daya tahan sebelum berlakunya sekali lagi banjir besar, fenomena El Niño yang melampau atau tanah runtuh yang dahsyat. Oleh itu, institusi kewangan perlu membina keupayaan dan memperkukuh pemahaman mengenai risiko tentang alam semula jadi supaya pertimbangan yang relevan dapat diintegrasikan dalam pengurusan risiko serta keputusan perniagaan.”
Dato’ Mohammad Faiz Azmi, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC) berkata bahawa risiko iklim bukan sekadar isu alam sekitar, malah merupakan isu negara dan ekonomi. “Membina daya tahan memerlukan usaha mewujudkan persekitaran yang membolehkan modal digerakkan serta menyokong pembiayaan bagi penyesuaian dan daya tahan iklim.”
“JC3 menyediakan platform untuk peserta pasaran menterjemahkan usaha ini kepada keputusan yang lebih baik, perniagaan yang lebih kukuh dan tindakan yang bermakna. Pada akhirnya, kita semua perlu terus berkembang, namun pertumbuhan tidak boleh dicapai semata-mata tanpa mengambil kira kesannya. Kita mempunyai tanggungjawab kepada generasi akan datang untuk berkembang secara bertanggungjawab,” kata beliau.
Persidangan ini turut menyaksikan pengenalan beberapa inisiatif, termasuk pengumuman penubuhan Association of Sustainability Professionals (ASP) iaitu sebuah inisiatif industri yang dibangunkan dan disokong oleh SC. Selaras dengan matlamat Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 SC, ASP bertujuan untuk memberikan pengiktirafan serta akreditasi bagi kecekapan berkaitan kelestarian di samping meningkatkan taraf dan keupayaan ahli kelestarian. ASP yang dijangka dilancarkan menjelang hujung tahun 2026 akan menyokong pembangunan kumpulan tenaga mahir kelestarian yang dipercayai dan bersedia menghadapi masa hadapan merentasi pelbagai sektor.
JC3 dan sektor kewangan akan memperkukuh kerjasama dengan enam universiti di Malaysia iaitu Monash University, Sunway University, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Tenaga Nasional. Program Kerjasama JC3-Universiti merupakan inisiatif strategik yang bertujuan untuk memperteguh keupayaan sektor kewangan dalam menangani cabaran berkaitan iklim dan alam semula jadi melalui penyelidikan gunaan, pembangunan tenaga mahir dan penyelesaian praktikal.
Program ini merupakan satu inisiatif strategik yang diperkenalkan bagi menggalakkan kerjasama antara industri kewangan, ahli akademik dan pembuat dasar untuk menterjemahkan hasil penyelidikan serta kepakaran teknikal kepada pemahaman, alatan dan inovasi yang boleh menyokong pengurusan risiko secara lebih baik serta mempercepat pembiayaan bagi iklim dan alam semula jadi.
JC3 juga terus memperkukuh saluran projek iklim dan alam semula jadi menerusi Climate Finance Innovation Lab (CFIL), sebuah platform yang membantu projek-projek berkaitan iklim dan alam semula jadi yang layak dibiayai secara minimum (marginally bankable) untuk mendapatkan pembiayaan. Pada sesi CFIL Pitch-a-Thon, para pemaju projek yang sedang mengikuti program CFIL Accelerator membentangkan penyelesaian mereka kepada bakal pembiaya dan tiga projek cemerlang telah diiktiraf hasil pendekatan yang inovatif serta potensi impak yang tinggi.
Anugerah Scalable Impact telah diberikan kepada Tulen Fuels atas potensi kukuh untuk menarik pelaburan dan pertumbuhan pada masa hadapan melalui pendekatan yang berdaya maju dalam pembangunan, perluasan dan perlaksanaan projek. Anugerah Multiplier Effect telah diberikan kepada QuinTerra atas keupayaannya mewujudkan manfaat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (environmental, social and governance, ESG) yang saling berkaitan merentas komuniti, organisasi dan ekosistem. AAE Solutions Sdn. Bhd. pula menerima Anugerah Engaging Initiative atas penyampaian pembentangan yang menarik dan meyakinkan, dengan pernyataan masalah yang jelas, cadangan nilai yang kukuh serta penyelesaian yang praktikal.
JC3 turut memberikan pengiktirafan kepada para individu, pasukan projek dan entiti yang telah menampilkan kepimpinan serta sumbangan penting dalam memajukan pelbagai inisiatif utama JC3. Anugerah JC3 Leaders in Climate Action telah disampaikan kepada empat individu iaitu Joel Khaw Chuan Penn (RHB Bank), Moreen Joseph (UOB Bank), Nur Afifah Mohamaddiah (HSBC Amanah) dan Teresa Wong (Zurich Insurance) atas sumbangan peribadi mereka; tiga pasukan projek iaitu Climate Change and Principle-based Taxonomy (CCPT) Implementation Group, National Sustainability Reporting Framework (NSRF) FI Taskforce dan Sustainable and Transition Finance Guidance (STFG) atas usaha mereka memajukan inisiatif berkaitan iklim; serta dua organisasi iaitu CIMB Bank dan RAM Sustainability Sdn. Bhd. atas usaha dalam memacu tindakan iklim yang bermakna.
Secara keseluruhannya, semua pengumuman ini mencerminkan peralihan yang lebih meluas ke arah menangani halangan praktikal yang boleh memperlahankan tindakan berkaitan iklim serta alam semula jadi termasuk kesiapsiagaan projek, akses kepada pembiayaan, keupayaan pasaran dan ketersediaan data yang relevan.
Persidangan ini mengukuhkan lagi komitmen JC3 untuk menterjemahkan aspirasi berkaitan iklim dan alam semula jadi kepada hasil yang nyata, termasuk memangkinkan penyaluran modal, memperkukuh keupayaan pasaran dan menyokong pembinaan daya tahan merentas sektor kewangan serta ekonomi yang lebih luas.

Mengenai JC3
JC3 merupakan platform yang ditubuhkan pada bulan September 2019 untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia. JC3 dipengerusikan secara bersama oleh Madelena Mohamed, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia dan Neetasha Rauf, Ketua Pegawai Kemampanan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Keahliannya terdiri daripada pegawai kanan Bursa Malaysia dan 25 peserta industri kewangan. Inisiatif dan keutamaan JC3 dilaksanakan melalui lima jawatankuasa kecil, iaitu Pengurusan Risiko, Tadbir Urus dan Penzahiran, Produk dan Inovasi, Penglibatan dan Pembinaan Keupayaan serta Menangani Jurang Data. Kumpulan Fokus PKS telah ditubuhkan bagi membangunkan strategi dan penyelesaian yang menyokong usaha peralihan oleh PKS.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.