Ucaptama Penolong Gabenor Madelena Mohamed di Majlis Pelancaran Laporan ‘A LEAP for Nature: Advancing Nature-related Financial Risk and Opportunity Assessment in Malaysia’

Kuala Lumpur | 11 Jun 2026

Izinkan saya mulakan dengan suatu realiti yang mudah namun penting: Alam semula jadi menyokong semua kegiatan ekonomi. Alam semula jadi menyediakan sumber asas, perkhidmatan dan sistem yang membolehkan ekonomi berfungsi dan terus berkembang.

Namun, nilai dan peranan alam semula jadi masih belum diberikan perhatian yang sewajarnya dalam pembuatan keputusan ekonomi dan kewangan pada hari ini, seolah-olah ia tidak terhad, bersifat luaran dan bukan suatu keperluan. Hal ini perlu berubah!

Pemeliharaan alam semula jadi bukan sekadar soal pemuliharaan, malah penting untuk membina dan mengekalkan daya tahan, kemampanan dan kesejahteraan jangka panjang bagi rakyat, ekonomi dan sistem kewangan.

Alam semula jadi sebagai sumber penjanaan nilai

Bagi sektor kewangan, kecenderungan utama adalah untuk mempertimbangkan sudut risiko dahulu. Sentiasa mengenai risiko, risiko dan risiko. Namun pada hari ini, saya ingin mengambil pendekatan berbeza dan mulakan dengan peluang.

Potensi ekonomi daripada peralihan ke arah ekonomi yang positif terhadap alam semula jadi adalah sangat besar. Di rantau Asia Pasifik sahaja, peluang perniagaan yang positif terhadap alam semula jadi boleh menjana nilai hingga USD4.3 trilion setahun dan mewujudkan 232 juta pekerjaan menjelang tahun 2030[1]. Pada peringkat Malaysia dan global, kita sudah mula melihat perkembangan ini. Izinkan saya unruk berkongsi tiga contoh:

  • Pertama, pengurusan pertanian dan perhutanan yang lestari meningkatkan kualiti tanah, memulihara kepelbagaian biologi dan meningkatkan kadar hasil. Semua ini mengurangkan pergantungan pada baja sintetik, sekali gus memberikan kelebihan persaingan di samping memperkukuh keterjaminan makanan. Pada ketika perkembangan geopolitik di Timur Tengah sedang menjejaskan bekalan tenaga dan baja, daya tahan seperti ini bukan sahaja sangat penting dari segi persekitaran tetapi juga ekonomi dan kewangan.
  • Kedua, ekopelancongan sebagai pemacu ekonomi Malaysia yang strategik menyokong pemeliharaan modal semula jadi dan pada masa yang sama merangsang perniagaan tempatan dan pekerjaan hijau. Di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026, VM2026), negara menyasarkan kutipan hasil pelancongan sebanyak RM329 bilion.
  • Ketiga, penyelesaian berasaskan alam semula jadi (nature-based solutions) seperti pemulihan hutan paya bakau dan penanaman semula hutan kini semakin diiktiraf sebagai bukan sahaja untuk pemuliharaan, tetapi juga bagi perlindungan pesisir dan daya tahan iklim, pengekalan rizab lantas mengurangkan kos jangka panjang bagi infrastruktur dan insurans.

Contoh ini bukan contoh terpencil, sebaliknya mencerminkan peralihan yang lebih luas dalam cara alam semula jadi diterapkan dalam penciptaan nilai ekonomi serta penyesuaian sebagai suatu cara untuk memastikan kesinambungan perniagaan.

Malaysia berada pada kedudukan yang unik untuk meraih manfaat ini. Sebagai salah satu daripada 17 negara megadiversiti yang secara kolektif menampung lebih 70% daripada biodiversiti global, modal semula jadi Malaysia seperti hutan, sungai dan lautan bukan sekadar aset alam sekitar. Semua itu merupakan aset ekonomi yang mengawal taburan hujan dan bekalan air, menyokong industri, mengekalkan sumber pendapatan dan memastikan kesejahteraan masyarakat. Dalam erti kata lain, apabila kita bercakap mengenai pertumbuhan, daya tahan dan daya saing, kita sebenarnya sedang bercakap mengenai alam semula jadi.

Risiko benar dan semakin ketara

Seiring dengan peluang, terdapat juga risiko benar dan semakin ketara. Hubungan rapat antara alam semula jadi dengan ekonomi yang membolehkan kita meraih nilai juga merupakan sumber kita menjadi mudah terjejas. Risiko ini semakin ketara selari dengan peningkatan tekanan antara pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan alam. Proses perbandaran yang pesat mendorong perubahan guna tanah dan kehilangan biodiversiti, manakala penangkapan ikan secara berlebihan terus mengancam ekosistem marin dan sumber pesisir. 

Dari sudut perniagaan, pergantungan pada alam semula jadi mewujudkan risiko fizikal apabila perkhidmatan ekosistem terjejas. Kita telah melihat kesannya secara nyata: gangguan bekalan air yang menjejaskan sektor perkilangan dan pembinaan, kejadian banjir yang lebih kerap menyebabkan kerugian kewangan dan aset yang besar, dan penyusutan stok ikan yang menjejaskan daya tahan kewangan komuniti pesisir di Malaysia.

Pada masa yang sama, aktiviti perniagaan juga memberi kesan kepada alam semula jadi, yang seterusnya mewujudkan risiko peralihan. Apabila dasar, teknologi dan jangkaan pasaran berubah bagi menangani kehilangan alam semula jadi, perniagaan dengan impak negatif yang ketara akan berhadapan dengan tekanan kewangan. Antaranya, peraturan baharu yang mengehadkan aktiviti di kawasan yang dilindungi, kawalan yang lebih ketat ke atas komoditi berkaitan penebangan hutan, atau kos pematuhan dan penalti yang lebih tinggi bagi impak biodiversiti.

Bagi institusi kewangan, pergantungan dan impak ini diterjemahkan secara langsung kepada risiko kewangan. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko kredit dan berpotensi menimbulkan risiko mudah tunai, menjejaskan penilaian portfolio, meningkatkan tuntutan insurans secara mendadak serta meluaskan dedahan liabiliti dan reputasi. Sebaliknya, institusi yang bertindak secara bertanggungjawab dengan lebih awal akan berada pada kedudukan yang strategik untuk membina portfolio yang berdaya tahan dan memanfaatkan peralihan ke arah ekonomi yang positif terhadap alam semula jadi.

Peranan institusi kewangan dan syarikat

Faktor ini membawa saya kepada peranan institusi kewangan dan syarikat. Kajian kami ke atas bank perdagangan mendapati bahawa 54% daripada pinjaman bank tertumpu pada sektor yang mempunyai kebergantungan yang tinggi atau sangat tinggi terhadap perkhidmatan ekosistem, manakala 36% daripada pinjaman bank adalah kepada sektor yang memberikan impak yang tinggi atau sangat tinggi kepada alam semula jadi. Apabila hubungan antara alam semula jadi dengan ekonomi ini semakin jelas, maka keperluan untuk menerapkan pertimbangan alam semula jadi secara lebih sistematik dalam pembuatan keputusan menjadi semakin mendesak, merangkumi strategi, pengurusan risiko dan peruntukan modal. Oleh itu, institusi kewangan dan syarikat boleh bermula dengan membina pemahaman yang lebih mantap dan mendalam tentang:

  • tahap kebergantungan mereka terhadap alam semula jadi,
  • impak mereka terhadap alam semula jadi, dan
  • risiko serta peluang yang mungkin timbul daripada kedua-duanya.

Hal ini merupakan faktor asas kerana perkara yang tidak diukur tidak akan dipantau dan diurus – dan perkara yang tidak diurus akan menjadi sumber risiko.

Yang penting, hal ini tidak seharusnya menjadi tanggungjawab pasukan kelestarian sahaja. Tanggungjawab ini memerlukan tindakan yang terselaras di seluruh organisasi, dipacu oleh hala tuju yang mantap daripada pihak atasan serta penglibatan aktif lembaga pengarah dan pengurusan kanan. Pelaksanaan yang berkesan bermula dengan perubahan DNA institusi kewangan, untuk menerapkan pertimbangan alam semula jadi ke dalam pemikiran dan proses kerja, dan merentas semua fungsi perniagaan dan pengurusan risiko.

Peranan Bank Negara Malaysia

Di Bank Negara Malaysia (BNM), kami mengambil maklum bahawa menerapkan alam semula jadi ke dalam keputusan kewangan bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak seperti peralihan iklim yang boleh diukur melalui metrik pelepasan karbon, isu berkaitan alam semula jadi mempunyai pelbagai dimensi, khusus lokasi, dan lebih sukar untuk diukur.

Kerumitan ini menjadi pemangkin kepada kajian yang diterbitkan hari ini. Kajian ini berlandaskan kajian pada tahun 2022 yang memberikan pemahaman asas mengenai dedahan sektor kewangan Malaysia kepada risiko berkaitan alam semula jadi. Kami berhasrat untuk mendalami pemahaman tentang tahap semasa penilaian risiko berkaitan alam semula jadi dalam kalangan institusi kewangan dan syarikat di Malaysia serta menyediakan panduan dan cadangan yang praktikal bagi mempercepatkan kemajuan.

Pada masa hadapan, BNM akan terus bekerjasama dengan institusi kewangan bagi menerapakn pertimbangan berkaitan alam semula jadi ke dalam pengurusan risiko melalui pembinaan keupayaan, penambahbaikan ketersediaan dan kualiti data, serta pembangunan alat yang bersesuaian.

Izinkan saya menutup ucapan saya hari ini dengan mesej yang ringkas: Kemajuan tidak memerlukan kesempurnaan tetapi memerlukan permulaan. Marilah kita ambil langkah pertama. Pilihan yang dibuat pada hari ini akan menentukan sama ada alam semula jadi menjadi sumber daya tahan dan peluang yang berterusan, ataupun sumber risiko dan ketidakstabilan.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada rakan kerjasama kami, iaitu World Bank Group dan UNDP Biodiversity Finance Initiative (BIOFIN), atas sumbangan dan komitmen anda sepanjang tempoh ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua entiti yang terlibat dalam pelaksanaan rintis TNFD Locate, Evaluate, Assess and Prepare (LEAP) Approach yang menjadi asas kepada banyak dapatan utama kajian ini. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada TNFD atas input berharga yang diberikan sepanjang proses ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan berdedikasi di BNM yang telah menjayakan usaha ini. 

Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan laporan bertajuk “A LEAP for Nature: Advancing Nature-related Financial Risk and Opportunity Assessment in Malaysia”.


Bank Negara Malaysia
11 Jun 2026

[1] New Nature Economy: Asia's Next Wave. Risks, Opportunities and Financing for a Nature-Positive Economy. Temasek, in collaboration with World Economy Forum and AlphaBeta (2021)


Bank Negara Malaysia
11 Jun 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?