Ucapan Khas oleh Gabenor Dato' Sri Abdul Rasheed Ghaffour Persidangan JC3 Journey to Zero 2026

Kuala Lumpur | 29 September 2026

Izinkan saya memulakan ucapan dengan mengucapkan tahniah kepada para penerima Anugerah Pengiktirafan JC3, serta para pemenang Pitch-A-Thon CFIL. 

Usaha dan sumbangan anda semua mengingatkan kita bahawa kemajuan bermula dengan mereka yang berani mencuba idea baharu, menjalin kerjasama baharu dan menterjemahkan aspirasi kepada tindakan.

Semasa Sasana Symposium dua bulan yang lalu, saya telah berkongsi tentang kisah pokok Gelam. Pokok ini mampu hidup dalam persekitaran yang mencabar kerana keupayaannya untuk menyesuaikan diri, bertahan dan terus berkembang. Tema persidangan tahun ini iaitu “Building Climate and Nature Resilience for People and Businesses” (Membina Daya Tahan Iklim dan Alam Semula Jadi untuk Rakyat dan Perniagaan) turut membawa mesej yang sama..

Kita tidak boleh menunggu sehingga badai seterusnya melanda. Sebaliknya, kita harus membuat persediaan selagi keadaan masih memihak kepada kita.

Sepanjang persidangan ini, kita telah mendengar pelbagai pandangan yang bernas. Walaupun perspektif yang dikongsikan mungkin berbeza-beza, satu mesej kekal jelas dan konsisten: usaha membina daya tahan iklim dan alam semula jadi bukan sekadar agenda alam sekitar, justeru merupakan suatu keperluan ekonomi dan seterusnya suatu keutamaan bagi sektor kewangan.

Tatkala kita melabuhkan tirai Persidangan JC3 J20 pada tahun ini, izinkan saya berkongsi tiga perkara untuk kita renungkan bersama.

Pertama, sektor kewangan perlu membantu dalam mempercepat peralihan tenaga yang diyakini.

Peralihan tenaga Malaysia kini semakin menunjukkan kemajuan. Tenaga boleh diperbaharui merangkumi 31% daripada kapasiti terpasang pada tahun 2025 berbanding 25% pada tahun 2023. Pencapaian ini meletakkan kita pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran interim 2025 menurut Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR). Namun begitu, pencapaian ini hanyalah satu daripada pelbagai ukuran kejayaan.

Perkembangan kecerdasan buatan dan pertumbuhan pesat pusat data mendorong peningkatan permintaan elektrik pada skala yang belum pernah berlaku sebelum ini. Dengan pusat data dianggarkan akan menggunakan hampir satu pertiga daripada penggunaan elektrik menjelang tahun 2035, Malaysia perlu memastikan pertumbuhan ekonomi digital disokong oleh bekalan tenaga yang boleh dipercayai, berpatutan dan semakin bersih.

Saya yakin bahawa modal untuk tujuan ini sememangnya tersedia. Persoalan sebenar adalah sama ada kita mampu menyalurkan modal itu kepada projek yang berdaya maju dan mampu menarik pelaburan pada skala dan kadar yang diperlukan.

Dalam banyak keadaan, cabarannya terletak pada proses pengantaraan kewangan. Satu cabaran utama ialah pembiayaan projek tenaga bersih berimpak tinggi yang pada zahirnya kelihatan kurang menarik daripada sudut komersial.

Sebagai contoh, bayangkan sebuah pekan kecil di Sabah yang bergantung pada penjana kuasa diesel berkapasiti 800 kilowatt untuk bekalan elektrik. Pada masa yang sama, sebuah kilang kelapa sawit berdekatan menghasilkan gas metana yang mencukupi untuk menjana elektrik di seluruh pekan tersebut. Wujud peluang yang nyata untuk mengurangkan kos penggunaan diesel dan pelepasan bahan berbahaya yang memudaratkan. Dengan membangunkan sebuah  penjana kuasa biogas dan menyambungkannya kepada pekan tersebut, tenaga elektrik dapat dibekalkan kepada penduduk setempat.

Meskipun projek seperti ini berdaya maju daripada segi teknikal, mendapatkan pembiayaan bukanlah sesuatu yang mudah. Projek sebegini masih dianggap baharu, model pendapatannya tidak konvensional dan skalanya pula mungkin terlalu kecil untuk mewajarkan usaha penstrukturan yang diperlukan.

Sekarang, pertimbangkan pula hakikat bahawa terdapat lebih 120 kilang kelapa sawit di seluruh Sabah. Projek yang pada awalnya dianggap “tidak berdaya maju” ini sebenarnya boleh menjadi bukti konsep yang meyakinkan. Model yang sama boleh diperluas pada skala yang lebih besar dan mampu menambah ratusan megawatt tenaga bersih untuk seluruh negeri.

Yang menariknya, keadaan ini menjelaskan kepada kita bahawa:

  • Projek yang kelihatan kurang berdaya maju boleh berkembang menjadi model yang boleh diguna pakai secara meluas.
  • Intervensi setempat boleh membuka peluang yang lebih luas di seluruh negeri.
  • Risiko yang pada awalnya dianggap sukar untuk ditangani pula boleh menjadi lebih terkawal apabila institusi membina pengetahuan, menjalin kerjasama dan struktur yang sesuai.

Peranan inilah yang dimainkan oleh CFIL. CFIL menghimpunkan pemilik projek, penyedia pembiayaan, pakar teknikal dan pembuat dasar untuk bersama-sama merangka penyelesaian. Sehingga kini, CFIL telah menerima 45 projek yang memerlukan pembiayaan melebihi RM5 bilion.

Ukuran sebenar kejayaan terletak pada seberapa banyak daripada projek ini yang akhirnya berkembang dan menghasilkan impak dalam dunia sebenar. Saya ingin mengajukan satu soalan mudah kepada para penyedia pembiayaan: bagaimanakah kita boleh membantu 45 projek ini dan projek-projek lain yang seumpamanya untuk berkembang pada skala yang lebih besar?

Cadangan projek yang ideal jarang sekali hadir dalam keadaan yang sudah lengkap. Oleh itu, libat urus perlu dimulakan lebih awal, bersama-sama membentuk projek, kenal pasti jurang pembiayaan dan bangunkan penyelesaian perkongsian risiko. Jika kita mahu menghasilkan projek yang lebih kukuh pada masa hadapan, usaha tersebut perlu bermula pada hari ini.

Bank Negara Malaysia komited untuk terus memudah cara usaha ini. Menerusi strategi yang sedang kami laksanakan menjelang tahun 2030, kami sedang meneroka cara pendekatan pengawalan dan penyeliaan boleh diubahsuaikan dengan lebih baik bagi menyokong agenda peralihan tenaga. Kami juga sedang mempertimbangkan ruang yang sewajarnya untuk institusi kewangan mengambil risiko yang lebih tinggi secara bertanggungjawab. Semua risiko ini perlu difahami, dinilai dan diurus dengan sewajarnya mengikut tahap kesanggupan mengambil risiko yang ditetapkan.

Melabur dalam langkah penyesuaian untuk memperkukuh daya tahan Malaysia terhadap risiko iklim

Kedua, kita perlu membiayai usaha untuk membina daya tahan sebelum berlakunya sekali lagi banjir besar, fenomena El Niño yang melampau atau tanah runtuh yang dahsyat.

Kita perlu merancang, membiayai dan menerapkan daya tahan dalam setiap keputusan yang dibuat pada hari ini.

Kita perlu beralih daripada membiayai pemulihan selepas bencana kepada membiayai daya tahan sebelum bencana berlaku.

Kita perlu melabur sebelum krisis melanda, bukan sekadar menanggung kos selepas krisis berlaku.

Aspirasi ini dikongsikan oleh Kerajaan sebagaimana yang diketengahkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam ucapan beliau semalam. Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0, Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan serta Pelan Adaptasi Kebangsaan dan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang akan datang. Semua ini akan memberikan kejelasan dan keyakinan yang lebih tinggi terhadap agenda iklim Malaysia, lantas membantu menarik pelaburan bagi tindakan iklim yang berwibawa.

Bagi sektor kewangan, keutamaan segera kita adalah untuk memperkukuh ketersediaan dan kebolehcapaian data iklim. Inisiatif seperti Katalog Data JC3 dan program data pelepasan (emissions data programmes) merupakan asas yang penting. Namun begitu, data hanya bernilai apabila dimanfaatkan bagi menyokong proses membuat keputusan.

Pak Gita Wirjawan mengingatkan kita semalam bahawa peruntukan modal disalurkan secara lebih tersusun apabila risiko dinilai. Dengan kata lain, menterjemahkan ketidaktentuan yang tidak diketahui kepada ”risiko” yang boleh diukur. Langkah ini merupakan faktor penting untuk menarik dan menggembleng modal jangka panjang ke arah projek dan penyelesaian iklim dan alam semula jadi.

Tugas kita adalah untuk menterjemahkan maklumat dan data yang lebih baik untuk menghasilkan pengurusan risiko yang lebih kukuh serta keputusan pelaburan yang lebih mantap.

Mengiktiraf alam semula jadi sebagai aset ekonomi

Perkara ketiga yang ingin saya sentuh ialah pengiktirafan alam semula jadi sebagai aset ekonomi.

Khazanah alam semula jadi Malaysia merupakan antara aset negara yang paling bernilai. Hutan, sungai, pesisir pantai dan ekosistem kita menyokong kegiatan ekonomi, melindungi masyarakat dan menjamin kelangsungan mata pencarian. Lebih separuh daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Malaysia mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap perkhidmatan ekosistem.

Namun, selama bertahun-tahun, pasaran kewangan menganggap alam semula jadi sebagai sumber yang sentiasa wujud dengan banyaknya lantas tidak perlu diberikan nilai ekonomi yang sewajarnya. Nilainya hanya disedari apabila alam semula jadi rosak atau hilang. Justeru, keadaan ini mesti berubah.

Peribahasa Melayu “bagai aur dengan tebing” menggambarkan hubungan yang saling melengkapi antara manusia dengan alam semula jadi. Aur, iaitu nama lain bagi buluh, membantu menstabilkan tebing sungai, manakala tebing sungai pula menyokong pertumbuhan aur. Begitulah juga ekosistem yang sihat menyokong kelangsungan mata pencarian, melindungi masyarakat dan membolehkan kegiatan ekonomi terus berkembang.

Bagi Bank Negara Malaysia, alam semula jadi merupakan bidang ilmu dan amalan baharu yang mengingatkan kita bahawa usaha membina daya tahan tidak boleh tertumpu pada isu iklim semata-mata. Cabaran kita adalah untuk menjadikan kebergantungan ini lebih jelas, boleh diukur dan akhirnya diterapkan dalam proses membuat keputusan kewangan.

Bandar-bandar di seluruh dunia telah menunjukkan cara penyelesaian berasaskan alam semula jadi mampu memperkukuh daya tahan iklim, di samping menghasilkan manfaat alam sekitar dan sosioekonomi dalam jangka panjang.

Taman Bishan-Ang Mo Kio di Singapura merupakan satu contoh yang tersedia. Apabila sebuah terusan konkrit yang semakin usang perlu dibaiki, pihak berkuasa mempunyai dua pilihan, iaitu sama ada membina semula terusan tersebut seperti sedia ada atau memulihkan sungai itu kepada keadaan asal yang lebih semula jadi. Tidak mengejutkan apabila mereka memilih untuk melabur dalam alam semula jadi, dengan kos hanya separuh daripada pilihan alternatif. Pendekatan ini telah menangani keperluan pengurusan banjir, malah meningkatkan kualiti dan bekalan air dan pada masa yang sama mewujudkan kawasan hijau untuk kegunaan masyarakat.

Dalam keadaan yang sesuai, penyelesaian berasaskan alam semula jadi mampu memperkukuh daya tahan di samping menghasilkan manfaat ekonomi dan alam sekitar. Kita perlu lebih proaktif dalam mengenal pasti peluang-peluang sebegini.

Tindakan yang bermakna bermula dengan pemahaman. Institusi kewangan perlu terlebih dahulu membina keupayaan dan memperkukuh pemahaman tentang risiko berkaitan alam semula jadi. Risiko alam semula jadi dan risiko iklim ibarat dua sisi syiling yang sama. Kedua-duanya saling berkait rapat dan sering mempengaruhi antara satu sama lain.

Dengan pemahaman yang lebih mendalam, institusi kewangan dapat melihat kesan dan kebergantungan berkaitan alam semula jadi dalam konteks yang lebih luas dan tidak terhad kepada perspektif iklim semata-mata. Pertimbangan ini seterusnya boleh mula diintegrasikan dalam pengurusan risiko dan keputusan perniagaan.

Langkah pertama tidak memerlukan sumber awal yang besar atau mahal. Institusi kewangan juga tidak perlu menunggu sehingga segala-galanya sempurna. Walaupun semakin banyak institusi kewangan mula mengambil pakar iklim dalaman sebagai langkah awal, usaha berkaitan alam semula jadi boleh dimulakan hari ini dengan memanfaatkan sumber dan keupayaan sedia ada, sebelum diperkukuh secara berperingkat dari semasa ke semasa.

Menjelang berakhirnya JC3 J20 2026, kita akan keluar dengan rasa optimis namun pada masa yang sama sedar akan keperluan untuk bertindak segera.

Optimis kerana penyelesaian kini mula muncul. Kita telah menyaksikan inovasi, kepimpinan dan kesediaan yang semakin meningkat dalam sektor kewangan untuk menerima perubahan.

Namun, rasa mendesak itu tetap ada kerana masa tidak menunggu kita. Risiko iklim semakin meningkat, begitu juga kemerosotan alam semula jadi.

Ujian sebenar bermula apabila kita melangkah keluar dari auditorium ini. Adakah perbincangan akan diterjemahkan kepada kerjasama, projek rintis berkembang menjadi projek sebenar dan projek-projek tersebut akhirnya berjaya menarik pelaburan?

Dalam ucaptama beliau, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengingatkan kita bahawa alam sekitar ialah amanah yang dianugerahkan kepada kita. Sebagai khalifah, tanggungjawab kita jauh melangkaui pengurusan keperluan pada masa kini.

Tindakan kita perlu disertai pandangan jauh dan matlamat. Oleh sebab itulah platform seperti JC3 adalah penting. Tiada satu institusi pun yang mampu membiayai peralihan ini secara berseorangan. Tiada satu pengawal selia pun yang berupaya menyelesaikan semua cabaran ini secara bersendirian.

Semoga kita semua meninggalkan persidangan ini dengan komitmen baharu iaitu:

  • untuk menggerakkan modal dengan lebih berani;
  • untuk menyokong inovasi dengan lebih aktif; dan
  • untuk berkerjasama dan membangunkan penyelesaian secara bersama dengan lebih erat. 

Sebelum saya menamatkan ucapan, saya ingin mengingatkan kita tentang Pokok Gelam. Pokok ini mampu bertahan kerana keupayaannya untuk menyesuaikan diri dan terus berkembang. Begitulah juga dengan sistem kewangan, ekonomi dan masyarakat kita. Persoalannya, mampukah kita untuk berkembang dengan cukup pantas sebelum berdepan gelombang cabaran yang seterusnya?

Akhir kata, izinkan saya merakamkan penghargaan atas usaha Pengerusi Bersama JC3, Puan Madelena Mohamed dan Puan Neetasha Rauf; Pengerusi Jawatankuasa Kecil JC3 bagi Pembinaan Keupayaan dan Penglibatan, Raja Amir Shah; Sekretariat dan ahli-ahli JC3; serta para penaja dan semua pihak yang telah hadir pada hari ini dan semalam untuk menjayakan persidangan ini.


Bank Negara Malaysia
29 September 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?