Program Felo Penyelidik Tamu (VRF)
Bank Negara Malaysia (BNM) terus memperluas kerjasama penyelidikannya dengan ahli akademik melalui Program Felo Penyelidik Tamu (Visiting Research Fellowship, VRF).
Program VRF bertujuan untuk menghasilkan penerbitan penyelidikan bersama antara ahli akademik dengan kakitangan BNM. Kerjasama yang diharapkan dapat dijalinkan dengan ahli akademik yang memiliki kepakaran dalam bidang berkaitan ekonometrik, makroekonomi, ekonomi monetari atau ekonomi kewangan.
Keutamaan penyelidikan BNM pada masa ini adalah dalam bidang yang berikut, dengan tumpuan kepada Malaysia atau merangkumi Malaysia sebagai sebahagian daripada analisis:
Pemacu pertumbuhan mampan, termasuk penentu tingkah laku penggunaan dan pelaburan
Pemacu dan dinamik inflasi
Perkembangan dan halangan pasaran pekerja, penentuan upah, serta tingkah laku penetapan harga
Mekanisme transmisi dasar monetari
Peranan kadar pertukaran mata wang dalam ekonomi dan dasar monetari
Impak pendigitalan terhadap dasar kewangan dan dasar monetari
Impak makroekonomik susulan perubahan struktur seperti teknologi dan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), perubahan iklim dan demografi, serta implikasinya terhadap dasar monetari
Hubungan antara dasar monetari dengan kestabilan kewangan
Penyelarasan dasar (termasuk antara dasar monetari, dasar fiskal, dasar kadar pertukaran mata wang dan dasar kehematan makro) untuk kestabilan makroekonomi
Implikasi perubahan sistem perdagangan antarabangsa dan integrasi kewangan terhadap kestabilan makroekonomi dan kewangan
Jika anda mempunyai pertanyaan lanjut, sila e-mel kepada [email protected] (sila ambil perhatian bahawa BNM mungkin tidak akan memberikan maklum balas kepada pertanyaan yang tidak berkaitan dengan Program VRF). Walaupun program ini tidak menyediakan geran penyelidikan, felo penyelidik yang dilantik akan menerima honorarium.
Soalan Lazim Mengenai VRF
Siapakah yang layak memohon program VRF?
Ahli akademik daripada institusi tempatan berasaskan penyelidikan (contohnya, universiti, pusat penyelidikan dan badan pemikir (think tanks)) yang memiliki kepakaran dalam bidang berkaitan ekonometrik, makroekonomi, ekonomi monetari atau ekonomi kewangan, akan diberikan keutamaan.
Bagaimanakah hendak membuat permohonan?
Muat turun borang rasmi VRF di sini dan isikan maklumat yang diperlukan. Semua permohonan hendaklah dihantar melalui e-mel kepada [email protected].
Bilakah permohonan perlu dihantar dan bagaimanakah untuk mengetahui permohonan tersebut berjaya?
BNM menerima permohonan secara berterusan sepanjang tahun. Pemohon lazimnya akan dimaklumkan mengenai keputusan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan yang lengkap diterima.
Walau bagaimanapun, memandangkan sumber yang terhad, kami mungkin menyesuaikan jadual penempatan felo berdasarkan ketersediaan dana dan kakitangan yang akan bekerjasama. Cadangan mantap yang diterima selepas slot sesebuah tahun dipenuhi akan dipertimbangkan untuk tarikh mula lain kemudian, tertakluk pada keutamaan BNM.
Dalam keadaan tertentu, proses membuat keputusan mungkin mengambil masa yang lebih lama disebabkan pusingan pemadanan tambahan yang diperlukan. Sekiranya anda tidak menerima sebarang maklum balas daripada kami dalam tempoh 60 hari dari tarikh permohonan, hal ini bermakna permohonan anda tidak disenarai pendek. Kami menggalakkan anda untuk meneruskan penyelidikan di bawah program atau geran yang lain.
Berapa lamakah tempoh program VRF?
Felo Penyelidik Tamu perlu menyiapkan draf kertas penyelidikan untuk projek VRF dalam tempoh 12 bulan selepas pelantikan.
Apakah hasil yang dijangkakan daripada program VRF?
Setelah tamat tempoh program, Felo Penyelidik Tamu dijangka telah menyiapkan satu kertas kerja yang sesuai untuk penerbitan dengan kerjasama kakitangan BNM.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.