Ucapan oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani di Perasmian Bulan Literasi Kewangan 2026 Bersempena dengan Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2026

Kuala Lumpur | 6 Oktober 2026

Ucapan oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani
di Perasmian Bulan Literasi Kewangan 2026
Bersempena dengan Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2026
Kuala Lumpur | 6 Oktober 2026

Dengan sukacitanya saya mengalu-alukan kehadiran anda semua ke Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2026 (Simposium) serta majlis pelancaran rasmi Bulan Literasi Kewangan 2026.

Kedua-dua acara ini sangat berkait rapat. Bulan Literasi Kewangan mendekatkan pendidikan kewangan kepada masyarakat, manakala Simposium ini memberikan peluang kepada kita untuk berhenti sejenak, meneliti bukti serta memikirkan sama ada usaha yang dilaksanakan telah membuahkan hasil kewangan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. Pada akhirnya, kedua-dua acara ini berkongsi matlamat yang sama: membantu rakyat Malaysia membuat keputusan kewangan yang bijak dan membina daya tahan kewangan yang lebih kukuh pada setiap peringkat kehidupan.

Bulan Literasi Kewangan 2026 dan Jelajah Kebangsaan 2026

Aspirasi ini dizahirkan melalui tema Bulan Literasi Kewangan tahun ini, iaitu "Money Smart When It Matters Most" atau "Bijak Wang Dulu, Tenang Bila Perlu."

Tema kali ini berkaitan dengan keadaan bersiap sedia. Tema ini mengingatkan kita bahawa tabiat, pengetahuan dan langkah perlindungan yang dibina ketika keadaan tenang akan menentukan pilihan yang tersedia apabila berhadapan dengan situasi yang sukar. Bersiap sedia dari segi kewangan bukanlah bererti membuat keputusan yang sempurna. Sebaliknya, keadaan ini bermaksud lebih bersedia untuk mengambil peluang dan menghadapi cabaran kehidupan mengikut keadaan dan aspirasi masing-masing.

Kita sering mengenal pasti kelemahan kewangan melalui kesan yang jelas dilihat, seperti simpanan yang rendah, penampan kewangan yang terhad, kesukaran menampung perbelanjaan luar jangka atau persediaan persaraan yang tidak mencukupi. Namun, kehidupan kewangan seseorang tidak dialami secara berasingan mengikut kategori seperti simpanan, pinjaman, perlindungan dan persaraan.

Sebaliknya, keadaan ini dialami melalui pelbagai peristiwa kehidupan, seperti menerima gaji pertama, membeli rumah, memulakan keluarga, menghadapi kecemasan perubatan, menjaga ibu bapa yang semakin berusia atau membuat persediaan untuk persaraan.

Oleh itu, cabarannya bukan sekadar menyediakan maklumat tetapi untuk turut memastikan maklumat yang tepat, produk yang betul dan sokongan tersedia pada masa dan tempat keputusan kewangan penting dibuat. Matlamat inilah yang ingin digalakkan melalui Bulan Literasi Kewangan. Bukan sekadar bulan kesedaran, tetapi merupakan peluang untuk membantu rakyat Malaysia mengambil langkah yang praktikal dan boleh mencapai kesejahteraan kewangan yang lebih kukuh. Pendekatan ini dibawa lebih rapat kepada masyarakat melalui program Jelajah Kebangsaan Bulan Literasi Kewangan 2026 yang diselaraskan oleh Pejabat Koordinasi Kebangsaan Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network National Coordination Office, FENNCO) bersama-sama ahli, ahli bersekutu, rakan strategik dan rakan komuniti FEN.

Jelajah ini telah bermula pada 21 September di Perak dan akan melabuhkan tirainya pada 21 Oktober di Johor. Pelbagai program turut dijalankan secara serentak dari Sandakan ke Kota Kinabalu di Sabah serta dari Kuching ke Samarahan di Sarawak. Persinggahan hari ini di Sasana Kijang menandakan pelancaran rasmi serta pelepasan simbolik sebelum jelajah tersebut diteruskan ke seluruh negara.

Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2026

Tuan-tuan dan puan-puan,

Jika Bulan Literasi Kewangan mendekatkan pendidikan kewangan kepada masyarakat, Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan pula memperkukuh bukti dan strategi yang menyokong semua usaha tersebut. Tema Simposium tahun ini, "No One Left Behind: Bridging Gaps, Securing Futures", mengajak kita meneliti cara pendidikan kewangan dapat memberikan sokongan yang lebih baik bagi golongan yang menghadapi realiti kewangan yang berbeza. Golongan ini termasuk generasi sandwic yang memikul pelbagai tanggungjawab penjagaan keluarga; pekerja gig dan platform yang berdepan pendapatan tidak menentu serta perlindungan yang terhad; serta keluarga yang membesarkan
anak-anak yang memerlukan keperluan khas dan mungkin berhadapan dengan komitmen kewangan yang rumit dan lazimnya berpanjangan.

Persamaan antara semua golongan ini ialah hasil kewangan mereka tidak hanya ditentukan oleh tahap pengetahuan tetapi juga oleh situasi yang mereka hadapi. Seseorang itu mungkin mengetahui langkah yang patut diambil, namun pendapatan yang tidak menentu, tanggungjawab penjagaan keluarga, kos sara hidup yang meningkat atau akses yang terhad kepada sokongan yang sesuai boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk bertindak berdasarkan pengetahuan tersebut. Oleh itu, proses mengenal pasti punca kesukaran adalah penting. Jika ada faktor-faktor berbeza yang menyebabkan kesukaran kewangan, maka kita tidak seharusnya menganggap penyelesaiannya adalah sama. Persoalannya bukan lagi semata-mata sama ada seseorang tahu apa yang perlu dilakukan. Persoalan yang lebih penting ialah sama ada mereka boleh membuat keputusan kewangan yang berhemat dalam realiti kehidupan yang mereka lalui.

Kita ambil contoh Program Literasi Kewangan GoGiggers yang dianjurkan dengan kerjasama ahli dan rakan strategik FEN termasuk AKPK, KWSP dan BSN. Dengan mengambil kira bahawa pekerja gig mempunyai corak pendapatan yang tidak menentu dan motivasi kewangan yang berbeza, program ini dirangka berdasarkan profil, situasi dan keperluan tingkah laku peserta. Program ini menggabungkan panduan kewangan yang praktikal dengan sokongan berterusan yang boleh diaplikasikan oleh peserta mengikut situasi masing-masing. Hasilnya amat memberangsangkan. Melalui pelaksanaan awal di Semenanjung Malaysia, peserta yang terlibat mencatatkan peningkatan kesejahteraan kewangan sebanyak 34.4%, manakala 74% daripada mereka mula membina simpanan kecemasan. Para peserta juga mengumpulkan lebih RM68,000 dalam simpanan dan RM40,000 dalam pelaburan sepanjang program tersebut. Berikutan kejayaan ini, program tersebut diperluas ke Sabah dan Sarawak dan para peserta turut melaporkan peningkatan dalam daya tahan kewangan dan amalan menyimpan. Pencapaian ini menunjukkan hasil yang boleh dicapai apabila kita memahami situasi sesuatu kumpulan serta merangka mekanisme sokongan yang membantu peserta menterjemahkan pengetahuan kepada tindakan yang praktikal.

Dekad Kedua FEN: Daripada Jangkauan Secara Kolektif kepada Impak Secara Kolektif

Tahun ini juga amat bermakna kerana Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) memulakan dekad kedua dalam usaha memperkasakan tahap celik kewangan di Malaysia.

Sejak penubuhannya pada tahun 2016, FEN telah berkembang menjadi ekosistem yang luas, merangkumi antaranya pengawal selia, agensi kerajaan, institusi kewangan, persatuan industri, penyelidik dan perusahaan sosial yang bersama-sama berusaha ke arah agenda yang sama. Tidak ada satu institusi pun yang dapat melihat keseluruhan perjalanan namun secara kolektif, Keluarga FEN mampu berbuat demikian.

Sepanjang sedekad yang lalu, Keluarga FEN telah berkembang kepada 53 organisasi dan secara kolektif menganjurkan lebih 1,800 program pendidikan kewangan kepada rakyat Malaysia merentas pelbagai peringkat kehidupan, daripada kanak-kanak sekolah dan belia hinggalah kepada golongan dewasa dan pesara. Hal ini mencerminkan skala komitmen di seluruh rangkaian dan jangkauan secara kolektif yang dibina sejak sekian lama.

Di samping pelaksanaan program, pendidikan kewangan kini telah disepadukan dalam peringkat penting kehidupan. Langkah ini termasuk menyepadukan elemen pendidikan kewangan ke dalam kurikulum sekolah, pelaksanaan FEN PROAKTIF 2.0 untuk pelajar universiti dan TVET, sehinggalah inisiatif untuk pasangan muda yang akan mendirikan rumah tangga melalui kerjasama dengan JAKIM, serta usaha membantu individu membuat keputusan pinjaman yang penting. Bersama-sama dengan pelbagai usaha ahli dan rakan strategik FEN, intervensi ini telah disampaikan kepada jutaan rakyat Malaysia dan mencerminkan kekuatan kolektif rangkaian ini. Semua peringkat kehidupan utama ini memerlukan intervensi pendidikan kewangan yang tepat pada masanya.

Dalam satu lagi contoh, melalui program Latihan Jurulatih (Train-the-Trainer), FEN telah melatih 209 guru yang seterusnya menyampaikan pendidikan kewangan kepada lebih 10,000 guru. Daripada jumlah tersebut, 87% mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, manakala 57% berjaya menyimpan lebih daripada 10% pendapatan bulanan mereka pada penghujung program. Hal ini menunjukkan bahawa pembelajaran melalui rakan yang dipercayai dapat membantu menghasilkan tindakan daripada pengetahuan kewangan.

FEN juga telah membangunkan rangka kerja umum untuk menyokong pendidikan kewangan yang lebih konsisten. Financial Literacy Core Competencies for Malaysian Adults atau FLCC mengenal pasti pengetahuan, tingkah laku dan sikap yang perlu dibentuk, manakala Rangka Kerja Pengukuran dan Penilaian Pendidikan Kewangan (Financial Education Measurement and Evaluation Framework, FEME) membantu penyedia program mereka bentuk, mengukur dan menambah baik program masing-masing.

Semua ini merupakan pencapaian penting. Namun, tatkala FEN memasuki dekad kedua, kita perlu berlandaskan jangkauan secara kolektif ini untuk menghasilkan tingkah laku dan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia yang lebih baik secara berterusan. Dapatan MYFLIC 2024 menunjukkan bahawa meskipun tahap pengetahuan kewangan meningkat daripada 55.0 pada tahun 2015 kepada 62.9 pada tahun 2024, indeks tingkah laku dan sikap kewangan masih kekal mendatar. Sehubungan dengan itu, fasa seterusnya akan berpandukan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026-2030 (Malaysia National Strategy for Financial Literacy 2026-2030, NS2.0) bagi menangani kesemua jurang ini serta menterjemahkan peningkatan pengetahuan kepada kesejahteraan kewangan yang bermakna.

Bagi mencapai impak yang lebih besar, kita perlu menggabungkan pelbagai keupayaan khusus yang wujud dalam FEN. Ahli akademik dan penyelidik menyumbang teori serta bukti; para pengamal membawa pengalaman pelaksanaan; industri memahami produk dan tingkah laku pengguna; manakala perusahaan sosial menawarkan kepercayaan dan jangkauan masyarakat. Seiring dengan bermulanya dekad kedua FEN, cita-cita kolektif kita perlu beralih daripada jangkauan secara kolektif kepada impak secara kolektif.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Hari ini, rakyat Malaysia mempunyai akses kepada lebih banyak maklumat kewangan berbanding sedekad yang lalu. Persoalan yang lebih penting ialah sama ada mereka lebih bersedia untuk bertindak apabila perlu mengambil keputusan kewangan yang penting. Melalui Bulan Literasi Kewangan, kami mendekatkan pendidikan kewangan yang praktikal kepada masyarakat. Melalui Simposium ini pula, kami memperkukuh bukti serta jaringan kerjasama yang diperlukan untuk membangunkan penyelesaian yang lebih berkesan.

Apabila FEN memulakan dekad kedua, usaha kolektif kita perlu menghasilkan penambahbaikan yang bermakna dan berkekalan bagi kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia.

Saya berharap perbincangan sepanjang dua hari ini akan menghasilkan dapatan baharu, pandangan baharu, tindakan praktikal serta kerjasama yang lebih kukuh yang boleh menghasilkan impak sebenar kepada mereka yang paling memerlukannya. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua penyelidik serta peserta simposium ini. Tuan-tuan dan puan-puan semua telah menyumbang kepada usaha memperluas ilmu pengetahuan dalam bidang ini. Semoga segala usaha dan perbincangan yang berlangsung sepanjang simposium ini terus dipandu oleh ilmu dan kebijaksanaan. Saya ingin mengakhiri ucapan ini dengan kata-kata sarjana Islam terkemuka, Imam Al-Ghazali: "Insan yang berilmu merupakan pemegang amanah Allah di muka bumi."

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Bulan Literasi Kewangan 2026.


Bank Negara Malaysia
06 Oktober 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?