Tindakan Penguatkuasaan Bersama terhadap Seorang Setiausaha Syarikat

Embargo: Untuk siaran segera
04 Mei 2026 Notis Umum

Bank Negara Malaysia (BNM), dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), telah menjalankan satu siasatan bersama berhubung dengan beberapa setiausaha syarikat yang disyaki terlibat dengan satu sindiket penipuan antarabangsa.

Siasatan BNM mendapati bahawa Ardzlyn Hawatul Yuhanis Uyob@Ayob (Ardzlyn), seorang setiausaha syarikat melalui firmanya, Continuum Corporate House Sdn. Bhd., telah gagal mengemukakan dua Laporan Transaksi yang Mencurigakan (Suspicious Transaction Reports, STR) kepada BNM, dalam kapasitinya sebagai institusi pelapor[1] di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA). STR tersebut melibatkan transaksi berkaitan warga asing berhubung dengan syarikat MB International Sdn. Bhd. dan Ascent GT Sdn. Bhd. Dalam siasatan berasingan oleh SSM, Ardzlyn didapati telah mengemukakan maklumat palsu kepada Pendaftar Syarikat berhubung pelantikan salah seorang warga asing itu sebagai pengarah bagi kedua-dua syarikat tersebut. Sehubungan dengan itu, SSM telah menarik balik sijil amalan Ardzlyn.

Pada 10 Disember 2025, dengan izin bertulis Pendakwa Raya, Ardzlyn telah didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua kesalahan di bawah seksyen 86 AMLA yang dibaca bersama seksyen 14(1)(b) AMLA dan perenggan 19 Dokumen Dasar[2] AMLA. Secara berasingan, SSM turut mendakwa Ardzlyn atas dua kesalahan di bawah seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016. Pada 15 April 2026, Ardzlyn telah mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut dan dijatuhkan hukuman denda berjumlah RM50,000.

BNM ingin menekankan kepentingan kawalan yang kukuh serta memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap kewajipan pelaporan di bawah AMLA yang amat penting bagi mencegah penyalahgunaan bagi tujuan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan aktiviti jenayah serius lain. Institusi pelapor diingatkan agar mencegah risiko eksploitasi oleh penjenayah, sama ada akibat kecuaian atau penglibatan secara sengaja oleh institusi pelapor tersebut. Kegagalan mematuhi semua kewajipan ini boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan, termasuk pendakwaan.


[1]Institusi pelapor bermaksud mana-mana individu yang menjalankan apa-apa aktiviti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama AMLA.

[2] Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Perniagaan dan Profesion Bukan Kewangan yang Ditentukan (Designated Non-Financial  Businesses and Professions, DNFBP) dan Institusi Kewangan Bukan Bank (IKBB).


Bank Negara Malaysia
04 Mei 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?