Ucapan Alu-aluan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di Majlis Makan Malam Penghargaan Industri Sempena Ulang Tahun ke-30 FAST

Kuala Lumpur | 9 September 2026

(Ucapan disampaikan oleh Timbalan Gabenor Marzunisham Omar 
bagi pihak Gabenor)

 

Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan bagi meraikan ulang tahun ke-30 FAST atau Fully Automated System for Issuing and Tendering.

Tiga puluh tahun yang lalu, pasaran modal Malaysia berada pada tahap pembangunan yang jauh berbeza berbanding hari ini. Seiring dengan perkembangan sistem kewangan negara yang semakin besar dan kompleks, kita menyedari keperluan untuk membangunkan infrastruktur yang lebih kukuh bagi menyokong pertumbuhan tersebut. Atas keperluan tersebut, FAST diperkenalkan.

Pada masa itu, objektifnya jelas namun cukup mencabar, iaitu untuk memodenkan proses penerbitan dan tender sekuriti hutang serta instrumen pasaran wang. Proses yang sebelum ini dilaksanakan secara manual dan berasaskan kertas telah beralih kepada sistem elektronik yang lebih cekap, telus dan boleh dipercayai.

Jika kita menelusuri kembali perjalanan ini, jelas bahawa FAST telah menjadi lebih daripada sekadar sebuah platform teknologi. Platform ini telah menjadi sebahagian daripada asas yang membentuk pasaran bon dan sukuk moden Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Infrastruktur pasaran kewangan jarang mendapat perhatian umum. Kebanyakan orang tidak menyedari kewujudan beberapa sistem yang memproses transaksi, memudah cara penerbitan dan menghubungkan peserta pasaran. Walaupun jarang mendapat perhatian, setiap pasaran kewangan yang berjaya ada kebergantungan pada kesemua sistem ini.

Infrastruktur yang kukuh menyokong kecekapan pasaran. Pasaran yang cekap pula menyokong pelaburan yang produktif, manakala pelaburan yang produktif menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Apabila modal mengalir dengan cekap daripada penyimpan kepada pelabur, perniagaan dapat berkembang, infrastruktur dapat dibangunkan dan peluang ekonomi baharu dapat diwujudkan.

Oleh sebab itu infrastruktur pasaran kewangan yang kukuh amat penting. Infrastruktur ini mewujudkan persekitaran yang membolehkan pasaran terus menambah skala, berinovasi dan kekal berdaya tahan. Sepanjang tiga puluh tahun yang lalu, FAST telah membantu Malaysia mencapai ketiga-tiga matlamat penting ini.

Pertama, FAST membolehkan pasaran berkembang pada skala yang lebih besar. Dengan FAST sebagai infrastruktur utama yang menyokong pasaran, pasaran bon dan sukuk Malaysia telah berkembang menjadi antara pasaran bon mata wang tempatan yang terbesar dan paling maju di rantau ini dengan nilai mencecah kira-kira RM2.35 trilion setakat akhir bulan Jun 2026.

Perkembangan ini telah memperluas pilihan pembiayaan bagi perniagaan dan institusi. Syarikat korporat kini mempunyai akses kepada pembiayaan jangka panjang melalui pasaran modal. Hal ini bermakna pelaburan dapat dibiayai, rancangan pengembangan dapat disokong dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Antara bulan Januari 2025 hingga Jun 2026, lebih daripada RM377 bilion telah berjaya diperoleh melalui pasaran bon korporat.

Kedua, FAST membolehkan pasaran terus berinovasi. Selama bertahun-tahun, Malaysia telah mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam bidang sukuk dan kewangan mampan. Pada tahun 2025, sukuk  merangkumi lebih 60 peratus daripada keseluruhan pasaran bon dan sukuk negara dengan nilai sukuk terkumpul melebihi RM1.4 trilion. Hal ini mencerminkan tahap kedalaman dan kematangan  ekosistem yang telah dibangunkan seiring dengan peredaran masa.

Malaysia juga menjadi perintis dalam instrumen pembiayaan mampan yang baharu dengan menjadi negara pertama yang menerbitkan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment,  SRI) pada tahun 2015, serta Sukuk Hijau pada tahun 2017. Pencapaian ini bukan sahaja didorong oleh permintaan pasaran dan rangka kerja kawal selia yang kukuh tetapi turut dipengaruhi oleh infrastruktur pasaran yang terus berkembang sejajar dengan keperluan pasaran.

Ketiga, FAST membolehkan pasaran kekal berdaya tahan. Ketika berdepan tempoh tekanan kewangan, ketidaktentuan ekonomi malah semasa pandemik global, pasaran bon dan pasaran wang Malaysia terus berfungsi dengan berkesan. Daya tahan ini bukanlah terhasil secara kebetulan. Sebaliknya, daya tahan ini dibina selama bertahun-tahun melalui dasar yang kukuh, institusi yang mantap dan infrastruktur pasaran kewangan yang teguh. FAST sentiasa menjadi sebahagian daripada asas penting yang menyokong daya tahan tersebut.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Ketika kita meraikan pencapaian sepanjang tiga puluh tahun yang lalu, kita juga perlu mengakui bahawa masa hadapan akan menyaksikan landskap yang jauh berbeza. Teknologi, terutamanya kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), sedang mengubah sektor kewangan. Jangkaan pelabur juga terus berkembang, manakala struktur pasaran pula menjadi semakin saling berhubung.

Pasaran yang telah kita bina sepanjang tiga puluh tahun yang lalu bukanlah pasaran yang akan kita perlukan untuk tiga puluh tahun yang akan datang. Justeru, jika pasaran terus berkembang, maka infrastruktur yang menyokongnya juga perlu turut berkembang.

Oleh sebab itulah Bank Negara Malaysia telah memulakan usaha memodenkan FAST melalui pembangunan FAST+ yang akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun. Pada asasnya, FAST+ bertujuan untuk memastikan infrastruktur pasaran negara terus relevan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan. Memandangkan persediaan menghadapi masa hadapan bukan sekadar melibatkan aspek teknologi, kita menyasarkan tiga hasil utama:

Kita mahukan pasaran yang lebih pintar. Infrastruktur pasaran masa hadapan perlu memainkan peranan yang lebih besar daripada sekadar memproses transaksi. Infrastruktur ini juga perlu membantu peserta pasaran membuat keputusan yang lebih baik. Melalui analitik lanjutan dan kecerdasan buatan, kita mahu FAST+ menyediakan pandangan yang lebih mendalam, analisis yang lebih mantap, tahap ketelusan yang lebih tinggi, serta pemantauan risiko yang lebih efektif.

Kita mahukan pasaran yang lebih saling berhubung. Ekosistem kewangan masa hadapan memerlukan interaksi yang lebih lancar antara penerbit, pelabur, pengantara, infrastruktur pasaran dan pihak pengawal selia. Melalui kesalinghubungan dan saling boleh kendali yang lebih baik, kita mahu FAST+ mengurangkan ketidakcekapan dalam pasaran, meningkatkan kecekapan dan menyokong pengalaman pasaran yang lebih lancar.

Kita mahukan pasaran yang lebih inovatif. Seiring dengan penerokaan teknologi inovatif dan bentuk pembiayaan baharu termasuk sekuriti token (tokenised securities), instrumen boleh atur cara (programmable instruments) dan struktur pasaran digital baharu, infrastruktur pasaran kita perlu terus kekal diyakini. Kita mahu FAST+ menyokong inovasi sambil terus mengekalkan keselamatan, kecekapan dan kepercayaan.

Bersama-sama Scripless Securities Depository System generasi baharu (SSDS+), FAST+ akan menyediakan asas bagi fasa pembangunan pasaran modal Malaysia yang seterusnya. Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa Bank Negara Malaysia akan melaksanakan pelancaran awal SSDS+ pada 25 September 2026.

FAST+ dan SSDS+ akan menyediakan infrastruktur yang memudahkan penerbitan, penyelesaian, dan penyimpanan selamat bagi bon dan sukuk token, yang seterusnya membolehkan penerbit dan pelabur meneroka kaedah baharu pengumpulan dana, pelaburan dan perkhidmatan aset.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Tiga puluh tahun yang lalu, FAST telah membangunkan pasaran yang kita nikmati pada hari ini. Cabaran yang mendepani kita sekarang adalah untuk memastikan FAST+ turut membantu membina pasaran yang diperlukan Malaysia pada masa hadapan.

Sebuah pasaran yang lebih besar; sebuah pasaran yang lebih saling berhubung; sebuah pasaran yang lebih inovatif dan yang paling penting, sebuah pasaran yang memenuhi keperluan ekonomi Malaysia.

Semua ini tidak dapat dicapai melalui infrastruktur semata-mata. Sebaliknya, semua matlamat ini memerlukan kerjasama erat serta komitmen yang berterusan daripada kita semua.

Pada malam ini, ketika kita meraikan pencapaian penting ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta pasaran dan pihak berkepentingan yang telah menyumbang kepada kejayaan FAST sepanjang tiga dekad yang lalu.

Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan; terima kasih atas kerjasama yang terjalin dan terima kasih kerana bersama-sama membangunkan pasaran bon dan sukuk yang paling dinamik di rantau ini. Marilah kita bersama-sama melakar lembaran seterusnya.

Terima kasih.


Bank Negara Malaysia
09 September 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?