Ucaptama Gabenor Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour di Philippine Islamic Finance Forum 2026

Manila, The Philippines | 20 November 2026

“Memperluas Peluang Melalui Kewangan Islam”

 

Saya amat berbesar hati dapat berada di Manila. Kepada Gabenor Eli dan rakan-rakan di Bangko Sentral ng Pilipinas, terima kasih atas sambutan mesra dan layanan baik yang diberikan serta usaha menghimpunkan semua pihak untuk perbincangan penting ini.

Tahniah atas kejayaan menerajui ASEAN 2026. Pada hari ini, saya berucap dengan semangat kerjasama untuk berkongsi pengalaman Malaysia, menimba pengalaman Filipina dan meneroka perkara yang dapat kita jayakan bersama dalam membangunkan kewangan Islam.

 

Peluang yang dikongsi bersama

Di seluruh ASEAN, kesalinghubungan ekonomi yang semakin erat membuka peluang baharu dalam bidang infrastruktur, perdagangan, pendigitalan dan ekonomi halal. Segala peluang ini memerlukan pembiayaan. Persoalannya bukan sekadar berapa banyak pembiayaan yang dapat kita gerakkan, tetapi juga apa yang dapat dicapai melalui pembiayaan tersebut.

Ada kalanya saya mengibaratkan kewangan umpama sebatang sungai. Sudah tentu kita boleh mengukur jumlah air yang mengalir melaluinya. Namun, nilai sebenarnya terletak pada sumbangan air tersebut kepada ekosistem. Infrastruktur. Perniagaan. Pekerjaan. Mata pencarian. Begitu juga, kepentingan kewangan terletak pada manfaat yang dapat dihasilkannya. Sudut pandang inilah yang penting untuk memahami kewangan Islam. Pada asasnya, kita perlu melihat tujuan yang ingin dicapai melalui kewangan Islam.

Kewangan perlu berkait rapat dengan kegiatan ekonomi benar. Kewangan perlu bersifat adil. Kewangan perlu bersifat bertanggungjawab. Pada akhirnya, kewangan perlu memberi manfaat kepada rakyat dan menyokong perusahaan produktif. Semua prinsip ini berteraskan Syariah. Namun begitu, hasil yang ingin dicapai bersifat sejagat.

Perbincangan sedemikian kini berkembang di seluruh dunia: Bagaimanakah kewangan dapat memberikan bukan sahaja pulangan daripada aspek kewangan, malahan juga hasil ekonomi dan hasil untuk masyarakat yang bermakna?

Inilah peluang yang ingin saya ketengahkan pada hari ini.

 

ASEAN dan Filipina

Kewangan Islam sudah mempunyai kedudukan yang kukuh di seluruh ASEAN. Terdapat lebih 180 institusi kewangan Islam merangkumi perbankan dan takaful yang beroperasi di enam buah negara. Aset kewangan Islam di ASEAN sudah melepasi paras USD1 trilion pada tahun 2025,[1] mencerminkan institusi yang lebih kukuh, pasaran yang lebih mendalam serta penyertaan pelabur yang semakin meningkat. Hal ini menyediakan asas yang mantap bagi pembangunan rantau ini.

Filipina telah mencatatkan kemajuan penting. Negara ini telah mewujudkan rangka kerja perundangan, memperkenalkan penawaran perbankan Islam dan takaful, dan pada tahun 2023 menerbitkan sukuk berdaulat pertamanya.

Semua ini merupakan pencapaian penting. Namun, yang menjadikan pencapaian ini bermakna ialah peluang yang diwujudkannya. Pilihan yang lebih luas untuk isi rumah, lebih banyak pilihan untuk perniagaan, serta saluran baharu untuk menyalurkan pelaburan kepada peluang yang produktif. Tiada satu formula tunggal untuk membangunkan kewangan Islam. Setiap negara akan menentukan haluannya sendiri, dibentuk oleh sejarah, institusi dan keutamaan masing-masing.

Namun begitu, izinkan saya berkongsi beberapa pandangan berdasarkan pengalaman Malaysia. Pengalaman ini menunjukkan cara kewangan Islam dapat berkembang menjadi industri yang mampan dan progresif, kekal berteraskan Syariah dan pada masa yang sama menawarkan nilai sejagat kepada semua.

 

Membina ekosistem yang memperluas penyertaan

Malaysia telah membangunkan kewangan Islam seiring dengan kewangan konvensional dalam bentuk dwisistem kewangan. Pengalaman kami menunjukkan bahawa pematuhan Syariah merupakan asas utama. Namun, usaha kita tidak seharusnya terhenti pada pematuhan semata-mata.

Kita juga perlu terus memberikan tumpuan pada nilai-nilai yang mendasari setiap kontrak Syariah:

  • Keadilan dan ketelusan.

  • Hubungan antara kewangan dengan kegiatan ekonomi benar.

  • Pengambilan risiko secara bertanggungjawab.

  • Kewangan yang memenuhi keperluan isi rumah dan perniagaan, mewujudkan nilai berkekalan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Prinsip-prinsip ini bersifat sejagat. Bagi umat Islam, kewangan Islam menyediakan perkhidmatan yang selaras dengan tuntutan agama. Bagi masyarakat lain, kewangan Islam menawarkan pilihan tambahan.

Di sinilah pentingnya peranan institusi. Jika kewangan ibarat sungai, maka tebing yang kukuh diperlukan untuk memandu alirannya. Bagi kewangan Islam, empat unsur yang berikut menjadi asasnya:

  1. Pertama, rangka kerja perundangan, pengawalseliaan dan Syariah yang jelas. Layanan cukai yang setara dan peraturan yang mantap menggerakkan persaingan yang adil. Tadbir urus Syariah yang berwibawa membina keyakinan.

  2. Kedua, ekosistem yang berfungsi dengan baik. Pasaran sukuk, pasaran wang antara bank Islam, takaful, takaful semula dan pengurusan mudah tunai perlu dibangunkan secara bersepadu bagi mewujudkan ekosistem kewangan Islam yang lengkap dan menyeluruh.

  3. Ketiga, tenaga profesional yang berkemahiran. Kita memerlukan individu yang memahami kewangan dan Syariah, dengan sokongan latihan yang mantap serta piawaian profesional yang tinggi.

  4. Keempat, kepercayaan orang ramai. Perkara ini sememangnya dekat di hati kita sebagai warga bank pusat. Produk hendaklah mudah difahami. Layanan seharusnya adil. Perkhidmatan hendaklah boleh dipercayai, mudah diakses dan ditawarkan pada harga yang berdaya saing.

Niat yang baik sahaja tidak memadai untuk menghasilkan impak. Institusi perlu menterjemahkan prinsip kepada amalan.

 

Kewangan Islam bagi menyokong keperluan sosioekonomi

Pada akhirnya, makna sesuatu prinsip terletak pada perubahan yang dihasilkannya. Ukuran sebenar bukan sekadar sama ada pembiayaan disalurkan, tetapi sama ada pembiayaan itu sampai kepada rakyat dan kawasan yang dapat meraih manfaat daripadanya. Di sinilah kewangan sosial Islam boleh memainkan peranan penting.

Zakat, wakaf dan sumbangan kebajikan mempunyai tujuan dan keperluan tadbir urus yang tersendiri. Apabila sesuai dan dibenarkan, semua sumber ini boleh melengkapi pembiayaan komersial, geran dan latihan.

Hal ini demikian kerana ada kalanya, modal sahaja tidak mencukupi. Perniagaan turut memerlukan kemahiran, latihan dan sokongan. Gabungan kesemua aspek ini membolehkan pembiayaan membantu perniagaan berjaya dan berkembang dengan lebih berkesan.

Program kewangan sosial Islam Malaysia, iTEKAD, menggabungkan kesemua unsur ini. Program ini menggabungkan modal permulaan daripada zakat atau sumbangan dengan pembiayaan mikro daripada institusi kewangan serta latihan perniagaan untuk menyokong usahawan mikro berpendapatan rendah.

Bermula sebagai projek rintis berskala kecil, iTEKAD kini telah diperluas ke seluruh negara. Setakat bulan Jun 2026, program ini telah menyokong lebih 15,000 usahawan mikro. Dalam kalangan sampel peserta yang telah menamatkan program, terdapat peningkatan jualan bulanan dan simpanan serta pewujudan pekerjaan baharu.

Bagi saya, inilah kewangan yang bermatlamat. Ukuran kejayaan bukan sekadar pembiayaan telah diberikan atau tidak, justeru perkara yang dapat dilakukan oleh seseorang hasil daripada pembiayaan tersebut:

  • Membina sumber mata pencarian.

  • Memperkukuh perniagaan.

  • Mewujudkan peluang untuk orang lain.

  • Meningkatkan kedudukan sosioekonomi masyarakat.

Di seluruh ASEAN, terdapat ruang untuk membuat penyesuaian dan peluasan pada model seperti ini. Kita dapat membantu lebih banyak isi rumah beralih daripada kebergantungan pada bantuan kepada memperoleh sumber mata pencarian yang lebih terjamin.

Inilah matlamat yang kita kongsi bersama.

 

Menghubungkan modal dengan keperluan pembiayaan ASEAN

Gagasan yang sama juga terpakai pada skala yang jauh lebih besar. Fasa pertumbuhan ASEAN yang seterusnya memerlukan modal yang besar. Tugas kita bukan sekadar meningkatkan aliran modal, tetapi juga membangunkan saluran yang dapat menghubungkan modal dengan keperluan ekonomi yang produktif. Pasaran kita mempunyai kekuatan yang berbeza. Hubungan yang lebih erat boleh menyalurkan modal dan kepakaran yang tersedia kepada pembangunan infrastruktur, perniagaan serta peluang pelaburan di seluruh rantau ini.

Sukuk berdaulat sulung Filipina menggambarkan potensi ini. Terbitan bernilai USD1 bilion pada tahun 2023 mencatatkan permintaan tertinggi kira-kira 4.9 kali jumlah yang ditawarkan. Hal ini menunjukkan keupayaan untuk menarik penyertaan kumpulan pelabur yang luas dan memperoleh sumber pembiayaan yang pelbagai.[2]

Malaysia turut menyaksikan minat yang serupa pada tahun ini. Terbitan sukuk global Malaysia bernilai USD1.5 bilion menarik permintaan antarabangsa yang kukuh. Terbitan ini turut mencatatkan spread paling rendah yang pernah direkodkan bagi sukuk global Malaysia.

Pengalaman kedua-dua negara menunjukkan potensi sukuk untuk menghubungkan kumpulan modal global dengan keperluan pembiayaan ASEAN. Peluang ini bukan sekadar untuk menggembleng modal, tetapi juga untuk menyalurkannya bagi menyokong keutamaan dan peluang pelaburan masa hadapan ASEAN. Di seluruh rantau ini, pelaburan yang besar diperlukan bagi menyokong peralihan tenaga, daya tahan iklim dan infrastruktur mampan.

Kewangan Islam berada pada kedudukan yang baik untuk menyumbang kepada semua usaha ini. Penyelesaian pembiayaannya yang pelbagai, termasuk sukuk dan struktur berasaskan perkongsian risiko, dapat membantu menggembleng modal merentas sempadan, menyokong peluang pelaburan baharu serta memperkukuh integrasi serantau dalam ASEAN.

Satu lagi bidang yang menawarkan peluang ialah ekosistem halal ASEAN yang semakin berkembang. Menjelang tahun 2030, nilai ekonomi halal ASEAN diunjurkan menghampiri USD5 trilion. Peranan rantau ini yang semakin penting dalam perdagangan halal global menawarkan peluang besar kepada perniagaan untuk menyertai rantaian bekalan serantau dan menembusi pasaran antarabangsa.[3] Bagi merealisasikan potensi ini, modal perlu digembleng untuk membantu perniagaan berkembang dan merebut peluang merentas sempadan.

 

Malaysia-Filipina: Kerjasama demi kemajuan bersama

Acara pada hari ini amat bermakna atas dua sebab. Selain penganjuran forum ini, kita turut membuka lembaran baharu dalam hubungan antara BSP dengan BNM. Selepas ucapan ini, Gabenor Eli dan saya akan menandatangani Memorandum Persefahaman antara kedua-dua institusi.

Memorandum Persefahaman ini dimeterai pada waktu yang tepat dengan menyediakan landasan yang lebih kukuh untuk kita memajukan keutamaan bersama, saling menimba pengalaman, merebut peluang baharu dan bersama-sama mengharungi cabaran yang mendatang. Kami berharap komitmen ini dapat diterjemahkan kepada kerjasama yang nyata dalam pelbagai bidang, termasuk kewangan Islam.

Kita mahu merealisasikan kerjasama ini melalui usaha yang praktikal. Asas untuk kita terus membina kerjasama ini juga telah tersedia:

  • Sebuah bank dan sebuah pengendali takaful dari Malaysia telah menyertai pasaran Filipina.

  • Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM) turut bekerjasama dengan Bangko Sentral ng Pilipinas dalam pelaksanaan program Associate Qualification in Islamic Finance Philippines Chapter.

Semua usaha ini merupakan permulaan yang menggalakkan.

Pasaran kita mempunyai kekuatan yang berbeza. Dengan menghubungkan pasaran kedua-dua negara, kita dapat memperluas aliran kepakaran, pelaburan dan peluang antara ekonomi kita. Peserta industri juga dapat meneroka lebih banyak peluang merentas sempadan seiring dengan perkembangan kedua-dua pasaran.

Sebagai kesimpulan, saya mengibaratkan kewangan sebagai sebatang sungai pada awal ucapan. Kita boleh mengukur jumlah air yang mengalir melaluinya. Namun begitu, pada akhirnya, nilai sungai tersebut diukur berdasarkan segala yang dapat tumbuh hasil daripada alirannya. Bagi saya, kiasan ini merangkum potensi kewangan Islam yang lebih luas. Kewangan Islam mempunyai nilai tawaran yang tersendiri serta disiplin yang berteraskan prinsip Syariah.

Meskipun demikian, aspirasi yang mendasarinya bersifat sejagat.

  • Kewangan yang memperkasakan perusahaan.

  • Kewangan yang memperluas peluang.

  • Kewangan yang memperkukuh daya tahan.

  • Kewangan yang bermanfaat untuk masyarakat.

 

Setiap negara akan membangunkan kewangan Islam dengan pendekatan yang berbeza. Institusi kita juga akan berbeza, manakala instrumen yang kita gunakan akan terus berkembang. Perkara yang paling mustahak ialah matlamat yang hendak dicapai melalui kewangan. Oleh sebab itulah saya percaya kewangan Islam dapat memberikan sumbangan penting bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada perbincangan yang lebih luas tentang matlamat yang ingin kita capai melalui kewangan demi rantau ini dan dunia.

Seiring dengan usaha Malaysia dan Filipina memperkukuh kerjasama, kita berpeluang untuk menterjemahkan gagasan ini kepada tindakan dengan menghubungkan:

  • Modal dengan perusahaan;

  • Kepakaran dengan peluang; dan

  • Kewangan dengan keperluan rakyat kita.

 

Gabenor Eli, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih atas layanan mesra yang diberikan. Malaysia mengalu-alukan peluang untuk terus bekerjasama dengan Filipina. Melalui kerjasama ini, saya berharap kita dapat menunjukkan bukan sahaja cara kewangan dapat berkembang, tetapi juga segala yang dapat direalisasikan melalui pertumbuhan tersebut.

 


[1] Sumber: London Stock Exchange Group (2025)

[2] Sumber: Republic of the Philippines (BTr Release) Republic of the Philippines Marks Maiden 5.5-Year Dollar Sukuk Listing in Nasdaq Dubai | Department of Finance)

[3] Sumber: Business Opportunities in ASEAN's Halal Market, The Halal Times (2024)

Governor Rasheed speaking at the Philippine Islamic Finance Forum 2026 in Manila


Bank Negara Malaysia
20 November 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?