Ringkasan Keputusan Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia Berhubung dengan Pelaksanaan Ciri-ciri Baharu Instrumen Perjanjian Jual dan Beli Balik (Sell and Buy Back Agreement, SBBA)

16 Jul 2024 Notis Umum

MPS pada mesyuaratnya ke-239 bertarikh 30 April 2024 telah memutuskan bahawa ciri-ciri baharu yang dicadangkan bagi instrumen SBBA seperti yang berikut adalah dibenarkan:

1. Pengurusan margin –

Apabila terdapat pergerakan harga sekuriti pendasar (underlying securities) yang berasaskan penilaian yang dinilai mengikut pasaran (mark-to-market), perjanjian untuk menyediakan deposit sekuriti (wa`d bi hamish jiddiyyah) akan diaktifkan dan pihak yang berjanji (pembeli atau penjual, mengikut mana-mana yang berkenaan) dikehendaki memindahkan sejumlah wang tunai kepada rakan niaga (counterparty) sebagai deposit sekuriti untuk menjamin komitmen mereka melaksanakan urus niaga peringkat kedua pada tarikh matang;

2. Pembayaran keuntungan –

  1. Mekanisme 1– Pelaburan semula keuntungan:
    Amaun keuntungan yang diterima oleh pembeli SBBA akan ditolak daripada harga urus niaga peringkat kedua pada tarikh matang. Harga tersebut akan dipersetujui secara bersama pada permulaan kontrak SBBA; dan
     
  2. Mekanisme 2 – Pemindahan keuntungan:
    Keuntungan yang dibayar oleh penerbit sekuriti kepada pembeli SBBA akan dipindahkan dengan serta-merta kepada penjual SBBA berdasarkan janji pembeli SBBA untuk memberikan hibah (wa`d bil hibah) kepada penjual pada tarikh pembayaran keuntungan.

3. Penggantian aset –

Apabila berlaku peristiwa yang menyebabkan penggantian aset, pihak berkontrak SBBA bersetuju untuk mempercepat pelaksanaan urus niaga peringkat kedua SBBA sebelum tarikh matang. Pihak berkontrak seterusnya akan menandatangani kontrak SBBA baharu berdasarkan tarikh matang asal bagi menggantikan kontrak SBBA sedia ada.

Keputusan MPS berhubung dengan pelaksanaan ciri-ciri baharu instrumen SBBA hanya terpakai pada struktur dan kontrak Syariah yang dinyatakan dalam keputusan ini. Sebarang cadangan pelaksanaan ciri-ciri baharu instrumen SBBA menggunakan struktur dan kontrak Syariah selain struktur atau kontrak Syariah yang dinyatakan dalam keputusan MPS ini perlu mendapatkan kelulusan MPS terlebih dahulu.

Keputusan ini akan berkuat kuasa pada 30 Jun 2025.

 

Tarikh Penerbitan
16 Julai 2024

Tarikh Kuat Kuasa
30 Jun 2025

Penggunaan

  • bank-bank Islam berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI);
  • bank-bank berlesen dan bank-bank pelaburan berlesen yang diluluskan di bawah seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) untuk menjalankan perniagaan kewangan Islam; dan
  • institusi yang ditetapkan dan diluluskan di bawah seksyen 33B(1) Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Development Financial Institutions Act, DFIA) untuk menjalankan perniagaan kewangan Islam.

Jabatan yang Menerbitkan Dokumen
Jabatan Sistem Kewangan Islam (JSKI)

Dokumen:

 


Bank Negara Malaysia
16 Julai 2024

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?