Bagaimana perubahan OPR mempengaruhi anda?

Kadar Dasar Semalaman (OPR) mempengaruhi kadar faedah yang anda bayar ke atas pinjaman dan pembiayaan, pulangan yang anda peroleh daripada simpanan dan deposit, serta akhirnya harga barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi.

Apabila Bank Negara Malaysia melaraskan OPR, kesannya tidak terhad kepada pasaran kewangan sahaja. Perubahan dalam OPR boleh mempengaruhi kos pinjaman, keputusan perbelanjaan, pelaburan perniagaan, dan inflasi dari semasa ke semasa. Dengan cara ini, OPR membantu menyokong inflasi yang rendah dan stabil serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Lt2025.Ch1A.Dgm1

Apakah yang berlaku apabila MPC mengubah OPR?

Apabila MPC memutuskan untuk menaikkan OPR, kadar faedah yang lebih tinggi ke atas simpanan dan pinjaman akan mendorong orang ramai untuk lebih banyak menabung dan kurang berbelanja. Sebagai contoh, apabila permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi melebihi penawaran yang tersedia, harga akan terus meningkat. OPR yang lebih tinggi akan membantu memperlahankan permintaan. Hal ini menjadikan permintaan lebih selaras dengan penawaran, dan kenaikan harga akan menjadi lebih perlahan.

Keadaan sebaliknya berlaku apabila MPC memutuskan untuk menurunkan OPR. Kadar faedah yang lebih rendah ke atas pinjaman dan simpanan akan menyebabkan orang ramai kurang menabung dan lebih banyak berbelanja. Langkah ini merangsang aktiviti ekonomi dan mengelakkan situasi penurunan paras harga akibat permintaan yang lemah, yang boleh menjejaskan ekonomi.

Adalah penting untuk memahami bahawa OPR merupakan satu ‘instrumen yang kurang spesifik’ (atau ‘blunt tool’). Walaupun MPC berusaha untuk mengekalkan kestabilan harga dan memastikan ekonomi berkembang secara stabil dari semasa ke semasa, tindakan yang diambil tidak memberi kesan yang sama kepada semua pihak. Dasar monetari tidak boleh menyasarkan bahagian tertentu dalam ekonomi secara tepat, namun ia diperlukan untuk menetapkan keadaan kadar faedah secara menyeluruh.

Apabila OPR meningkat

Apabila OPR menurun

Jika anda mempunyai pinjaman atau pembiayaan kadar terapung

Ansuran bulanan pinjaman atau pembiayaan anda mungkin meningkat. Ini lazimnya melibatkan pinjaman perumahan dan sesetengah pinjaman peribadi. Pinjaman berkadar tetap secara umumnya tidak terjejas.

Ansuran bulanan pinjaman atau pembiayaan anda mungkin berkurangan.

Jika anda bercadang untuk membuat pinjaman atau mendapatkan pembiayaan

Pinjaman atau pembiayaan baharu mungkin menjadi lebih mahal kerana kos pinjaman meningkat.

Pinjaman atau pembiayaan baharu mungkin menjadi lebih mampu diperoleh apabila kos pinjaman menurun.

Jika anda mempunyai simpanan atau deposit tetap

Anda mungkin memperoleh pulangan yang lebih tinggi daripada simpanan dan deposit anda.

Pulangan daripada simpanan dan deposit mungkin menjadi lebih rendah.

Kesan terhadap ekonomi secara keseluruhan

Kadar faedah yang lebih tinggi menggalakkan orang ramai untuk lebih menyimpan dan kurang berbelanja, sekali gus membantu pertumbuhan permintaan dan harga pada kadar yang lebih mampan.

Kadar faedah yang lebih rendah menggalakkan perbelanjaan dan menyokong aktiviti ekonomi apabila permintaan adalah lemah.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?