Pelantikan Ahli-ahli Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelantikan semula empat ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) untuk tempoh tiga tahun dan pelantikan dua orang ahli MPS yang baharu untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023. Pelantikan ini dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
MPS dibarisi sembilan orang ahli yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang Syariah, ekonomi Islam, undang-undang dan kewangan.
Ahli-ahli yang dilantik semula ialah:
- Prof. Dr. Ashraf Md Hashim
Profesor, Universiti INCEIF dan Pengerusi baharu MPS
- Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali
Profesor, Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Timbalan Pengerusi baharu MPS
- Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin
Pengarah Eksekutif, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, Universiti INCEIF
- Encik Burhanuddin Lukman
Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji, Lembaga Tabung Haji
Ahli-ahli baharu yang dilantik ialah:
- Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh
Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan
- Dr. Ahmad Basri Ibrahim
Ketua Pengurusan Syariah, Permodalan Nasional Berhad
Ahli-ahli lain yang sedia ada ialah:
- Sahibus Samahah Dato' Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir
Mufti Selangor
- Dr. Marjan Muhammad
Pengarah, Jaminan Kualiti Penyelidikan dan Penerbitan, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, Universiti INCEIF
- Encik Zainal Abidin Jamal
Pengasas dan Rakan Kongsi Kanan, Zainal Abidin & Co. (Peguambela dan Peguamcara)
MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia. MPS memainkan peranan penting untuk menggalakkan kepastian pada Syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam. MPS juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu Syariah yang berkaitan dengan perniagaan kewangan Islam, aktiviti atau transaksi kewangan Islam yang dijalankan oleh BNM. Keputusan Syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip Syariah. Selain itu, keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara. MPS telah mengadakan mesyuarat pertama bagi tahun 2023 pada hari ini.
BNM juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dan Dato’ A. Aziz A. Rahim yang telah menyempurnakan tempoh perkhidmatan mereka sebagai ahli MPS. Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dilantik sebagai ahli MPS pada 1 Mei 1997 dan telah memegang jawatan sebagai Pengerusi MPS sejak 27 Disember 2006. Sementara itu, Dato’ A. Aziz A. Rahim telah menjadi ahli MPS sejak 1 November 2016.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, “MPS memainkan peranan penting dalam memajukan aspirasi kewangan Islam di Malaysia. Sepanjang tempoh ini, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dan Dato’ A. Aziz A. Rahim telah memberikan sumbangan yang sangat besar dalam proses tersebut, dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih terhadap komitmen dan dedikasi mereka yang tidak berbelah bahagi.”
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.