Ucapan Pembukaan oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani di Mesyuarat ke-11 ASEAN Central Bank Heads of Internal Audit Network
Kuala Lumpur | 8 Oktober 2026
Selamat datang ke Kuala Lumpur dan Bank Negara Malaysia. Saya amat berbesar hati untuk bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan di ASEAN Central Bank Heads of Internal Audit Network Meeting (Rangkaian) ke-11 ini. Kehadiran anda mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan profesion audit dalaman serta memperkukuh institusi yang kita wakili.
Mesyuarat pada tahun ini cukup istimewa kerana buat pertama kalinya, kita mengalu-alukan penyertaan wakil dari Papua New Guinea. Penyertaan ini mencerminkan semangat kerjasama serantau yang semakin erat dalam kalangan komuniti audit dalaman. Sejak penubuhannya, Rangkaian ini telah berkembang daripada sebuah forum profesional kepada platform yang dipercayai untuk bertukar-tukar pandangan dan saling berkongsi pengalaman.
Kerjasama serantau seperti ini semakin penting. Kita beroperasi dalam persekitaran yang sudah berubah disebabkan oleh kemajuan teknologi, ancaman siber yang semakin canggih, perkembangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi serta jangkaan pihak berkepentingan yang semakin tinggi. Risiko kini semakin saling berkait dan peristiwa dalam sesebuah institusi, sektor atau bidang kuasa berupaya mencetuskan implikasi yang lebih meluas dalam tempoh yang pantas.
Pada asasnya, bank pusat merupakan institusi yang berteraskan kepercayaan. Sama ada dalam usaha mencapai kestabilan harga, memelihara kestabilan kewangan, memastikan sistem pembayaran dan penyelesaian berfungsi dengan lancar, menguruskan rizab atau menyokong daya tahan ekonomi, keberkesanan kita bergantung pada keyakinan yang diberikan kepada institusi kita. Tanpa keyakinan tersebut, dasar yang dirangka dengan baik dan rangka kerja yang kukuh sekali pun mungkin tidak dapat mencapai hasil yang diharapkan. Oleh itu, memelihara kepercayaan perlu terus menjadi antara tanggungjawab terpenting kita.
Izinkan saya berkongsi lima bidang risiko yang perlu diberikan perhatian dalam usaha memelihara kepercayaan dan keyakinan, serta relevan untuk perbincangan kita pada hari ini.
Pertama, risiko bersifat rentas sempadan. Serangan siber tidak lagi mengenal sempadan negara, manakala kecerdasan buatan memberikan kesan merentas pelbagai bidang kuasa. Aset digital dan ekosistem kewangan yang semakin saling berkait mewujudkan risiko serta kebergantungan baharu yang tidak dapat dinilai secara berasingan. Dengan menghimpunkan pelbagai perspektif dan pengalaman praktikal, kita dapat memperkukuh keupayaan bersama untuk mengenal pasti risiko baharu yang muncul serta merangka langkah tindak balas yang lebih berkesan.
Kedua, ketidakpastian kini bukan lagi berlaku sesekali, sebaliknya sesuatu yang semakin lazim dihadapi. Keputusan penting perlu dibuat dengan lebih kerap dalam keadaan maklumat yang tidak lengkap dan persekitaran yang pantas berubah. Oleh itu, cabaran yang kita hadapi bukanlah untuk menghapuskan ketidakpastian, sebaliknya untuk memperkukuh keupayaan kita menanganinya secara bertanggungjawab serta penuh keyakinan.
Ketiga, data semakin menjadi asas yang menyokong keputusan penting merentas bidang perumusan dasar, penyeliaan, operasi pasaran kewangan dan pengurusan organisasi. Keyakinan terhadap semua keputusan tersebut bergantung pada keyakinan terhadap data yang mendasarinya. Oleh itu, tadbir urus data yang kukuh amat penting bagi memastikan kredibiliti institusi terus terpelihara.
Keempat, kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) menawarkan peluang yang besar, namun turut menuntut tanggungjawab yang lebih tinggi. AI berupaya memperkukuh analisis, meningkatkan kecekapan, mempertingkatkan keupayaan mengenal pasti risiko serta memperteguh proses membuat keputusan oleh manusia. Namun AI turut menimbulkan persoalan berkaitan akauntabiliti, ketelusan, kualiti data dan penggunaan yang beretika. Persoalannya kini bukan lagi sama ada AI perlu diguna pakai, tetapi cara untuk menggunakan dan mentadbir urus AI secara bertanggungjawab, dengan akauntabiliti yang jelas, pengawasan manusia yang sewajarnya serta keputusan yang boleh dijelaskan dan selaras dengan nilai-nilai yang kita pegang.
Akhir sekali, daya tahan telah menjadi satu keutamaan strategik. Keupayaan sesebuah bank pusat untuk melaksanakan mandatnya perlu kekal bertahan walaupun berhadapan insiden siber, gangguan operasi dan tekanan pasaran. Daya tahan bukan bermaksud mengelakkan gangguan sepenuhnya, sebaliknya keupayaan untuk menjangka, menghadapi, pulih daripada serta membuat penyesuaian terhadap gangguan tersebut, sambil memastikan semua fungsi mustahak organisasi terus beroperasi dan keyakinan orang ramai terus terpelihara.
Berlatarkan keadaan ini, peranan audit dalaman terus berkembang. Tanggungjawab tradisional audit dalaman untuk memberikan jaminan bebas terhadap kawalan, tadbir urus dan pematuhan kekal sebagai fungsi yang asas. Namun begitu, lembaga pengarah dan pengurusan kanan kini semakin menghendaki pandangan yang dapat membantu institusi bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, mengenal pasti kelemahan yang muncul serta menilai tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Sehubungan dengan itu, audit dalaman kini memainkan peranan yang semakin penting antara tadbir urus, risiko, teknologi dan strategi.
Perkembangan ini turut disertai jangkaan yang semakin tinggi. Apabila sesuatu risiko menjadi kenyataan, antara persoalan yang paling awal dibangkitkan ialah, “Adakah audit dalaman telah mengetengahkan risiko ini?” Persoalan ini mencerminkan keyakinan terhadap fungsi audit dalaman. Namun begitu, tiada penyedia jaminan yang mampu menjangkakan setiap peristiwa yang akan berlaku, meneliti setiap risiko atau menjamin setiap hasil. Oleh itu, pendekatan yang wajar bukanlah untuk mengelakkan akauntabiliti mahupun memberikan jaminan yang tidak munasabah untuk dipenuhi, sebaliknya untuk mewujudkan pemahaman bersama yang jelas dan berdisiplin mengenai perkara yang boleh dicapai melalui jaminan yang berkesan.
Nilai sebenar audit dalaman terletak pada keupayaannya untuk meningkatkan kualiti pertimbangan institusi. Hal ini memerlukan kejelasan mengenai risiko yang paling signifikan, penetapan keutamaan yang berdisiplin serta dialog terbuka antara audit dalaman, lembaga pengarah dan pihak pengurusan mengenai sifat, skop dan batasan jaminan yang diberikan.
Pada masa hadapan, fungsi audit dalaman yang paling berkesan akan menggabungkan keupayaan teknologi dengan pertimbangan profesional yang utuh. Fungsi ini perlu tangkas dalam bertindak balas terhadap risiko yang sedang muncul, berani mengetengahkan pandangan yang berbeza daripada andaian sedia ada serta berpandangan strategik dalam memahami persekitaran operasi institusi secara lebih meluas.
Yang paling penting, fungsi audit dalaman akan terus mendapat kepercayaan sekiranya nilai-nilai yang tidak boleh digantikan oleh teknologi terus dipertahankan, iaitu kebebasan, kesaksamaan, sikap skeptisisme profesional dan integriti. Teknologi dapat memperluas capaian, memantapkan analisis serta meningkatkan ketepatan masa, namun teknologi tidak mampu menggantikan pertimbangan, keberanian dan nilai etika yang menjadi asas kepada kredibiliti jaminan yang diberikan.
Tema tahun ini, “Menjana Semula Jaminan: Memanfaatkan Kecerdasan, Daya Tahan dan Integriti (Reimagining Assurance: Harnessing Intelligence, Resilience and Integrity)”, amat bertepatan dengan perubahan yang sedang berlaku. Tema ini menekankan usaha menterjemahkan data kepada pandangan dan jangkaan masa hadapan, menilai keupayaan institusi untuk terus beroperasi secara berkesan saat mendepani gangguan dan perubahan, serta memelihara integriti yang menjadi teras kepada kewibawaan setiap bank pusat. Oleh itu, transformasi fungsi jaminan bukan sekadar melalui penggunaan alat atau metodologi baharu. Sebaliknya, profesion ini perlu terus kekal relevan dan responsif dalam mengharungi persekitaran yang semakin kompleks.
Semua tema ini diterapkan dalam keseluruhan program, termasuk audit kecerdasan buatan, ancaman siber yang sedang muncul dan pemulihan, kesiapsiagaan keselamatan siber, pengurusan data serta Global Internal Audit Standards. Walaupun merangkumi pelbagai bidang, semua topik ini berkongsi matlamat yang sama, iaitu memastikan fungsi audit dalaman kekal relevan, padu dan responsif terhadap keperluan bank-bank pusat yang sentiasa berubah.
Saya menggalakkan semua peserta untuk mengambil bahagian secara terbuka dalam perbincangan ini dan kongsikan kejayaan yang telah dicapai serta pengajaran yang diperoleh daripada cabaran dan kekangan yang pernah dihadapi. Sepanjang perbincangan hari ini, marilah kita memanfaatkan pengalaman masing-masing, mengetengahkan pandangan yang berbeza daripada pemikiran semasa, serta mempertimbangkan cara fungsi jaminan boleh terus berkembang dalam menyokong bank-bank pusat yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
Saya yakin mesyuarat ini akan menghasilkan pandangan yang bermakna, memperkukuh kerjasama serantau serta mengeratkan lagi jalinan antara komuniti audit dalaman bank-bank pusat ASEAN. Dengan itu, saya dengan penuh sukacita merasmikan pembukaan ASEAN Central Bank Heads of Internal Audit Network Meeting ke-11.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.