Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Pengiklanan Aktiviti Pembelian dan Penjualan Mata Wang Asing di Kedah dan Perak Tanpa Kelulusan Bertulis Bank Negara Malaysia

Embargo: Untuk siaran segera
Tempat: Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Pengiklanan Aktiviti Pembelian dan Penjualan Mata Wang Asing di Kedah dan Perak Tanpa Kelulusan Bertulis Bank Negara Malaysia
Notis Umum

Pada 3 November 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Najmuldin Exchanger dan Nusantara Global Network kerana disyaki melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA) berhubung dengan perbuatan mengiklankan aktiviti pembelian dan penjualan mata wang asing tanpa kelulusan bertulis daripada BNM.

Tindakan penguatkuasaan tersebut telah dilaksanakan oleh BNM dengan bantuan Polis Diraja Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan berterusan BNM untuk melindungi orang ramai daripada kemungkinan risiko kewangan yang berkaitan dengan aktiviti pembelian dan penjualan mata wang asing yang tidak dibenarkan. Sebanyak empat premis di beberapa lokasi di Kedah dan Perak telah diperiksa. Dokumen, peralatan, buku dan peranti digital yang berkaitan telah disita bagi membantu siasatan.

Semua entiti tersebut sedang disiasat di bawah subseksyen 214(2) yang dibaca bersama perenggan 1(b) Jadual 14 FSA.

Perenggan 1(b) Jadual 14 FSA melarang mana-mana orang, sama ada secara langsung atau tidak langsung, mengiklankan aktiviti pembelian atau penjualan mata wang asing melainkan orang berkenaan dilesenkan, diberikan kuasa atau diluluskan secara bertulis oleh BNM. Selaras dengan subseksyen 214(2) FSA, mana-mana orang yang melanggar sesuatu larangan yang diperuntukkan dalam Jadual 14 adalah melakukan suatu kesalahan. Mana-mana orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen 214(2) FSA boleh dikenakan penalti sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 214(9) FSA, iaitu penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan entiti tidak berlesen atau tidak berdaftar yang menawarkan atau mengiklankan perkhidmatan berkaitan mata wang asing. Tindakan sedemikian boleh mengakibatkan penglibatan dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang. Untuk maklumat lanjut mengenai skim kewangan haram dan tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh BNM, sila rujuk bnm.gov.my/enforcement-actions.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana individu atau entiti yang disyaki mengiklankan atau menawarkan aktiviti pembelian atau penjualan mata wang asing tanpa kebenaran boleh melaporkan perkara tersebut kepada BNM melalui bnm.gov.my/BNMLINK atau menghubungi 1300-88-5465.


Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?