Inisiatif Sokongan Penyelidikan (RSI)
Bank Negara Malaysia (BNM) terus memperkukuh kerjasama dengan penyelidik Malaysia pada peringkat awal kerjaya menerusi Inisiatif Sokongan Penyelidikan (Research Initiative Support, RSI).
Inisiatif ini disasarkan kepada calon pascasiswazah serta penyelidik peringkat pascadoktoral yang memiliki kepakaran dalam bidang ekonometrik, makroekonomi, ekonomi monetari atau ekonomi kewangan serta bidang yang berkaitan.
Matlamat RSI adalah untuk menyokong calon yang menjalankan penyelidikan dalam bidang yang mempunyai kepentingan kepada BNM.
Keutamaan penyelidikan semasa adalah dalam bidang-bidang yang berikut, dengan tumpuan kepada Malaysia atau analisis yang merangkumi Malaysia:
Pemacu pertumbuhan mampan, termasuk penentu kepada tingkah laku penggunaan dan pelaburan
Pemacu dan dinamik inflasi
Perkembangan dan kekangan pasaran pekerja, penentuan upah serta tingkah laku penetapan harga
Mekanisme transmisi dasar monetari
Peranan kadar pertukaran mata wang dalam ekonomi dan dasar monetari
Impak pendigitalan terhadap wang dan dasar monetari
Impak makroekonomi daripada peralihan struktur seperti teknologi dan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), perubahan iklim dan demografi serta implikasinya terhadap dasar monetari
Kesalinghubungan antara dasar monetari dengan kestabilan kewangan
Penyelarasan dasar (termasuk antara dasar monetari, dasar fiskal, dasar kadar pertukaran mata wang dan dasar kehematan makro) bagi kestabilan makroekonomi
Implikasi perubahan dalam perdagangan antarabangsa dan integrasi kewangan terhadap kestabilan makroekonomi dan kewangan
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi [email protected] (sila ambil maklum bahawa BNM mungkin tidak akan memberikan maklum balas terhadap pertanyaan yang tidak berkaitan dengan RSI). RSI melibatkan kerjasama penyelidikan dengan pegawai BNM yang dirangka untuk menyediakan pengalaman penyelidikan gunaan yang relevan kepada perumusan dasar. Sokongan yang diberikan boleh merangkumi input teknikal, maklum balas serta akses kepada pengetahuan institusi yang berkaitan, bergantung pada keperluan projek. Bayaran honorarium disediakan sebagai pengiktirafan terhadap penyertaan; walau bagaimanapun, RSI bukan merupakan skim geran penyelidikan atau pembiayaan berasaskan projek.
Soalan Lazim RSI
Siapakah yang layak menyertai RSI?
Keutamaan akan diberikan kepada calon pascasiswazah dan penyelidik pascadoktoral warganegara Malaysia dengan pengkhususan dalam bidang ekonometrik, makroekonomi, ekonomi monetari dan kewangan, serta bidang berkaitan. Pemohon perlu dicalonkan oleh institusi masing-masing.
Bagaimanakah cara untuk memohon RSI?
Muat turun borang permohonan rasmi RSI di sini dan lengkapkan maklumat yang diperlukan. Semua permohonan hendaklah dikemukakan melalui e-mel kepada [email protected]
Bilakah permohonan boleh dikemukakan dan bagaimanakah saya akan dimaklumkan jika permohonan saya berjaya?
BNM menerima permohonan secara berterusan sepanjang tahun. Lazimnya, pemohon akan dimaklumkan mengenai keputusan permohonan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan lengkap diterima.
Walau bagaimanapun, memandangkan sumber adalah terhad, tempoh penempatan mungkin diselaraskan bergantung kepada ketersediaan pembiayaan dan pegawai yang terlibat dalam kerjasama. Cadangan penyelidikan yang mantap dan diterima selepas kapasiti tahunan dipenuhi boleh dipertimbangkan untuk tarikh mula kemudian, tertakluk kepada keutamaan BNM.
Dalam keadaan tertentu, proses penilaian mungkin mengambil masa yang lebih panjang berikutan keperluan padanan tambahan. Sekiranya pemohon tidak menerima sebarang maklum balas dalam tempoh 60 hari dari tarikh permohonan, hal ini bermakna cadangan tersebut tidak disenarai pendek. Pemohon digalakkan untuk meneruskan penyelidikan melalui program atau geran lain.
Berapa lamakah tempoh pelaksanaan RSI?
Peserta RSI perlu menyiapkan draf laporan projek penyelidikan dalam tempoh 12 bulan selepas pelantikan. Peserta RSI dikehendaki mengekalkan penglibatan yang aktif sepanjang tempoh projek.
Apakah hasil yang dijangkakan daripada penyertaan dalam RSI?
Peserta RSI dikehendaki sekurang-kurangnya membentangkan dapatan penyelidikan secara dalaman serta menyediakan laporan projek penyelidikan yang dibangunkan bersama dengan kakitangan BNM. Sekiranya bersesuaian, peserta juga boleh diundang untuk memperluas penyelidikan kepada output penyelidikan lain melalui kerjasama dengan pegawai BNM.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.