Ucapan Penolong Gabenor Madelena Mohamed di Majlis Perasmian Pameran GARIS SEMPADAN: Melangkaui Pinggir Belantara
Kuala Lumpur | 29 September 2026
Dengan sukacitanya saya mengalu-alukan para hadirin ke majlis pelancaran GARIS SEMPADAN: Melangkaui Pinggir Belantara. Terima kasih kerana bersama-sama kami menelusuri hubungan antara bandar yang kian berkembang dengan alam semula jadi yang menjadi tunjang kelangsungan kehidupan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Teras pameran ini mengangkat satu persoalan penting masa kini: ketika Kuala Lumpur Raya terus pesat membangun, bagaimanakah kita dapat memastikan kemajuan tersebut memperkukuh dan bukannya menjejaskan sistem alam semula jadi yang mendukung kesejahteraan hidup kita serta pertumbuhan ekonomi negara? Justeru, pelancaran GARIS SEMPADAN yang berlangsung seiring dengan JC3 Journey to Zero Conference 2026 ini sangat bermakna. Selaras dengan tema persidangan, iaitu “Membina Daya Tahan Iklim dan Alam Semula Jadi untuk Rakyat dan Perniagaan”, pameran ini membangkitkan perbincangan penting tersebut dalam dunia seni, sekali gus menzahirkan sistem alam semula jadi yang menyokong bandar raya, masyarakat dan ekonomi negara.
Komitmen yang sama untuk memelihara masa hadapan kita dicerminkan dalam peranan muzium. Muzium memelihara warisan yang membentuk jati diri kita. Di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (Bank Negara Malaysia Museum and Art Gallery, BNM MAG), tanggungjawab ini melangkaui pemeliharaan objek dan penceritaan sejarah semata-mata, tetapi turut merangkumi khazanah alam yang menjadi teras kelangsungan hidup kita. Melalui pameran, program umum dan kerjasama kreatif, BNM MAG secara progresif mempertingkatkan kesedaran serta pemahaman orang ramai tentang kelestarian dan pentingnya pemeliharaan alam sekitar.
Malaysia merupakan satu daripada 17 negara berkepelbagaian biologi di dunia. Walaupun keluasan negara kita hanya 0.2% daripada jumlah kawasan daratan dunia, hutan hujan tropika Malaysia menyokong kepelbagaian habitat dan spesies yang luar biasa, daripada hutan pamah dipterokarpa dan hutan gunung sehinggalah paya gambut serta paya bakau. Kekayaan alam semula jadi ini bukan sekadar sebahagian daripada landskap negara, malah merupakan khazanah warisan negara.
Semua hutan ini juga menjadi habitat kepada pelbagai spesies fauna tempatan dan masyarakat pribumi. Selain itu, kekayaan biodiversiti Malaysia menawarkan pelbagai perkhidmatan ekosistem penting. Perkhidmatan ini menjadi asas kepada kesejahteraan ekonomi dan rakyat, iaitu daripada penulenan udara dan pengawalan suhu sehinggalah pengurangan risiko banjir serta penyerapan dan penyimpanan karbon.
Petang ini, hadirin hadirat diundang untuk menelusuri Kuala Lumpur Raya melalui perspektif empat seniman, yang didahului jurugambar dokumentari warga Malaysia yang dihormati iaitu Ian Teh. Menerusi fotografi, bunyi hutan, karya audiovisual dan pengalaman realiti maya 360 darjah yang imersif, GARIS SEMPADAN membawa kita menghayati lima dekad pembangunan merentas bandar raya dan hutan-hutan di sekitarnya. Pameran ini merakamkan hubungan yang berkembang antara bandar raya dengan alam semula jadi, di samping mengajak kita meneliti hasil kemajuan yang telah dicapai, menghargai khazanah yang masih wujud dan warisan yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
Dianjurkan oleh Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, pameran ini mencerminkan iltizam Bank Negara Malaysia untuk memahami kesan perubahan alam sekitar terhadap daya tahan ekonomi dan kewangan. Pameran ini turut menggariskan peranan seni sebagai wadah yang membuka ruang untuk pemerhatian, dialog dan renungan. Melalui karya-karya yang dipamerkan, GARIS SEMPADAN mengajak kita merenung kepentingan memelihara warisan alam yang meneruskan kemampanan dan memperkaya kehidupan kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Ketika Bank Negara Malaysia melancarkan laporan A LEAP for Nature: Advancing Nature-related Financial Risk and Opportunity Assessment in Malaysia pada bulan Jun lalu, saya menekankan suatu hakikat yang biasa namun amat penting: Alam semula jadi merupakan nadi kepada semua kegiatan ekonomi. Perniagaan, institusi kewangan dan masyarakat bergantung pada sumber serta perkhidmatan ekosistem yang diberikan oleh alam semula jadi. Sekiranya semua sistem ini semakin terjejas, kesannya tidak terhad pada alam sekitar semata-mata tetapi turut mempengaruhi sumber pendapatan, aset dan daya tahan ekonomi untuk jangka masa panjang.
Hubungan antara alam semula jadi, ekonomi dan sistem kewangan kini semakin mendapat perhatian. Namun, hubungan ini masih belum diambil kira secara konsisten apabila membuat keputusan. Apabila risiko berkaitan iklim dan alam semula jadi kini semakin jelas, kita perlu terus meningkatkan pemahaman tentang saling kebergantungan ini dan membuat pertimbangan yang wajar berkaitannya dalam setiap keputusan ekonomi dan kewangan.
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ian Teh dan pasukannya, Yii Kah Hoe, William Kok dan Tom White, serta seisi pasukan pameran yang telah bertungkus lumus menjayakan GARIS SEMPADAN. Melalui karya-karya mereka, yang terserlah bukan sahaja keindahan luar biasa hutan-hutan kita, malah tekanan yang semakin mempengaruhi khazanah alam yang tidak ternilai ini. Yang lebih penting lagi, karya-karya ini mengingatkan kita bahawa ekosistem yang sihat tidak menghalang kemajuan. Sebaliknya, ekosistem tersebut merupakan sebahagian daripada infrastruktur yang menyokong daya tahan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pembangunan yang lestari.
Terima kasih kerana bersama-sama kami pada petang ini. Pameran GARIS SEMPADAN ini akan berlangsung hingga 4 April 2027. Saya berharap pameran ini dapat memberikan kesedaran dan penghargaan yang lebih mendalam tentang kepentingan pemeliharaan alam semula jadi dalam membina bandar raya yang lestari, berdaya huni dan berdaya tahan. Kemajuan sebenar bukan sahaja ditentukan melalui apa yang kita bangunkan, malah apa jua yang kita pelihara untuk generasi akan datang. Marilah kita pilih masa hadapan yang membolehkan bandar raya dan alam sekitar sama-sama berkembang maju.

Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.