Ucapan Khas oleh Gabenor Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour di Persidangan ke-16 International Financial Crime and Terrorism Financing (IFCTF) 2026

Kuala Lumpur | 6 October 2026

Ucapan Khas oleh Gabenor Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour
di Persidangan ke-16 International Financial Crime and Terrorism Financing (IFCTF)  2026
Kuala Lumpur | 6 Oktober 2026

 

"Pencegahan Jenayah Kewangan Berpandukan Risikan: Kuasa Data, Dapatan dan Kerjasama"

 

Izinkan saya memulakan ucapan dengan merakamkan tahniah kepada AICB, Compliance Officer Networking Group serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan persidangan pada hari ini.

Tahun ini merupakan detik bermakna dalam usaha negara memerangi jenayah kewangan. Kini, genap 25 tahun Malaysia menggubal Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Terhad dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing, Anti-Restricted Activity Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).

Sepanjang suku abad yang lalu, Malaysia telah memperbaharui rangka kerja AML yang pada asalnya bersifat tradisional menjadi sebuah rejim komprehensif yang memerangi semua bentuk jenayah kewangan. Kemajuan ini dibina berasaskan tiga tunggak, iaitu:

  • Pertama, undang-undang yang lebih ketat. Kemajuan ini merangkumi beberapa siri pindaan AMLA serta penambahbaikan kepada undang-undang utama lain. Secara bersama, semua langkah ini telah memantapkan keupayaan negara untuk menyiasat, membuat pendakwaan dan mendapatkan semula hasil daripada aktiviti jenayah, di samping meningkatkan ketelusan dan memperkukuh akauntabiliti.

  • Kedua, institusi yang lebih kukuh, yang berteraskan pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach). Sejak beberapa tahun lalu, Malaysia telah menubuhkan pelbagai platform penting bagi penyelarasan dan perkongsian risikan, termasuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC), Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (National Scam Response Center, NSRC), Multi-Agency Task Force (MATF), National Fraud Portal dan MyFINet. Kesemua platform ini memperkukuh tindak balas kolektif negara terhadap jenayah kewangan, sekali gus mencerminkan keyakinan bersama bahawa ancaman sedemikian tidak boleh ditangani oleh satu institusi sahaja.

  • Ketiga, pemahaman yang lebih mantap berhubung dengan risiko dan pendekatan penyeliaan. Sebanyak lima Penilaian Risiko ML/TF Kebangsaan (National ML/TF Risk Assessments) yang komprehensif dan dilengkapi oleh semakan tematik telah mempertajam pemahaman kita tentang ancaman dan kelemahan yang dihadapi. Kemajuan yang ketara turut dicapai dari segi pengawalan dan penyeliaan. Kini, dengan lebih 27,000 institusi pelapor dalam sektor kewangan dan bukan kewangan dan disokong oleh rangka kerja yang teguh serta penyeliaan bercirikan teknologi, kita berupaya melaksanakan pengawasan secara berkesan dan bersesuaian dengan tahap risiko.

Kesemua usaha ini secara bersama telah memperkukuh rejim AML/CFT/CPF Malaysia, lantas menghasilkan pengiktirafan positif dalam Mutual Evaluation 2025.

Yang lebih penting, segala usaha ini telah membuahkan hasil yang nyata. Sebagai contoh, pada separuh pertama tahun 2026 sahaja, sektor kewangan telah berjaya menghalang cubaan transaksi penipuan bernilai kira-kira RM1.9 bilion, mengatasi RM1.2 bilion yang berjaya dihalang bagi keseluruhan tahun 2025.[1] Sejak lima tahun lalu,[2] aset berkaitan aktiviti jenayah yang bernilai lebih RM37 bilion turut berjaya diperoleh semula. Kes jenayah kewangan yang besar dan rumit telah disiasat dan didakwa, termasuk yang melibatkan pelbagai agensi.

Pencapaian ini merupakan bukti kejayaan usaha seluruh negara. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi, institusi dan individu yang telah menyumbang sepanjang perjalanan ini. Syabas kepada semua.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pada awal tahun ini, saya telah bercerita mengenai pokok Gelam semasa Sasana Symposium di Bank Negara Malaysia. Sebahagian daripada hadirin mungkin masih mengingati kisah tersebut. Pokok Gelam, yang tumbuh di sepanjang Pantai Timur Malaysia, hidup subur dalam persekitaran yang sangat mencabar kerana sentiasa membuat penyesuaian dengan persekitaran tersebut dengan menggugurkan kulitnya secara berterusan.

Sepanjang suku abad yang lalu, kita telah memperkukuh undang-undang, institusi dan jalinan kerjasama. Namun, usaha ini tidak pernah benar-benar selesai. Sebagaimana penjenayah melakukan adaptasi , teknologi yang terus berkembang dan risiko yang semakin rumit, begitu juga tindak balas kita perlu diperbaharui.

Seperti pokok Gelam, daya tahan kita bukan terletak pada pencapaian yang telah diperoleh, tetapi pada keupayaan untuk terus membuat pembaharuan dan persediaan bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Terdapat dua faktor utama yang yang wajar diberikan perhatian.

Pertama, jenayah kewangan tidak terkecuali daripada perpecahan dan ketidaktentuan global.

Perkembangan geopolitik sedang membentuk semula aliran wang, perdagangan dan maklumat. Saluran pembayaran baharu, aliran rentas sempadan yang semakin lancar serta koridor perdagangan yang sentiasa berkembang membuka lebih banyak ruang kepada aktiviti haram. Kerjasama antarabangsa yang semakin kompleks dan berhadapan dengan tekanan yang sangat besar boleh menyebabkan adanya aspek yang terlindung (blind spots).

Oleh itu, seperti yang ditekankan dalam piawaian antarabangsa FATF, perkembangan geopolitik perlu diambil kira dalam penilaian risiko dan pendekatan berasaskan risiko. Kita perlu sentiasa menilai semula tahap dedahan, memperkukuh langkah-langkah sedia ada serta terus berwaspada apabila berhadapan dengan landskap yang sentiasa berubah.

Kedua, didorong oleh kemajuan teknologi, jenayah kewangan kini bergerak daripada pantas kepada semakin pantas.

Teknologi telah mengubah cara kita mengakses perkhidmatan kewangan, membuat transaksi dan berhubung. Namun, teknologi juga mengubah cara penjenayah membiayai dan menyembunyikan aktiviti mereka. Penjenayah kini tidak lagi bergerak mengikut kepantasan manusia. Sebaliknya, mereka bergerak sepantas teknologi.

Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) merupakan bukti yang nyata. Kandungan janaan AI kini mampu meniru suara dan penampilan seseorang dengan amat meyakinkan, sekali gus menyukarkan pengesanan penipuan. Saya pasti ramai dalam kalangan anda pernah melihat video deepfake yang memaparkan saya sedang bertengkar dengan seorang tetamu dalam siaran langsung televisyen. Melalui AI, penjenayah semakin mudah memperdayakan dan memanipulasi mangsa. Hari ini, kira-kira 95% kes penipuan dalam talian melibatkan mangsa yang diperdayakan untuk memindahkan sendiri wang mereka kepada penjenayah.

Ejen AI (AI Agents) berupaya menggerakkan kempen penipuan, mengenal pasti kelemahan serta memperhebat serangan siber. INTERPOL menganggarkan bahawa penipuan yang digerakkan oleh AI berpotensi menjana keuntungan sehingga 4.5 kali lebih tinggi berbanding kaedah tradisional.[3] Keupayaan ini membolehkan penjenayah beroperasi dengan lebih pantas, mendapatkan lebih banyak mangsa dan mengakibatkan mudarat yang lebih besar.

Semua perkembangan ini meletakkan kita dalam perlumbaan keupayaan (“arms race”) dengan penjenayah. Maka, tatkala penjenayah menggunakan automasi untuk penipuan, kita perlu mengautomasikan pengesanan. Memandangkan mereka mengeksploitasi kelajuan dan skala, kita perlu lebih tangkas untuk mengenal pasti, mengekang serta mencegah aktiviti haram.

Hadirin sekalian,

Tema persidangan pada hari ini, “Pencegahan Jenayah Kewangan Berpandukan Risikan: Kuasa Data, Dapatan dan Kerjasama”, memberi kita petunjuk mengenai masa hadapan.

Mari kita mulakan dengan Kuasa Data dan Dapatan. Dalam ekonomi digital masa kini, setiap transaksi meninggalkan jejak data. Cabaran yang dihadapi bukan lagi tentang ketersediaan maklumat, tetapi keupayaan kita untuk mengolah maklumat tersebut kepada dapatan dan risikan yang boleh diterjemahkan kepada tindakan.

Di Bank Negara Malaysia, sebagai Unit Perisikan Kewangan negara, data dan pemahaman merupakan teras kepada tugas kami. Daripada penghasilan produk risikan kepada pemudah cara pengurusan data, kami terus memperkukuh proses dan infrastruktur yang menyokong risikan berasaskan data.

Namun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan. Di seluruh dunia, teknologi dan analisis canggih semakin dimanfaatkan untuk memperkukuh usaha pencegahan penipuan, dan Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini. Sejak bulan Oktober 2025, National Fraud Portal telah melaksanakan projek rintis untuk menganalisis corak rangkaian pembayaran bagi mengenal pasti akaun yang mungkin dijadikan akaun keldai (mule accounts). Sehingga kini, PayNet telah menandakan lebih 1,600 akaun yang mencurigakan, dan kebanyakannya dikenal pasti sebagai mempunyai risiko berkaitan akaun keldai. Hal ini menunjukkan potensi risikan berasaskan rangkaian (network-level intelligence), iaitu menghubungkan maklumat merentas institusi kewangan, untuk mengenal pasti risiko yang mungkin tidak dapat dikesan melalui perspektif mana-mana institusi secara bersendirian.

Bagi menyokong peralihan ini, BNM telah memperkukuh asas pengurusan risiko teknologi dan pencegahan penipuan. Dokumen dasar Risk Management in Technology yang disemak semula memantapkan daya tahan institusi kewangan dalam menghadapi risiko berkaitan teknologi, ancaman siber serta jenayah digital yang berkembang pesat. Sementara itu, dokumen dasar Financial Institutions' Response to Fraud yang diterbitkan baru-baru ini meningkatkan lagi akauntabiliti institusi kewangan dalam pengurusan risiko penipuan, dan pada masa yang sama menggalakkan penggunaan risikan, analisis dan teknologi secara bertanggungjawab.

Langkah ini hanyalah permulaan. Berlandaskan asas yang telah dibangunkan, industri perbankan bersama PayNet sedang berusaha ke arah memperkenalkan keupayaan peringatan penipuan seluruh industri yang mampu memberikan amaran awal kepada bank dan pelanggan mengenai potensi risiko sebelum sesuatu transaksi disempurnakan. Peringatan ini akan mendorong pelanggan untuk berhenti seketika, berfikir dan membuat pengesahan sebelum meneruskan transaksi. Kami sedar bahawa keupayaan ini mungkin menyukarkan pelanggan. Namun, langkah ini perlu untuk mendapatkan keseimbangan yang sewajarnya antara kemudahan dengan perlindungan pelanggan daripada penipuan, khususnya penipuan yang melibatkan kebenaran (authorised scams). Sehubungan dengan itu, sukacita saya mengumumkan bahawa projek rintis yang melibatkan beberapa bank terpilih disasarkan pada separuh pertama tahun 2027, sebelum dilaksanakan dengan lebih meluas pada masa hadapan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Masa hadapan pengurusan penipuan tidak boleh dibina berdasarkan pengesanan aktiviti mencurigakan selepas aktiviti tersebut berlaku. Kita perlu beralih daripada pendekatan yang bersifat reaktif kepada pendekatan bersifat prediktif, dan akhirnya kepada pendekatan pencegahan. Kejayaan terbesar adalah apabila penipuan berjaya dicegah sebelum berlaku.

Seperti yang ditekankan melalui tema hari ini, cabaran sebesar ini tidak boleh ditangani secara bersendirian. Selama 25 tahun, AMLA telah menyokong pendekatan seluruh negara dengan menghimpunkan pihak berkepentingan daripada sektor awam dan swasta untuk bersama-sama memerangi jenayah kewangan. Berlandaskan kelebihan Malaysia berhubung dengan penyelarasan dalam negeri, terdapat dua bidang yang boleh diberikan lebih banyak perhatian.

Pertama, perkongsian maklumat. Walaupun kerjasama antara sektor awam dengan swasta telah menghasilkan pencapaian yang nyata, masih terdapat potensi besar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya melalui kerjasama yang diterajui industri serta perkongsian antara institusi sektor swasta (private-private partnership). Daripada pembangunan panduan yang dipacu sektor sehinggalah kepada pembinaan infrastruktur yang dikongsi, kerjasama yang lebih erat dalam kalangan sektor swasta berupaya meningkatkan keupayaan kita untuk menangani risiko yang baru muncul. Pada masa hadapan, kita juga perlu beralih daripada pertukaran maklumat yang bersifat ad hoc kepada bentuk kerjasama yang lebih berstruktur, merentas sempadan dan bercirikan teknologi. Disokong oleh rasa percaya, struktur tadbir urus yang kukuh serta mekanisme perkongsian maklumat yang selamat, kerjasama antara sektor awam dengan swasta serta antara institusi sektor swasta berpotensi menjadi penggerak utama untuk memajukan pencegahan jenayah kewangan yang didorong risikan.

Kedua, kerjasama antarabangsa. Daripada kerjasama tidak formal melalui pertukaran risikan hinggalah kepada kerjasama formal untuk tujuan penyiasatan dan pendakwaan, kerjasama antarabangsa amat mustahak ke arah membentuk gambaran yang lengkap mengenai risiko jenayah kewangan. Rangkaian jenayah tidak mengenal sempadan. Oleh itu, usaha kita juga tidak boleh dibatasi sempadan negara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Seiring dengan langkah kita ke hadapan, izinkan saya mengakhiri ucapan ini dengan empat peringatan mudah yang diilhamkan daripada Akta yang telah memberi kita panduan sepanjang suku abad yang lalu, iaitu AMLA:

  • A – Anticipate (Jangka): Jangkakan ancaman yang baru muncul, kerana penyelesaian yang berkesan semalam tidak akan mengatasi cabaran hari esok;

  • M – Monitor (Pantau): Pantau risiko dengan teliti, kerana kesedaran merupakan asas kepada daya tahan;

  • L – Leverage (Manfaatkan): Manfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, kerana inovasi hadir bersama peluang dan risiko;

  • A – Act Together (Bertindak Bersama): Bertindak secara bersama, kerana tiada institusi, tiada sektor dan tiada negara yang dapat membanteras jenayah kewangan secara bersendirian.

Dua puluh lima tahun dari sekarang, apabila kita mengimbau perjalanan yang telah dilalui, saya berharap kita tidak hanya mengira bilangan undang-undang yang dipinda, dasar yang diperkenalkan atau piawaian yang dipenuhi. Sebaliknya, saya berharap kita akan dapat menyatakan bahawa:

  • kita telah melindungi masyarakat daripada kemudaratan;

  • kita telah memelihara integriti sistem kewangan negara; dan

  • kita telah mewariskan Malaysia yang lebih kukuh, lebih selamat dan lebih berdaya tahan berbanding dengan Malaysia yang kita warisi.

Kerana pada akhirnya, ukuran sebenar kejayaan kita bukanlah pematuhan, tetapi kepercayaan yang kita pelihara.

Perjalanan AML/CFT/CPF Malaysia masih lagi jauh. Malah, pelbagai jalan cerita yang terbaik masih menanti di hadapan. Marilah kita bersama-sama mencorak dan melakarkannya.

 


[1] Sumber: Bank Negara Malaysia

[2] Mutual Evaluation of Malaysia (Disember 2025)

[3] INTERPOL report warns of increasingly sophisticated global financial fraud threat (Mac 2026)


Bank Negara Malaysia
06 Oktober 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?