Ucaptama Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid di Pelancaran Laporan Bank Dunia dan Islamic Development Bank Mengenai Kewangan Islam dan Agenda Iklim

Sasana Kijang | 13 Januari 2026

'Merapatkan Jurang – Kewangan Islam sebagai Pemangkin Daya Tahan Iklim Global'

 

Saya amat berbesar hati berada di sini bersempena dengan pelancaran laporan bersama mengenai Islamic Finance and the Climate Agenda. Kerjasama antara dua bank pembangunan pelbagai hala yang terkemuka ini menunjukkan hasil yang dapat dicapai melalui gabungan kepakaran, komitmen dan visi yang dikongsi bersama. Dapatan dalam laporan ini mencerminkan kekukuhan kerjasama serta potensi kewangan Islam sebagai pemangkin kepada pembangunan global yang mampan.

Saya berpeluang membacanya dan laporan ini menggariskan laluan yang jelas dan memberikan dorongan serta menggabungkan cita-cita dan praktik. Laporan ini mendorong kita untuk berfikir semula bagaimana kewangan Islam boleh digerakkan secara berskala. Izinkan saya untuk berkongsi beberapa pandangan daripada laporan ini yang menunjukkan peluang serta tanggungjawab yang akan dihadapi oleh kewangan Islam, khususnya bagi negara-negara OIC.

  • Pertama, banyak negara OIC kekal sebagai rantau yang paling terdedah pada risiko iklim, dengan tahap dedahan yang tinggi serta keupayaan penyesuaian yang rendah . Pelaburan yang diperlukan untuk melaksanakan strategi rendah karbon adalah besar, dengan purata 1.4% daripada KDNK, dan meningkat hingga lebih 5% bagi ahli negara OIC yang berpendapatan rendah iaitu jauh melangkaui kemampuan sumber awam semata-mata untuk menyokong pelaksanaan tersebut. Realiti ini mengetengahkan satu perkara dengan jelas, iaitu keupayaan untuk mengembangkan kewangan Islam akan bergantung pada kemampuan kita untuk menggembleng modal swasta dengan berkesan dan pantas.
  • Kedua, melaksanakan tindakan iklim juga memerlukan inovasi dan memanfaatkan kemajuan teknologi. Namun laporan ini turut mendedahkan satu jurang yang sangat ketara: hanya 3% syarikat dalam negara OIC yang dapat memperoleh dana ekuiti swasta (private equity, PE) atau modal teroka (venture capital, VC) untuk membiayai teknologi bersih dan iklim antara tahun 2017 hingga 2024. Angka ini mewakili hanya 0.5% daripada jumlah pelaburan global. Situasi ini merupakan peluang yang disia-siakan. Usaha mengembangkan dan menggerakkan pasaran PE dan VC adalah amat penting bagi memupuk penyelesaian baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, perkilangan hijau, penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan pertanian pintar iklim. Kewangan Islam perlu memainkan peranan yang lebih besar untuk merungkai ekosistem inovasi ini.
  • Ketiga, pembangunan takaful sebagai mekanisme pemindahan risiko untuk menggalakkan pelaburan berdaya tahan iklim adalah sangat penting memandangkan wujudnya jurang berbanding instrumen insurans konvensional untuk pembiayaan iklim. Banyak pengendali takaful kekurangan kepakaran teknikal, keupayaan aktuari dan infrastruktur data yang diperlukan untuk merangka produk berkaitan iklim seperti perlindungan parametrik untuk kejadian kemarau, banjir dan cuaca melampau.

Semua ini mengetengahkan bidang transformasi yang berpotensi untuk kewangan Islam membawa perubahan hasil yang bermakna. Maqasid al-Shariah, yang bertujuan untuk memelihara nyawa, akal, generasi masa depan dan alam sekitar, menyediakan rangka moral yang kukuh untuk tindakan iklim. Kita bertanggungjawab untuk memajukan kewangan Islam dengan menawarkan seni bina kewangan berasaskan nilai yang boleh memberikan panduan bagi peralihan ke arah masa depan yang lebih adil, berdaya tahan iklim dan makmur untuk semua. Laporan ini juga menyatakan bahawa negara OIC yang semakin mudah terjejas akibat kejutan iklim menuntut anjakan perundangan dalam ekonomi dan kewangan Islam ke arah prinsip maslahat atau kepentingan awam. Kajian kes instrumen patuh Syariah turut memberikan contoh praktikal, boleh skala dan berkesan dalam menyokong hasil ekonomi benar.

Izinkan saya berkongsi pengalaman dan aspirasi Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara kewangan Islam dengan agenda iklim. Pada peringkat kebangsaan, Malaysia meletakkan daya tahan iklim sebagai teras dasar negara, sebagaimana yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas. Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh daya saing dan meningkatkan potensi ekonomi negara. Malaysia telah lama berada di barisan hadapan dalam usaha menggerakkan kewangan Islam untuk agenda iklim, bermula dengan terbitan sukuk hijau pertama di dunia pada tahun 2017. Terbitan ini menjadikan Malaysia penerbit terbesar dalam kalangan negara OIC dengan lebih 47 sukuk hijau dan sukuk lestari bernilai USD13.4 bilion. Kemajuan ini dapat dicapai melalui penerapan pendekatan ekosistem yang menyeluruh, termasuk pelaksanaan inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-Based Intermediation, VBI) dan panduan sektoral VBIAF. Sehingga kini, sebanyak 18 Komuniti Pengamal (Community of Practitioners) VBI telah menyalurkan lebih USD11 bilion dalam pembiayaan hijau Islam, menunjukkan keupayaan sektor ini mengubah tingkah laku pelaburan dan menggembleng modal yang bermakna ke arah tindakan iklim.

Kami komited untuk mengekalkan momentum ini dan terus membangunkan penyelesaian yang memberikan tumpuan pada usaha merungkai penggerakan modal awam dan swasta secara berkesan. Izinkan saya menyentuh beberapa inisiatif yang mencerminkan hala tuju ini.

  • Pada bulan September tahun lalu, kami memperkenalkan inisiatif i-CITA. Program ini membolehkan bank-bank Islam merintis kontrak perkongsian risiko, disokong oleh dana i-CITA sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan yang menyediakan pembiayaan padanan kepada bank-bank peserta. Yang penting, keadaan ini mengurangkan risiko aktiviti diawalkan (front-loaded risks) bagi bank-bank, lantas membolehkan mereka lebih banyak menyokong projek berkaitan iklim dan keterjaminan makanan yang paling memerlukan mekanisme perkongsian risiko. Apabila pelan hala tuju sektor tenaga, gas asli dan hidrogen mula dibangunkan, kita perlu melangkaui struktur ansuran tetap dan terlalu bergantung pada cagaran untuk menyokong sektor-sektor ini dengan lebih baik. Penyelesaian perkongsian risiko menyediakan rangka kerja kontrak yang inovatif dan responsif bagi memenuhi tuntutan keperluan ekonomi yang baharu.
  • Memperkukuh infrastruktur untuk menyokong inovasi juga sama pentingnya bagi membuka laluan baharu untuk pembiayaan iklim. Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL) yang dikendalikan oleh Bank Pembangunan Malaysia telah mula beroperasi baru-baru ini dan mempelopori struktur dan model pembiayaan inovatif untuk projek iklim. CFIL memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan dan menguji struktur dan model pembiayaan inovatif yang berupaya menggembleng modal awam dan swasta. Sebagai platform untuk percubaan pasaran dan bukti konsep, CFIL mempertingkatkan keupayaan ekosistem untuk mencipta dan mengembangkan penyelesaian yang menyokong peralihan Malaysia ke arah sifar bersih.
  • Ingin saya ketengahkan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membentuk 97% daripada perniagaan di Malaysia dan menjadi tulang belakang rantaian bekalan sektor utama negara. Namun, PKS juga paling mudah terjejas oleh keperluan ESG dan keperluan berkaitan iklim yang semakin ketat, kerana sering kali dikekang oleh kapasiti, keupayaan dan sumber yang terhad untuk memenuhi standard baharu. Kami sedar bahawa usaha merapatkan jurang ini amat diperlukan bagi memastikan peralihan yang teratur dan inklusif. Sehubungan dengan itu, kami memperkenalkan dan melabur dalam inisiatif praktikal untuk menyokong PKS melalui Program Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain Programme, GVC), Kemudahan Peralihan Rendah Karbon dan Program Penghijauan Perniagaan Halal (Greening Halal Business Programme, GHB) yang baru dilancarkan dengan kerjasama IsDB.

Bukan sekadar akses kepada pembiayaan peralihan, justeru bank-bank juga menyediakan pendorong yang sangat penting menerusi inisiatif ini kepada PKS iaitu perisian pengiraan karbon dan panduan teknikal bersasar, yang mengukuhkan keupayaan PKS dengan ketara untuk berjaya membuat peralihan dan mengekalkan momentum mengikut peredaran masa. Sejak GVC dilancarkan, sebanyak 2,890 PKS telah menghadiri latihan teknikal, dan lebih 250 PKS telah mengukur dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gas, GHG) mereka.

  • Satu lagi inisiatif penting ialah perlindungan takaful terhadap kejutan berkaitan iklim. Apabila risiko iklim semakin meningkat, khususnya dalam sektor seperti pertanian yang sangat terdedah kepada banjir dan cuaca tidak menentu, sangat penting agar penyelesaian kewangan menawarkan jaringan keselamatan yang diyakini dan mudah diakses. Dalam hal ini, kerajaan telah memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi, perlindungan takaful patuh Syariah pertama di Malaysia untuk pesawah padi bagi mengurangkan kerugian akibat bencana alam. Skim perlindungan ini membantu pesawah menangani ketidakpastian dan cabaran yang timbul akibat bencana alam. Setakat bulan Mac 2025, RM16.2 juta (USD4 juta) pampasan telah diluluskan untuk 6,319 pesawah yang terjejas. Keadaan ini menyerlahkan keberkesanan penyelesaian ini terhadap peristiwa berkaitan iklim.

Rangka kerja asas telah tersedia, ekosistem kini lebih kondusif, dengan instrumen kewangan Islam sentiasa terbukti berdaya maju serta praktikal. Tugas kita kini bukan lagi sekadar penyelarasan; tetapi tentang bergerak maju dengan tujuan. Satu langkah kecil ke hadapan sekalipun, sama ada projek perintis, prototaip, atau penyelesaian pertama seumpamanya, mampu menjadi pencetus perubahan. Kita perlu berani mencuba, rendah hati untuk mengambil iktibar daripada percubaan awal dan bertekad untuk mengembangkan perkara yang berkesan.

Kita telah melepasi era perbahasan Syariah yang hanya tertumpu pada persoalan mengenai perkara yang diizinkan serta kesukaran untuk mematuhi Syariah secara keseluruhan. Hari ini, banyak negara telah membangunkan ekosistem kewangan Islam yang matang dan bukan sahaja patuh Syariah sepenuhnya tetapi juga berinovasi. Kesemua pasaran ini mampu dan seharusnya menjadi peneraju, menawarkan pelan tindakan untuk pasaran OIC yang baharu dan yang sedang berkembang, mempercepat kemajuan dan merungkai potensi penuh kewangan Islam dalam memperkukuh daya tahan iklim dan pembangunan yang berterusan.

Kita perlu berusaha ke arah masa hadapan yang menjadikan pembiayaan peralihan patuh Syariah sebagai norma dan bukan pengecualian. Satu laluan yang berprinsipkan etika, pragmatik dalam reka bentuknya dan menghasilkan impak yang relevan secara global. Dalam perjalanan ini, sokongan berterusan daripada rakan pelbagai hala seperti Bank Dunia dan IsDB bukan sahaja bernilai, malah sangat penting untuk matlamat kita. Kerjasama dua institusi ini mengukuhkan peringatan dalam ayat 195 Surah Al-Baqarah: “Dan berbuat baiklah; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik.” Saya sangat menghargai tekad kolektif ini untuk memartabatkan kewangan Islam dalam agenda iklim global. Sekian, terima kasih.


Bank Negara Malaysia
13 Januari 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?